445 terima durian runtuh
18 Mei 2012
Semalam seramai 287 peneroka dari Felda Tenang, Hulu Besut menerima durian runtuh berjumlah RM1.43 juta manakala seramai 158 peneroka Felda Selasih, Jabi turut menerima habuan sama berjumlah RM790,000.
Di Felda Tenang, majlis perasmian penyerahan cek dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Nawi Mohamad, manakala di Felda Selasih disempurnakan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie.
Wakil Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Badariah Che Omar berkata, jumlah pembayaran cek durian runtuh di Felda Tenang adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan RM114 juta untuk peneroka di negeri ini.
Menurutnya, sebaik Perdana Menteri mengumumkan pemberian durian runtuh ini, pihaknya banyak menerima pertanyaan dan maklum balas daripada peneroka termasuk bekas isteri peneroka dan sebagainya.
“Pembahagian cek fasa pertama bernilai RM5,000 daripada keseluruhan RM15,000 itu, adalah untuk peneroka dan isteri serta anak-anak (generasi kedua), yang menjadi peneroka berada di tanah rancangan sahaja,” katanya dalam majlis pengagihan cek kepada peneroka di Felda Tenang semalam.
Sementara itu, rata-rata peneroka yang hadir menerima wang tersebut kelihatan gembira kerana tidak pernah menyangka memperoleh imbuhan sebanyak itu.
Seorang peneroka, Tengku Heng Ku Besar, 54, berkata, beliau dan warga peneroka berterima kasih dan bersyukur kerana menerima wang tersebut yang tidak pernah diimpikan menerima sebanyak itu.
Menurutnya, peneroka harus gembira menerima imbuhan itu kerana adik beradik pun belum tentu dapat memberi wang sebanyak itu.
“Dalam pada itu saya turut kecewa kerana ada segelintir yang masih tergamak memburuk-burukkan Felda termasuk mengatakan Felda penipu sedangkan orang luar cemburu dengan Felda.
“Pada awal dulu peneroka hidup susah, tapi sekarang telah terbukti senang tetapi ada peneroka yang terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu semata-mata kepentingan politik mereka sedangkan kita patut berterima kasih dan bersyukur,” katanya.
No comments:
Post a Comment