Menunggu Pas bersangka baik
KETIKA melepak menghirup nescafe tarik di restoran yang antara menunya sate kajang di Selayang, Ahad malam kelmarin, penulis diajukan pertanyaan yang barangkali sepatutnya dilayangkan sejak dahulu lagi.
Lebih-lebih lagi daripada seorang pengikut sebuah parti yang tegar dan taksub akan aliran kepemimpinannya yang diuar-uarkan pemimpin mereka sahaja yang mempraktikkan hidup sederhana, warak perilakunya dan paling dekat dengan rakyat.
Kalau nampak sahaja wakil rakyat kerajaan berkereta mewah, terus ditudingnya sebagai 'itulah parti yang disertainya banyak wang dan boleh kaya segera'.
Cuma pertanyaan tadi yang datangnya daripada seorang rakan penulis yang dikira agak tegar juga sokongannya kepada parti terbabit di restoran sate itu, sedikit sebanyak mencuit sanubari penulis.
"Ishhh, pemimpin itu baru berjawatan...di kawasan itu tapi yang terbakar tu tengok keretanya...," katanya sambil menyebut beberapa jenis kereta mewah milik ahli politik berkenaan yang ditimpa musibah baru-baru ini.
Pertanyaan sinikal itu dijawab penulis selamba. Apa salahnya pemimpin parti terbabit. Kalau dia seorang ahli perniagaan berjaya, ditambah lagi dengan kecenderungannya aktif berpolitik, maka tidak ada salahnya dia hendak menikmati keselesaan berkereta yang ada jenama.
Tetapi, jawapan penulis tadi meskipun sedikit sebanyak 'melegakan' rakan tadi namun akhirnya dia akur bahawa selama ini dia terlalu banyak prasangka terhadap ahli-ahli politik. Yang peliknya, semuanya daripada wakil-wakil rakyat kerajaan. Padahal kalau nak dikirakan kebanyakan pemimpin Pas pun berkereta Mercedes Benz, BMW dan Alphard. Cuma, jika Ferrari atau Maserati, itu sudah melampaulah.
Penulis masih teringat tentang kenyataan sinis yang keluar daripada mulut pengikut pembangkang apabila tingkat atas rumah empat tingkat milik Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Jalan Duta 5, Taman Duta di sini musnah dalam satu kebakaran yang berlaku awal pagi 8 Mei tahun lalu.
Banyak ungkapan yang tidak molek ditimbulkan oleh mereka dari kalangan pakatan pembangkang. Lebih-lebih lagi dalam facebook dan twitter. Tidak ada rasa belah kasihan langsung. Inilah antara tindak tanduk anasir yang sanggup memfitnah dan mengeluarkan kata-kata mengaibkan dengan mengaitkan setiap musibah sebagai satu pembalasan.
"Separuh daripada keimanan adalah kebersihan hati selain kebersihan rumah dan sekitar tetapi saya sedih apabila mendapat cubaan dari Allah SWT, ada pihak mengaitkan ia sebagai hukuman kerana melakukan rasuah. Astagfirullah, sedangkan rumah itu saya diami lebih dari 20 tahun yang mana sebelum terlibat dalam politik lagi. Malangnya, apabila saya ditimpa musibah mereka melemparkan fitnah," kata Tengku Adnan ketika ditemui penulis selepas kebakaran itu.
Tengku Adnan merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya sebelum menceburi bidang politik dan ketika ini.
Realitinya, tidak mudah untuk membuang prasangka jika ia sudah berakar umbi dan sebati dalam tubuh seseorang. Apa lagi jika wujud dendam kesumat.
Semasa seorang pemimpin wanita popular Pas meninggal dunia tahun lepas, ucapan takziah turut dimuatkan dalam umno-online. Tetapi nada sebaliknya di sebelah sana. Saban hari kerja Harakah, Rocket dan Suara Keadilan disertai portal-portal pro pembangkangnya 'membelasah' dan 'membantai' kerajaan. Tidak ada satu pun yang elok dan 'kena' pada mata mereka. Gejala itu berleluasa di kala ada antaranya tidak berlesen pun untuk menjual akhbar-akhbar terbitan mereka. Bayangkan kalau sudah ada permit, lagilah 'mengamuk sakan' mereka.
Sentimen terhadap negatifnya parti-parti pembangkang ke atas apa sahaja dilakukan kerajaan untuk kebaikan rakyat memang cukup menyedihkan. Barangkali kerana kerajaan bersikap 'gentleman' dan tidak ambil pusing terhadap mereka.
Namun, nampaknya mereka kian naik tocang pula ibarat 'ayam jantan tetapi ekor penuh bergelumang tahi'. Psywar (perang saraf) terutama daripada DAP, PKR dan apalagi daripada Pas terhadap apa sahaja program bermanfaatkan rakyat daripada BN jelas amat cukup menjengkelkan.
Yang ketara, pembangkang semakin menunjukkan rasa takut dan gentar mereka terhadap BN yang ditunjangi UMNO. Kini mereka melancarkan satu kempen yang disebut A.B.U. bagi singkatan kepada Asal Bukan UMNO atau Anything But UMNO. Betapa takutnya mereka terhadap UMNO atas soal berteraskan dendam mereka terhadap UMNO semata-mata dan bukanlah perjuangan demi rakyat.
Di bibir mereka, hanyalah untuk merampas Putrajaya, rampas dan rampas di kala BN sedang mengusahakan program-program berlabelkan 1Malaysia. Sebutlah apa sahaja, Menu, Kedai, Bantuan dan beberapa lagi yang di hujungnya 1Malaysia. Jika dahulu pandangan sinikal dari keluarga segelintir penyokong Pas, PKR dan DAP, kini ia disambut dengan raut wajah sedikit ceria.
Yang pasti, Pas yang ditubuhkan pada 1951 jika sekadar bertanding 60 hingga 70 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen pada PRU13 nanti, usahlah bermimpi untuk mengetuai pakatan pembangkang mereka. Dengan apa yang Pas lakukan di Selangor, Perak, Kedah dan apa lagi Kelantan yang sudah 20 tahun, tidak ternampakpun pembangunan untuk ummah, apa lagi Universiti Malaysia Kelantan (UKM) pun diusahakan oleh orang UMNO dari Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, maka tentunya orang Melayu sudah ternampak luas tembelang Pas.
Yang pasti juga, ketika penulis meninggalkan rakan tadi di restoran sate Selayang itu, sedikit perubahan ternampak di raut wajahnya. Penulis tidaklah berharap sangat.
Namun hakikatnya PRU13 adalah ujian sebenar kepada kredibiliti Barisan Nasional (BN) walaupun terdapat
tanda-tanda awal bahawa rakyat semakin yakin dengan parti itu selepas kerajaan dilihat komited menunaikan janji-janjinya dalam pilihan raya lalu.
Ketika pilihan raya itu nanti rakyat akan membuat penentuan akhir sama ada BN telah berjaya memenuhi harapan dan kehendak mereka atau sebaliknya.
No comments:
Post a Comment