6 peneroka fail injunksi sudah ambil durian runtuh
KUANTAN 27 Mei - Seorang lagi peneroka, Samat Lebai Yusof dari Jengka 4 yang sebelum ini antara lapan individu yang memfailkan injunksi bagi menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) tampil mengambil cek durian runtuh fasa pertama sebanyak RM5,000, semalam.Dengan ini, kesemua enam peneroka daripada 'kumpulan lapan' yang layak menerima durian runtuh bagi fasa pertama mengambil bahagian masing-masing manakala dua lagi akan menerima bayaran untuk fasa kedua dan ketiga.
Sama ada kebetulan atau dirancang, kesemua mereka tidak hadir mengambil cek berkenaan pada majlis penyampaian yang diaturkan oleh pihak pengurusan Felda.
Sebaliknya, kesemua mereka iaitu tiga dari Jengka 15 dan masing-masing seorang dari Jengka 14, Jengka 17 dan Jengka 4 mengambil cek mereka pada hari berikutnya di pejabat pengurus.
Individu terakhir daripada kumpulan peneroka itu, Samat, 67, dari Jengka 4 hadir ke Pejabat Pengurus Felda itu pagi kelmarin untuk mengambil cek tersebut.
Cek bagi bayaran durian runtuh fasa pertama itu diserahkan Pengurus Felda Jengka 4, Osman Amin dan disaksikan oleh dua orang saksi.
Lima peneroka lain daripada kumpulan lapan itu ialah Alias Ibrahim, Abdul Rahim Abdul Rahman dan Abdullah Mohd. dari Jengka 15 manakala Idris Mat Sah (Jengka 14) dan Syed Jalaluddin Syed Muhamed (Jengka 17).
Namun, dua lagi iaitu Rakiah Sulong (Jengka 15) terlibat untuk fasa kedua iaitu bayaran untuk isteri peneroka manakala Rosdi Ismail juga dari rancangan sama merupakan penerima fasa ketiga bagi generasi kedua Felda.
No comments:
Post a Comment