PDRM rugi lebih RM1.8j gara-gara Bersih
PUTRAJAYA 3 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalami kerugian harta benda dan aset serta tanggungan lebih RM1.8 juta semasa mengendalikan perhimpunan haram Bersih 3.0 di ibu negara pada Sabtu lalu.Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, kos kerugian itu sepatutnya boleh dielak dan digunakan untuk membiayai perkara-perkara yang lebih berfaedah sekiranya perhimpunan haram tersebut tidak diadakan.
“KDN sangat prihatin di atas pengorbanan pihak PDRM dalam menjalankan tugas bagi menjamin keselamatan dan keamanan semasa perhimpunan haram Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
“Di samping bersabar dengan maki hamun dan dicederakan oleh peserta perhimpunan tersebut, PDRM telah mengalami kerugian harta benda dan aset serta tanggungan yang berjumlah RM1,828,610," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Menurut Mahmood, seramai 14,331 anggota PDRM dari pelbagai jabatan dan unit telah bertugas sepanjang perhimpunan haram Bersih 3.0 berlangsung.
Katanya, jumlah tersebut melibatkan pegawai dari Jabatan Pengurusan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Logistik, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Cawangan Khas, PULAPOL Kuala Lumpur , Ibu Pejabat Kontinjen KL dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan turut terlibat," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, pihak PDRM sedang mengesan perusuh yang bertindak ganas mencederakan anggota polis dan petugas media serta harta awam sepanjang perhimpunan haram Bersih 3.0.
“Kerajaan juga akan mendedahkan semua rakaman sebenar semasa perhimpunan tersebut dan mengedar gambar-gambar individu yang terlibat dalam insiden keganasan dan kekecohan itu tidak lama lagi supaya orang ramai boleh membuat penilaian sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment