Wednesday, February 8, 2012

tuduh mafia

Politik ala mafia mula menular
SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
7 Februari 2012
MAZLAN-ALIMAN
SENAI – Pas menyifatkan kejadian khianat yang menimpa Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dzulkefly Ahmad pada Jumaat lalu sebagai ‘politik ala mafia’ yang mula menular dan semakin serius dalam negara ini.

AJK Pas Pusat, Mazlan Aliman berkata, pada masa ini pelbagai pandangan mahupun sentimen sensitif dalam masyarakat mula diperbesarkan melalui keganasan sebagai ugutan dan bermotifkan dendam.

Mazlan berkata, setiap pandangan mahupun kritikan yang diutarakan pelbagai pihak harus dipandang dari sudut positif sebagai proses penambahbaikan pentadbiran dalam kerajaan dan tidak dipandang sebagai ancaman.

“Saya berpendapat, setiap pandangan mahupun kritikan harus membentuk pemikiran intelektual yang membantu penambahbaikan sesebuah organisasi atau kerajaan.

“Tetapi dengan cara ugutan dan keganasan menunjukkan negara kita berada pada satu tahap di belakang dan tidak menjalani kemajuan.

“Peristiwa yang berlaku terhadap Dzulkefly menunjukkan seolah-olah kita tidak boleh menerima teguran ke arah pentadbiran yang baik,” katanya.

Katanya, susulan kejadian itu, kepimpinan Pas Pusat menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada 8 Februari ini bagi mencadangkan penubuhan pasukan khas bagi menyiasat kes khianat dalam kalangan ahli politik.

“Pas amat memandang serius terhadap perkara ini dan kita akan menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis di Bukit Aman.

“Kita tidak mempersoalkan tugas yang telah dijalankan oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia) di Johor tetapi mahu penjenayah yang terbabit diberkas segera dan diadili,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berharap kejadian seumpama itu akan mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkuasa agar keselamatan orang awam terjamin.

“Susulan kejadian itu, kita minta polis jaga keselamatan rakyat terutamanya mangsa yang terkena perbuatan khianat.

“Pada masa yang sama, kita juga menasihatkan kepada kepimpinan Pas Johor agar sentiasa berhati-hati dan tidak keluar bersendirian bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya.

No comments:

Post a Comment