Tuesday, May 8, 2012

pas hasut buat aduan

ARKIB : 07/05/2012

Pemohon BR1M buat laporan polis

MUSTAPA Mohamed diiringi Zawawi Othman (kanan) beramah mesra dengan rakyat selepas penyampaian BR1M di Pasir Puteh, Kelantan, kelmarin.
PASIR PUTEH 6 Mei - Pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di daerah ini mengaku membuat laporan polis atas desakan pemimpin Pas kononnya permohonan mereka tidak dilayan.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata, beliau telah menemui sebahagian besar daripada 30 pemohon terbabit yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bulan lalu.
Beliau berkata, pemohon terbabit membuat laporan polis selepas mendakwa permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan itu tidak dilayan oleh petugas UMNO bahagian.
“Saya menemui mereka yang terlibat dan kebanyakannya mengakui tindakan itu dilakukan atas desakan pemimpin Pas tempatan," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian BR1M di Dewan Besar Kompleks Kamil di sini semalam.
Bantuan berkenaan disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.
Zawawi berkata, pemohon terbabit termasuk penyokong Pas yang telah menerima BR1M, menyatakan telah didesak oleh pemimpin mereka supaya beramai-ramai ke IPD Pasir Puteh bagi membuat aduan yang tidak munasabah.
“Sebelum ini pemimpin Pas turut menjalankan kempen di surau-surau di daerah ini supaya bantuan itu tidak diambil oleh rakyat termasuk mempersoalkan sumber wang yang kononnya haram," katanya.
Bagaimanapun kata Zawawi, kesemua penghulu yang bertugas dengan kerajaan negeri dan dikenali sebagai barisan hadapan Pas di daerah ini, turut menerima pemberian itu tanpa sebarang keraguan.
“Mereka tidak seharusnya menghasut rakyat supaya tidak menerima BR1M kerana mereka sendiri tidak mampu membela kebajikan rakyat sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kesemua pemohon terbabit tetap akan diberikan bantuan setelah semua prosedur permohonan ditetapkan dipatuhi.
Zawawi menegaskan, pihaknya tidak pernah mengamalkan diskriminasi dalam pengagihan bantuan itu kerana ia adalah amanah negara untuk dilaksanakan dengan adil.

No comments:

Post a Comment