Hancurnya hati nurani umat Islam
Oleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir
PENDIRIAN Anwar Ibrahim menyokong keselamatan Israel sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Asian Wall Straits Journal pada akhir Januari lalu sebenarnya menyusahkan dirinya sendiri sehingga rakan-rakan dari Indonesia menganggap beliau sudah melampau daripada batasan Islam.
Hampir keseluruhan pertubuhan Islam Indonesia membantah kenyataan itu yang keterlaluan dan menghancurkan hati nurani umat Islam seluruh dunia. Anwar sebagai seorang ‘intelektual Islam’ perlu memahami bahawa keamana di Asia Barat boleh dicapai seandainya semua masyarakat antarabangsa tidak memberikan pelbagai bentuk sokongan kepada Israel.
Israel yang bijak memainkan peranan sebagai pencatur politik negara-negara Islam memperoleh sokongan dan naungan yang tidak berbelah bahagi daripada Amerika Syarikat (AS) dan Eropah setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Dengan kepintaran helah Kesatuan Yahudi Antarabangsa, mereka membina harapan dan propaganda bahawa keturunan Yahudi merupakan kumpulan etnik yang teraniaya, cuba dilenyapkan oleh kepimpinan Hitler menerusi pelbagai tekanan dan paling membangkitkan simpati siri genosid dan holocaust, suatu istilah yang cuba menggambarkan berlakunya pembersihan etnik.
Kemuncak konflik keganasan Yahudi ke atas penduduk Palestin boleh kesan setelah termeterainya Deklarasi Balfour pada 2 November 1918 yang dibuat oleh Arthur James Balfour, Menteri Luar Britain kepada Walter Rothchild, tokoh perbankan ternama dan pemimpin Yahudi Britain. Dalam deklarasi itu, James Balfour menyokong hasrat Yahudi membina sebuah negara Yahudi di Palestin dan keputusan tersebut dipersetujui oleh anggota Kabinet pada 31 Oktober 1917.
Ketika itu, wilayah Palestin berada dalam tampuk pemerintahan Dinasti Umayyah dan sebelumnya diperakukan kedudukan negara Yahudi melalui satu perjanjian yang ditandatangani oleh Britain dan Perancis. Perjanjian tersebut dikenali sebagai Perjanjian Sykes-Picot dan ditandatangani pada 16 Mei 1916. Bagi membalas budi kedua negara di atas persetujuan tersebut, kelompok Yahudi berjanji akan menyakinkan AS agar melibatkan diri dalam Perang Dunia I.
Asas perjanjian itu kemudiannya digabungkan ke dalam perjanjian damai Serves, yang memberikan had kuasa kepada pemerintah Turki Uthmaniah dan mandat untuk Palestin.
Penglibatan aktif AS dalam Perang Dunia II mempercepatkan proses pembentukan sebuah negara Yahudi setelah tentera bersekutu berjaya melumpuhkan penguasaan pihak berikat (Jerman, Jepun dan Itali) dengan memberikan imej teramat kejam ke atas Adolf Hitler (Jerman) dan Benito Mussolini (Itali) manakala Jepun terus dicengkam dengan kehancuran dua bandar utama, Nagasaki dan Hiroshima dengan ledakan dua butir bom hidrojan setelah negara itu membiarkan Jepun menyerang Pearl Harbor.
AS sengaja membiarkan kemusnahan itu meskipun sudah mengetahui dengan jelas rancangan itu menerusi maklumat risikan (Lihat John E Dover, Cultures of Wars: Pearl Harbor, Hiroshima, 911, Cultures of War: Pearl Harbor / Hiroshima / 9-11 / Iraq , 2011). Keadaan sebeginilah turut dinanti-nantikan oleh George Walker Bush bagi melakukan serangan ke atas Iraq dan Afghanistan dan kemudiannya bakal dilanjutkan oleh Barrack Obama ke atas Iran dengan mengaburi bahawa negara itu sedang membangun teknologi persenjataan nuklear.
Keghairahan Obama menyerang Iran sebenarnya berpunca daripada doktrin pengeksportan komoditi demokrasi dan hak asasi dalam konteks baru selepas George Walker melakukan pembohongan ke atas Iraq yang menyimpan senjata pemusnah massa. Apa yang hendak disembunyikan oleh penerus doktrin Wilsonisme itu adalah menguasai geopolitik dan simpanan minyak yang terdapat di kebanyakan negara Islam di Asia Barat dan Afrika Utara.
Dengan menguasai telaga minyak, AS percaya kedudukannya sebagai polis dunia dan ekonomi terbesar akan kekal untuk tempoh lebih panjang. Atas matlamat itulah AS sedang melobi sekutunya di Eropah akan melakukan sekatan ekonomi ke atas Rusia dan China yang enggan bersetuju keputusan Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu untuk melakukan tindakan menamatkan sengketa di Syria sebagaimana dilaksanakan ke atas Libya pada suku ketiga tahun lalu sehingga berjaya mengorbankan Muammar Gadafi.
Sebenarnya yang mengemukakan maklumat bahawa Iran sedang membangunkan senjata nuklear adalah Israel kerana bimbangkan kemunculan Iran sebagai penghalang strategi politiknya untuk menguasai lebih luas tanah milik penduduk Islam sehingga melangkaui sempadan Palestin.
Israel juga bimbang dengan kemungkinan Iran berupaya menyatukan seluruh penduduk Islam yang tidak sebulu dengan peranan Amerika Syarikat, maka tekanan terus diberikan oleh Washington dengan berusaha melobi resolusi menamatkan konflik di negara-negara Islam, terutama dalam kalangan pemimpin yang tidak mendokong Wilsonisme.
Ketua pembangkang ini semakin tersepit dengan gerakan Neo-Wilsonisme kerana jika tidak memberikan sokongan kuat terhadap keselamatan Israel, sokongan dari sekumpulan pelobi Yahudi AS yang banyak membantunya membina reputasi menentang kepimpinan politik, akan menyebabkan pengaruhnya akan terus terancam.
Buat masa ini, semakin ramai rakan ketua pembangkang di AS mula sangsi keupayaan beliau untuk merebut mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Dalam keadaan terdesak itulah beliau sanggup menyokong Israel yang tidak pernah lekang dengan kezaliman sehingga tidak bersungguh-sungguh menamatkan sengketa dengan Palestin.
Israel terus menjarah bumi Palestin dan kini bersiap sedia melancarkan perang ke atas Iran setelah gertakan AS semakin lunak kesan daripada kebencian sebahagian besar pengundinya terhadap budaya perang setelah kemunculan pertama Barrack Obama sebagai Presiden AS ke-44 dan pertama dari keturunan Amerika-Afrika, dengan janji akan segera mengundurkan tentera di Iraq dan Afghanistan serta menutup kem tahanan di Telok Guantanamo. Obama terpaksa melakukan perkara itu kerana beliau amat mengharapkan sokongan pengundi Islam bagi meneruskan harapannya menjadi Presiden AS dalam tempoh empat tahun lagi.
Empat tahun yang bakal tamat pada November 2012 (atau Februari 2013), Obama dilihat begitu lemah melaksanakan pembaharuan ekonomi sehingga kedudukannya semakin terancam dengan kebangkitan China setelah berjaya mengambil alih peranan Jepun pada tahun lepas.
Perimbangan kuasa China selaku pemain ekonomi baru dunia telah menyebabkan AS terpaksa mengikat perut rakyatnya kerana lebih ramai usahawan negara itu tidak lagi berminat menubuhkan kilang-kilang baru dalam negara disebabkan kos menjadi semakin mahal, manakala China mampu mengeluarkan barangan yang sama dengan kos berkali ganda lebih murah.
Keadaan yang hampir sama pernah berlaku pada 1980-an apabila harga produk Jepun bukan sahaja semakin bermutu bahkan semakin murah menyebabkan timbul keadaan firma-firma AS terpaksa dijual kepada firma Jepun. AS turut memberikan tekanan agar Jepun dan China menaikkan nilai matawang masing-masing, tetapi China enggan menurut telunjuk Washington.
Dengan mengemukakan perancangan baru, AS berhasrat menekan China memandangkan kedudukannya semakin berpengaruh. Bagaimanapun, disebabkan keperluan China terhadap minyak semakin besar, maka helah baru dicari dengan bantuan Israel, mengumpul maklumat risikan dengan meletakkan agenda membangunkan senjata nuklear bagi menandingi kekuatan Israel. Bagaimanapun, AS tidak pernah melahirkan rasa marah ke atas sebarang tindakan Israel, kerana sebahagian besar dana kempen pilihan raya presiden datangnya daripada usahawan Yahudi yang kaya-raya.
Siapakah sebenarnya lebih hina dari sudut Islam apabila sanggup membiarkan saudara seagama disembelih, diperkosa sesuka hati manakala rumah digeledah ketika sedang nyenyak tidur manakala seharian hidup bertemankan kelaparan? Maka malang sekali kalau Malaysia terus mempunyai pemimpin seperti Anwar. Bolehkah rakyat Malaysia sandarkan harapan kepada pemimpin sedemikian?
Maka, fikirkan semasak-masaknya sebelum memberikan harapan kepada seseorang yang telah menggugat kesepaduan matlamat menyokong Palestin, atas dasar kemanusiaan, kebebasan dan persaudaraan sesama Islam.
PENULIS ialah Yang Dipertua Yayasan
Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
No comments:
Post a Comment