Wednesday, February 8, 2012

konspirasi

Anwar Ibrahim dan teori konspirasi, konspirasi, konspirasi…

Oleh Zaini Hassan

SAYA terbaca satu rencana bertajuk The 30 greatest conspiracy theories atau 30 teori konspirasi terbesar; yang diperkatakan orang di dunia. Sungguh menarik cerita-cerita itu.

Malangnya cerita mengenai teori konspirasi Anwar Ibrahim, yang juga menjadi terhebat di abad ini, di Malaysia – tidak tersenarai.

Antara teori-teori besar konspirasi yang dinyatakan dalam akhbar The Telegraph, UK itu ialah dari pembunuhan John F Kennedy sehinggalah kepada kematian Puteri Diana. Dari penemuan bangkai piring terbang UFO di Roswell, New Mexico, Amerika Syarikat pada 1947 hinggalah kepada peristiwa pendaratan manusia pertama angkasawan Nasa di bulan. Dari kisah kematian Nabi Isa sehinggalah kepada kematian Elvis Presley. Semua kejadian besar sejak 2,000 tahun itu telah dikaitkan dengan teori-teori konspirasi yang dipercakapkan oleh manusia. Selagi manusia berakal, semua perkara akan cuba dikaitkan dengan teori itu.

Kejadian 11 September di Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York juga dikaitkan dengan konspirasi. Saya tidak bermaksud mahu menulis semula apa yang ada dalam akhbar The Telegraph itu. Pembaca boleh membacanya di http://www.telegraph. co.uk/news/newstopics/howaoutthat/ 3483477/The-30-greatest-conspiracy-theories-part-1.html.

Tapi apa itu teori konspirasi? Teori konspirasi atau teori persekongkolan adalah teori yang berusaha menjelaskan suatu rancangan rahsia oleh sekelompok orang atau organisasi yang sangat berkuasa atau berpengaruh ke atas seorang mangsa atau serangkaian peristiwa (pada umumnya peristiwa politik, sosial atau sejarah).

Banyak teori konspirasi yang mendakwa bahawa peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah telah didominasi oleh para konspirator belakang tabir yang memanipulasi kejadian-kejadian politik. Teori ini berlaku dari urusan politik sampai kepada soal makanan. Roti yang halal dikeluarkan oleh pengusaha Islam dikonspirasikan mengatakan tidak halal, dan ada orang mempercayainya. Bagi orang yang tidak percaya selalu menganggap semua hanyalah olok-olok, mengada-ada dan sebagainya. Bagi para penganut teori itu percaya ada pihak yang mencipta polanya.

Penganut teori itu pula terbahagi kepada dua. Kelompok pertama adalah mereka yang hanya percaya bahawa segala hal mungkin terjadi apabila ada dokongan argumentasi yang kuat, fakta tepat, data ilmiah, pendapat yang boleh diverifikasi kebenarannya, tokoh-tokoh yang nyata, sejarah yang memang ada dan bukan mitos dan sebagainya. Kelompok ini percaya John F Kennedy sebenarnya tidak ditembak, tetapi diselamatkan oleh makhluk angkasa lepas, misalnya.

Kelompok kedua ialah mereka yang percaya tanpa apa yang berlaku ia sudah dirancang sedemikian rupa, yang seringkali dikaitkan dengan mitos, legenda, supernatural dan sebagainya. Misalnya, mereka percaya bahawa peristiwa 11 September sudah dirancang sebagaimana yang terlibat pada lipatan wang kertas 20 dolar Amerika Syarikat; apabila kita melipat wang itu sedemikian rupa akan tercipta gambaran menara berkembar WTC yang terbakar. (Sumber: http://id.wikipedia.org/wiki/Teori_persekongkolan).

Apa yang mahu dibincangkan di sini adalah mengenai kisah teori konspirasi yang membabitkan seorang yang pernah digelar sebagai Pak Sheikh oleh rakan-rakannya atau Brother Anwar di kalangan cendekiawan dan budayawan serta Saudara Anwar pada peringkat awal meminta para pemberita memanggilnya begitu, sebaik sahaja beliau mendapat gelaran datukship. Dan sekarang dikenali sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setelah kes pertama Azizan dan kedua Saiful membabit perlakuan liwat dibicarakan di mahkamah, ada yang masih menganggap apa yang berlaku kepada Anwar sebagai satu konspirasi jahat. Para pelajar universiti, ada antaranya, masih menganggap apa yang berlaku sebagai satu teori konspirasi semata-mata. Konspirasi itu juga boleh bermakna seperti satu kelompok tadi yang mempercayai bahawa John F Kennedy sebenarnya tidak ditembak mati, tetapi diselamatkan oleh makhluk angkasa lepas.

