Pembangkang amalkan sikap ‘double standard’?
Oleh Zulkiflee Bakar
DALAM tempoh dua hari ini, kita ‘dihidangkan’ dengan pendedahan portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK) berhubung kematian Datuk Patrick Wong Kie Yik dan dakwaan dua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) terlibat dalam skandal rasuah pasir di Selangor.
Cuba kita bayangkan apa akan berlaku jika kedua-dua kes itu dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN), apakah pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pas akan duduk diam?
Sudah pasti tidak! Sebaliknya mereka akan menjadi pendedahan berkenaan sebagai modal politik, mereka akan melemparkan kecaman kepada BN dan memburuk-burukkan parti tersebut.
Sebenarnya bukan sahaja dalam kes pendedahan RPK, malahan dalam beberapa kejadian sebelum ini pun yang melibatkan pemimpin pembangkang, pakatan berkenaan akan mengamalkan sikap ‘double standard’.
Bagi mereka, kalau pendedahan itu melibatkan puak mereka, itu adalah fitnah tetapi kalau melibatkan kerajaan BN atau agensi kerajaan itu adalah kebenaran, biar pun acap kali dibuktikan apa yang mereka dakwa atau tuduh hanyalah fitnah semata-mata.
Sebab itulah, dalam berhadapan dengan pendedahan RPK ini, kita ingin melihat sejauh manakah ketelusan dan keikhlasan pakatan pembangkang untuk menegakkan keadilan dan membasmi segala penyelewengan.
Kenapakah kita tidak terdengar seruan popular pembangkang iaitu diadakan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes-kes yang didedahkan?
Bayangkan kalau kes kematian Patrick itu dikaitkan dengan BN dan agensi kerajaan sudah pasti mereka akan tampil dengan desakan supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan.
Mereka tidak akan peduli apa pun penjelasan agensi kerajaan terlibat apatah lagi pemimpin BN, apa yang mereka cuba gambarkan ada sesuatu yang tidak betul apabila tercetus sesuatu peristiwa.
Tetapi di manakah suara yang kononnya memperjuangkan keadilan, ketelusan dan kebebasan ini berikutan pendedahan RPK?
Mungkin pembangkang atau sesiapa sahaja berhak berkata apa sahaja terhadap RPK berikutan pendedahan yang beliau lakukan tetapi soalnya apakah selama ini pembangkang juga mengambil soal kredibiliti individu atau mana-mana pihak yang mendakwa berlaku sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran kerajaan BN?
Kalaulah benar pembangkang tidak bersikap ‘double standard’ sudah pasti mereka akan menerima setiap penjelasan yang dilakukan oleh kerajaan BN dengan hati yang terbuka.
Bagaimanapun itu tidak berlaku, biar pun dalam sesetengah tuduhan ada Ahli Parlimen pembangkang yang dijemput mendapat penjelasan daripada menteri terlibat secara langsung.
Selain itu, apa yang menjadi persoalan kenapakah pemimpin-pemimpin pembangkang yang dikaitkan dengan skandal atau sesuatu penyelewengan itu tidak diarahkan bercuti sehingga siasatan selesai atau meletakkan jawatan? Apakah ‘peraturan’ ini hanyalah termaktub untuk pemimpin-pemimpin BN sahaja?
Oleh itu, penulis percaya pendedahan oleh RPK tidak akan mendapat perhatian pembangkang biar pun mereka kononnya menggesa supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Apa yang jelas mereka akan terus berusaha mengalih isu supaya rakyat tidak akan memperkatakan mengenai pendedahan berkenaan.
Mengalihkan isu sememangnya menjadi kepakaran pakatan pembangkang bagaimanapun dalam isu pendedahan RPK ini mereka tidak boleh memandang remeh.
Ia kerana rakyat sedang menilai sejauh manakah pembangkang yang selama ini sering menggambarkan merekalah makhluk paling sempurna untuk memerintah Malaysia mengendali isu terbaru tersebut.
Bagaimanapun kita percaya, pendedahan RPK ini akan dikaitkan dengan pilihan raya dan mereka akan menuduh ia merupakan agenda politik BN yang mereka dakwa kononnya semakin takut dengan sokongan yang diterima oleh pakatan pembangkang.
Namun begitu tidak semua rakyat boleh diperbodohkan dengan sandiwara politik dan sikap ‘double standard’ pembangkang itu. Mereka juga ingin lihat kalau benarkan pembangkang berhasrat hendak ‘Bersihkan Malaysia’, maka mereka sendiri perlu nampak ‘bersih’.
Apa yang kita lihat sekarang, pembangkang bukannya dilihat ‘bersih’ sebaliknya semakin dilumuri dengan pelbagai masalah dan konflik.
Selain itu, mereka juga berhadapan dengan kelemahan pentadbiran di negeri-negeri yang mereka kuasai serta pelbagai isu melibatkan pemimpin-pemimpin mereka.
Justeru jika dalam isu pendedahan RPK, pembangkang tidak menunjukkan sikap telus, adil dan bebas seperti mana dalam dakwaan-dakwaan melibatkan BN sebelum ini, maka selepas ini mereka tidak berhak hendak bercakap soal berkenaan.
Kita juga ingin menantikan apa kata golongan cerdik pandai, penyelidik dan ‘penyiasat’ dalam PKR, Pas dan DAP yang sebelum ini begitu beria-ia mendedahkan kononnya satu demi satu penyelewengan oleh pemimpin BN.
Kalau betul mereka lakukan semua itu atas nama kebenaran dan keadilan, maka kita juga hendak mendengar desakan mereka berhubung isu melibatkan pemimpin-pemimpin PKR seperti mana didedahkan RPK.
Kita tidak mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin berkenaan terlibat atau bersalah, cuba kita ingin melaksanakan apa yang dilakukan oleh pembangkang sebelum ini iaitu mencari kebenaran.
Ia penting demi membersihkan nama mereka dan juga pihak-pihak yang dikaitkan, kalau pakatan pembangkang yakin pemimpin-pemimpin mereka baik-baik belaka maka apa salahnya meminta suruhanjaya diraja ditubuhkan dan pihak berkuasa menyiasat apa yang berlaku?
Apa pun kita percaya, pakatan pembangkang tidak akan melakukan sedemikian kerana prinsip politik mereka ialah ‘BN buat salah, mereka buat betul,’ kalau ‘BN dituduh itu betul, kalau mereka dituduh itu fitnah.’
No comments:
Post a Comment