Thursday, May 24, 2012

debat

Debat PTPTN: Tiada istilah debat atau politik matang

ISTILAH debat atau politik matang tidak pernah wujud dalam dunia hari ini. Apa yang pasti, matang atau sebaliknya sesuatu perdebatan mahupun politik biarlah penonton dan rakyat yang menilainya.
Debat kali kedua antara Ketua Pemuda UMNO merangkap Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang berlangsung di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor masih jauh dari istilah kematangan yang diputuskan oleh pengantara, Dr. Maszlee Malik.
Sebelum ini kedua pendebat pernah berdebat di London, namun impak debat yang dianggap matang tenggelam dek sorakan kedua penyokong.
Apa yang lebih merunsingkan apabila di penghujung debat pengantara boleh pula menjadi tukang canang debat antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Adakah ini matang dalam situasi debat. Cuba menutup kehangatan debat sedia ada dengan membuka debat baru seolah-olah pentas debat PTPTN sebagai ada udang di sebalik batu. Debat PTPTN masih belum habis, di luar dewan kedua penyokong sedang berkira-kira membuat fatwa seandainya Perdana Menteri tidak hadir apa impak kepada kredibiliti beliau. Ukur baju di badan sendiri.
Debat PTPTN sepatutnya tidak dijadikan sebagai batu loncatan untuk mengadakan debat antara Perdana Menteri dan sesiapa sahaja. Debat PTPTN biarlah kita membicarakan isu itu dahulu dan membawa solusi debat ke pihak lebih tinggi. Namun tindakan menguar-uarkan debat lain dianggap membunuh perbincangan yang sedang bercambah di minda penonton.
Jika mahukan debat matang, pengantara juga perlu matang dan tahu selok-belok membawa hala tuju debat ke arah mana. Beliau juga perlu membuat kerja rumah kerana debat ini anjuran sebuah syarikat akhbar dan sepatutnya semua maklumat untuk memandu Debat PTPTN kelmarin tidak tersasar hingga kedua pendebat membawa penonton entah ke langit mana.
Penonton perlu mendengar fakta-fakta yang disokong oleh rekod dan statistik, bukannya setakat unjuran yang penuh sastera moden ibarat manifesto pembangkang yang dulunya berwarna-warni sekarang menjadi jingga. Jika kita mahukan disebut matang penuhi manifesto terlebih dahulu sebelum menginjakkan kaki ke pentas debat.
Kita juga perlu ingat kematangan debat perlu bersandarkan rukun negara kedaulatan undang-undang. Kedua pendebat terperangkap dengan soalan yang diberi oleh pengantara hingga melupakan bahawa mereka berdebat dalam dewan biasa dan bukannya Dewan Parlimen yang memberi imuniti dari disaman oleh mana-mana pihak.
Pihak pendebat juga menyebut nama beberapa individu yang mempunyai kes mahkamah yang sudah selesai tidak kira jenayah mahupun sivil. Apabila salah seorang pendebat menyebut nama seorang usahawan tidak disenarai hitamkan ke luar negara, sedangkan beliau ada kes tertentu ia jelas menunjukkan betapa dangkal dan tidak matangnya mereka menilai peribadi orang lain hingga sanggup menyerang peribadi pihak tersebut untuk menguatkan hujah setengah masak mereka.
Sebaiknya pihak yang disebut menyaman malu pendebat berkenaan, kerana apa yang umum ketahui kes itu telah selesai. Debat matang juga memerlukan kita bersikap empati kepada pihak lain yang kita tidak tahu sejarahnya secara peribadi.
Jika fokus pendebat dan pengantara kepada isu PTPTN mengapa dirobek-robek integriti pihak yang tidak kena-mengena dengan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC). Banyak perlanggaran undang-undang dan fitnah di dalam debat yang dikatakan matang oleh sesetengah pihak.
Debat PTPTN yang dianggap bersejarah tidaklah bersejarah mana jika begitulah mutu debat yang hanya berlandaskan maklumat separuh masak dan sikap emosi penyokong. Pemimpin kita masih belum bersedia untuk berdebat ala Obama dan Mccain. Untuk menghasilkan debat yang matang, pendebat, pengantara dan penonton perlu juga matang.
Kita masih belum pasti adakah sistem demokrasi dapat diperkasakan dengan hanya mengadakan debat seperti yang dilakukan oleh kedua pemimpin muda tersebut. Ini disebabkan di Dewan Parlimen pun pemimpin berdebat, di kedai kopi pun berdebat juga, maknanya debat adalah perkara biasa. Jika hendak bercakap pasal debat matang boleh mewujudkan politik matang. Ada baiknya ahli politik yang dianggap matang berpolitik perlu juga matang moral dan agamanya. Itu baru matang sebenar-benarnya.
Sebaik-baiknya kita tidak memandai-mandai menjerit pada dunia. Debat PTPTN membuktikan kita sudah matang membicarakan perbezaan dan mengesahkan ketamadunan negara ini. Apa yang pasti inilah hasil transformasi politik Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment