Sedih anak dilarang naik pentas bergambar dengan menteri
IBU PRIHATIN, Port Dickson Negeri Sembilan
ANAK saya telah dimaklumkan oleh pihak sekolah untuk menerima Anugerah Cemerlang UPSR 5A bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 12 Februari. Majlis telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.
Sebelum tiba hari yang ditetapkan, saya telah mendapatkan kepastian terlebih dahulu dari Pejabat Pelajaran Daerah mengenai etika berpakaian dan dimaklumkan pelajar hanya perlu memakai pakaian biasa lengkap dengan kemas kerana anugerah akan disampaikan oleh Menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, tanpa menyatakan wajib memakai pakaian sekolah.
Alangkah terujanya kami sekeluarga untuk hadir ke majlis yang pastinya penuh meriah dengan kehadiran menteri dan di dewan yang berprestij.
Namun tibanya di Dewan PICC, Putrajaya anak saya bersama sembilan (9) lagi penerima yang tidak memakai pakaian sekolah telah tidak dibenarkan untuk naik ke pentas merakamkan gambar bersama menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Alangkah kecewanya anak saya dan pelajar cemerlang lain yang dipinggirkan untuk turut bersama naik ke pentas.
Apakah kerana pakaian, mereka dihukum sebegitu. Rosakkah? Majlis tanpa pakaian sekolah sedangkan mereka berpakaian sopan. Tidak ada rasa kasihan ke? Pihak penganjur melihat kesedihan dan kekecewaan di wajah anak-anak ini yang melihat rakan mereka diberi penghormatan naik ke pentas, sedangkan mereka duduk di bawah tanpa diberi peluang untuk turut serta.
Sedangkan ini bukan salah mereka tidak menurut peraturan, tetapi mesej tak sampai ke pengetahuan. Pejabat Pelajaran Daerah apabila dimaklumkan perkara ini menyatakan bahawa pihak penganjur hanya mewajibkan memakai pakaian sekolah "last minute", mereka tak sempat nak maklumkan kepada semua pelajar.
Bukan wang menjadi ukuran kami, tetapi penghormatan dipanggil naik ke pentas adalah perkara utama kami sanggup meluangkan masa dan berbelanja sendiri untuk ke Dewan PICC, satu tempat yang amat dibanggakan.
Apa yang lebih menyedihkan lagi, semua pelajar cemerlang (pakaian sekolah dan berpakaian biasa) hanya menerima medal, wang tunai dan sijil di luar dewan PICC sahaja dengan disampaikan oleh pihak urusetia tanpa dipanggil menerima anugerah di atas pentas.
Beginikah? Pihak penganjur melayani pelajar cemerlang ini yang seawal pagi sampai hanya untuk merasai kehebatan dewan PICC, tetapi mereka dilayan di luar dewan sahaja tanpa seteguk air dan secebis makanan yang dihidangkan sehingga jam 12 tengah hari.
Diharap pihak penganjur lebih prihatin untuk masa akan datang. Janganlah jadikan para pelajar ini seperti alat dan hanya lepaskan batuk di tangga. Hargailah pengorbanan ibu bapa yang sanggup hadir berkorban masa dan wang ringgit hanya untuk menjayakan majlis yang dianjurkan.
Sekiranya ada maklumat penting harap maklumkan lebih awal bukan "last minute" dengan menyusahkan banyak pihak. Inikah nilai-nilai murni yang dilaungkan oleh pihak penganjur. Diharapkan pihak penganjur lebih prihatin pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment