Sunday, February 26, 2012

media malaysia bebas

Media kita sudah lama bebas


Sekiranya tidak ada kebebasan media, bagaimana boleh wujud banyak portal berita, blog dan akhbar termasuk milik pembangkang di negara ini?


INDEKS Kebebasan Akhbar (PFI) 2011-2012 yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders mencatatkan Malaysia berada di tangga ke-122. Ini memperlihatkan lonjakan berbanding PFI 2010 di mana Malaysia di tangga 144.
Dalam PFI terbaru ini Malaysia mendahului negara Asia Tenggara misalnya Singapura di tangga 135, Thailand (137), Filipina (140) dan Indonesia (146).
Mungkin ada bertanya apa maknanya lonjakan Malaysia dalam indeks yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders? Jawapannya indeks ini bukanlah terlalu penting. Tetapi ia boleh memberitahu dunia tentang tahap kebebasan media negara ini. Ia sekali gus menafikan tanggapan bahawa di Malaysia tiada kebebasan media. Itu sahaja.
Indeks terbaru ini mempunyai kaitan dengan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyuntikkan pembaharuan terhadap kawalan dan tapisan media. September lalu, Najib mengumumkan pemansuhan tapisan kepada media yang menyiarkan laporan mengenai Malaysia. Ini ekoran beberapa ayat dalam majalah The Economist yang melaporkan mengenai perhimpunan haram 9 Julai telah dihitamkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Sebaliknya kerajaan mengambil pendekatan memberi penjelasan terhadap laporan yang tidak tepat mengenai Malaysia dan bukannya mengharamkan atau menghitamkan seperti sebelum ini. Faktor ini dilihat menyumbang kepada indeks kebebasan media selain keputusan kerajaan menghapuskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Antara yang terkandung dalam akta berkenaan mensyaratkan pembaharuan lesen akhbar dibuat setiap tahun.
Pendekatan Najib memberi kelonggaran kepada media asing dan memansuhkan akta yang sudah tidak sesuai dengan dunia persuratkhabaran dan penyiaran negara memperlihatkan kesan positif. