Monday, May 28, 2012

peneroka minta maaf

Dua peneroka mohon maaf
AZIZAH SHAFIEI
27 Mei 2012
FELDA KUMAI - Dua daripada 21 peneroka yang menggunakan saluran mahkamah untuk membatalkan proses pinjaman saham daripada bank tempatan, memohon maaf secara terbuka kepada semua peneroka.

Mereka ialah Ishak Mat, 64 dan Ramli Md Nin, 58 yang turut membuat laporan polis pada 19 Mei lalu kerana mendakwa mereka dianiaya pihak tertentu.

Ishak berkata, mereka turut membuat akuan bersumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah Berdaftar untuk menarik diri dan membatalkan nama dalam senarai 154 peneroka yang menyaman seramai 12 pengurus Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negara.

Dia berkata, tindakannya menyerahkan salinan kad pengenalan kepada seorang rakan membawa padah bukan sahaja kepada dirinya, malahan membabitkan peneroka lain.
“Saya memohon maaf kepada peneroka di seluruh negara, Felda dan kerajaan.
Sememangnya saya silap kerana menyerahkan salinan kad pengenalan tanpa bertanya tujuan dia berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Ishak berkata, sejak  menyertai Felda, dia tidak pernah berniat mahu membelakangi pengurus atau Felda, sebaliknya sentiasa menyokong tindakan Felda terutama berkaitan
penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di bursa saham.
Sementara itu, Ramli berkata, dia juga dianiaya seorang rakan yang memintanya menyerahkan salinan kad pengenalan.
Katanya, ketika itu dia difahamkan salinan tersebut akan digunakan untuk menarik semula permohonan pinjaman saham ditandatanganinya.
“Saya sememangnya tidak mahu terbabit dengan saham FGVH, tetapi tujuan asal saya hanya mahu menarik semula permohonan.
“Tetapi sekarang lain pula jadinya, nama saya tersenarai sebagai antara peneroka menyaman pengurus dan Felda.
Ini bukan keinginan saya,” katanya. Ramli berkata, dia tidak akan menarik permohonan saham, malah tidak ragu-ragu untuk terus menyokong Felda.

No comments:

Post a Comment