Sukarnya guru J-Qaf dapat kelulusan berpindah
SAYA merupakan guru J-QAF ambilan tahun 2005. Apabila saya menerima tawaran mengajar di Sarawak tidaklah saya berharap untuk terus menetap di negeri Bumi Kenyalang ini memandangkan syarat yang diberikan hanyalah bertugas tiga tahun di sekolah berkenaan.Pada tahun ini genaplah tujuh setengah tahun saya mengajar di Sarawak. Saya tidak dapat bertahan lagi untuk terus berada di sini.
Mengapakah sukar guru J-QAF diberikan peluang untuk bertukar berbanding dengan penjawat awam yang lain?
Saya mencadangkan apabila menawarkan program J-QAF ini, berikan syarat kepada pemohon baru dengan syarat mesti mengajar 10 tahun ke atas di negeri tersebut barulah akan dapat bertukar.
Tidakkah dihargai pengorbanan kami yang sanggup datang ke sini? Kalau diberikan had masa pada setiap orang untuk berkhidmat di sini, saya yakin setiap orang akan mengajar dengan penuh ikhlas dan dedikasi di samping menimba pengalaman di negeri orang.
Baru-baru ini terdapat pegawai- pegawai dari Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang menabur janji kami guru J-QAF ambilan 2005. Contohnya seperti sekolah saya sendiri, KPM telah menghantar lima guru J-QAF baru menjadikan jumlah kami sembilan orang. Janjinya guru J-QAF 2005 akan dipindahkan.
Tetapi pada 19 Mei 2012, tiada seorang pun guru J-QAF dari sekolah saya yang dapat berpindah. Tidakkah ada belas kasihan dari JPN Sarawak sendiri terhadap permasalahan kami dan tidak adakah pegawai pegawai J-QAF di sana untuk membantu?
Sampai bilakah pula nasib begini akan diwarisi kepada adik-adik J-QAF kami yang seterusnya jika kami terus dirantai di sini?
Saya mohon fahamilah dan berikan perhatian pada permohonan kami. Juga dengan kehidupan kami yang sudah berkeluarga untuk membina kehidupan yang sempurna. Tambahan pula kemudahan kargo telah ditarik balik oleh kerajaan. Apa yang kami dapat setelah bertahun-tahun bekerja kerana barang yang dibeli terpaksa ditinggalkan atau dijual dengan harga yang murah?
Belum lagi pelbagai masalah seperti berjauhan dengan suami, anak dan isteri seperti diambil enteng oleh pihak KPM dan JPN Sarawak.
Saya amat berharap berilah perhatian kepada permohonan kami.
Janganlah membuat penilaian seperti 'mencurah air ke daun keladi'. Fikirlah jika masalah seperti ini berlaku kepada anak-anak kalian sendiri.
Janganlah biarkan masalah ini terus diwarisi kerana banyak pihak yang teraniaya.
No comments:
Post a Comment