Tidak kisah dikata gila
22 Mei 2012
Papan tanda itu tertulis larangan bercucuk tanam tanpa kebenaran Majlis Daerah Maran (MDM) dan sesiapa yang enggan mengikut arahan tersebut akan dikenakan denda RM10,000 atau penjara setahun.
Lelaki itu, Razali Awang Kecik, 46, berkata, dia mengusahakan tanah seluas 0.4 hektar itu sejak setahun lalu dengan menanam anak kelapa sawit dibelinya sendiri pada harga RM10 sepokok.
“Sudah setahun saya mengusahakan tanaman ini. Pelbagai cemuhan saya dengar termasuk daripada pihak yang mengatakan saya gila kerana bercucuk tanam di sini.
“Tidak salah saya bercucuk tanam memandangkan membazir jika tanah ini tidak diusahakan sewajarnya. Tambahan pula, ia akan dipenuhi semak-samun dan menjadi sarang penagih dadah,” katanya.
Dia berkata, tindakannya itu bertujuan menyahut seruan Almarhum Tun Abdul Razak yang menggalakkan penduduk meneroka tanah di negara ini.
“Saya membawa pegangan Almarhum Tun Abdul Razak yang menggalakkan kita meneroka dan bercucuk tanam untuk menambah sumber pendapatan sebagaimana Almarhum membawa peneroka ke tanah rancangan suatu ketika dahulu.
“Saya tidak faham, mengapa letak papan tanda sedemikian sedangkan tanah ini tidak diusahakan?” katanya.
Razali yang berasal dari Felda Jengka 14 berkata, selain kelapa sawit, dia turut menanam beberapa pokok pisang.
“Saya mendapat modal membeli anak benih daripada ibu. Saya tiada tanah dan daripada tanah ini kosong, lebih baik saya usahakannya,” katanya.
Dia berkata, sekiranya kerajaan mahu mengusahakan tanah itu, dia sedia memulangkannya semula.
“Saya tidak kisah sekiranya kerajaan mahu mengambil semula tanah ini atau sodok tanaman saya untuk menjalankan projek pembangunan seperti pembinaan jalan dan sebagainya.
“Sementara itu, biarlah saya bercucuk tanam di sini untuk menikmati hasilnya. Jika sebaliknya tidak mengapa, saya reda,” katanya.
Dalam pada itu, Sinar Harian turut menghubungi Pegawai Daerah, Datuk Fadzilla Salleh berhubung perkara terbabit.
Beliau berkata, perkara itu akan disiasat dan dalam tindakan Pejabat Tanah dan Daerah.
“Kesalahan ini adalah pendudukan secara tidak sah di bawah seksyen 425 (1)(b) Kanun Tanah Negara. Jika sabit kesalahan, lelaki terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan memusnahkan, membinasakan atau mengambil hak milik atas nama PBN apa-apa tanaman berada di bawah Seksyen 426A (1)(c) Kanun Tanah Negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment