Friday, February 10, 2012

mati dipolitikkan

Serangan jantung punca kematian Baharudin

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Seorang pakar patologi hari ini membuat kesimpulan bahawa serangan jantung merupakan punca kematian pemandu teksi, Baharudin Ahmad ketika perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai tahun lalu.

Dr. Khairul Anuar Zainun, 37, berkata, rumusan itu dibuat berdasarkan laporan bedah siasat yang menyimpulkan bahawa jantung Baharudin yang bengkak, besar dan tiga saluran darah tersumbat merupakan punca kepada serangan jantung warga emas tersebut.

Menurut beliau lagi, kesimpulan itu dibuat berdasarkan keadaan jantung Baharudin yang berwarna pucat, terdapat pembentukan tiga bentuk parut dan pemendapan lemak yang sangat teruk pada saluran utama arteri (pembuluh darah).

"Terdapat tiga kepatahan pada tulang rusuk kiri Baharudin disebabkan oleh bantuan pernafasan kecemasan (CPR) yang dilakukan terhadap lelaki terbabit ketika operasi menyelamat.

"Jika patah akibat pukulan, akan berlaku pendarahan, tetapi dalam kes ini tidak berlaku pendarahan kerana paramedik mengunakan CPR untuk menyelamatkan Baharudin," ujar Khairul Anuar yang merupakan Pakar Patologi di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Prosiding inkues yang masuk hari keenam hari ini turut diberitahu oleh Khairul Anuar bahawa beliau tidak mendapati sebarang bahan kimia CS (sejenis bahan dalam gas pemedih mata) berdasarkan ujian spesimen yang dilakukan pada bebola mata dan tangan Baharudin.

Laporan setebal lapan muka surat yang dibentangkan oleh Khairul Anuar berdasarkan bedah siasat yang dilakukannya bersama dua petugas lain pada pukul 11.30 malam, juga menganggarkan kematian Baharudin berlaku antara pukul 2.30 dan 5.30 petang, 9 Julai 2011.

"Tiada sebarang kecederaan, lebam dan luka dijumpai pada badan si mati selain tidak wujud kesan koyak pada tiga helaian pakaian lelaki terbabit," ujar saksi ke-14 itu.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad sama ada berkemungkinan gigi kacip pada bahagian atas kiri patah disebabkan oleh satu alat besi yang dimasukkan ke mulut Baharudin sewaktu operasi menyelamat, pakar patologi tersebut menjawab, kemungkinan tersebut boleh terjadi.

Sementara itu, saksi ke-15, Dr. Mohamad Helmee Mohamad Noor, 41, memberitahu bahawa Baharudin berdepan dengan 90 peratus risiko mengalami serangan jantung berdasarkan keputusan imbasan CT yang dilakukan terhadap lelaki itu pada malam hari kejadian.

Menurut pakar dari Jabatan Radiologi dan Pengimejan HKL itu lagi, penilaian tersebut dibuat dengan melihat wujud pembentukan kalsium yang teruk di saluran darah pada bahagian kiri jantung Baharudin.

Jelas Mohamad Helmee, pemerhatian berkenaan yang dilakukan bersama Ketua Jabatan Radiologi HKL, Dr. Zaleha Abdul Manap turut merumuskan terdapat tiga kepatahan pada tulang rusuk kiri lelaki terbabit.

No comments:

Post a Comment