Teori konspirasi atau teori persekongkolan itu juga boleh membawa maksud ia hanya direka-reka oleh pemerintah atau kerajaan atau oleh Tun Dr. Mahathir atau kini oleh Datuk Seri Najib untuk saja-saja memburuk-burukkan Anwar agar cita-cita politiknya tidak tercapai.

Ada dua teori yang boleh diterima di sini. Jika kita mahu mempercayai bahawa Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Najib ialah konspirator dalam konspirasi ini, maka kita juga perlu melihat bahawa Anwar dan rakan-rakan politiknya juga ialah konspirator yang terhebat dalam mengatur perancangan untuk membuatkan rakyat mempercayai bahawa kelakuan liwat Anwar itu direka-reka untuk menjatuhkannya.

Dalam kedua-dua permainan ini siapa yang menang? Tunkah, Najibkah atau Anwar? Secara logik, apakah kerajaan Malaysia mahu mencari pasal mewujudkan satu lagi kekacauan politik yang bukan-bukan untuk mengaitkan Anwar dengan Saiful Bukhari? Kes Anwar dengan Saiful ialah kes peribadi membabitkan kedua-dua pihak itu atau kes Anwar dengan kerajaan? Secara logik juga konspirasi hanya boleh wujud sekali sahaja, bukan dua kali atau tiga, atau empat kali membabitkan subjek yang sama. Mengapa pula ramai teman-teman rapat Anwar sudah melarikan diri daripadanya? Mengapa peguam-peguam beragama Islam sudah tiada dalam team guaman Anwar? Apakah mereka semua sudah dibeli? Apakah itu juga satu konspirasi?

Kita pendekkan cerita mengenai kisah kes liwat Anwar kerana semua orang sudah mengetahuinya.

Ini mengenai kisah beberapa hari lalu. Saya telah dijemput ke satu acara di luar Kuala Lumpur. Bersama-sama saya ialah bekas rakan sekongkolan Anwar dalam PKR. Itulah pertama kali saya bertemu dengan beliau. Kami menaiki satu van menuju ke destinasi itu. Banyak cerita yang diceritakan kepada saya. Pergi dan pulang dari destinasi yang memakan masa dua setengah jam itu kami bercerita. Saya banyak mendengar. Beliau banyak bercerita.

Oleh kerana hubungannya yang rapat dengan Anwar dan PKR dan Pas dan DAP banyak juga yang saya soalkan. Banyak maklumat yang saya dapat. Banyak cerita-certa politik yang saya timba mengenai kisah permainan DAP yang memperkuda-kudakan Pas dan PKR sehinggalah kepada soal: teori konspirasi membabitkan Anwar Ibrahim.

Konspirasi katanya hanya ‘‘permainan di atas pentas politik semata-mata.” Kami semua diarahkan mengikut skima yang ditetapkan bagi mewujudkan suasana itu. Biar orang ramai, rakyat jelata termakan istilah konspirasi, konspirasi dan konspirasi, katanya.

Memang benar, istilah itu berjaya ditanam dalam kepala, segelintir atau banyak, orang ramai. Ramai di kalangan anak-anak muda juga berjaya ditanam dengan istilah itu. Masih ramai yang kurang percaya mengatakan Anwar terbabit dalam perlakuan itu.

Namun, apa yang menariknya apabila, bekas rakan Anwar itu membuat satu petikan yang dipertuturkan oleh seorang insan terapat Anwar kepadanya semasa isu Saiful mula-mula timbul dulu:

‘‘Tak serik-serik lagi abang kau…'' Siapa insan itu tidak perlulah disebut di sini.

Ia bukan direka-reka, saya berani bersumpah itulah yang dipertuturkan oleh insan itu, tegasnya.

Lalu dia bersumpah di hadapan saya.

No comments:

Post a Comment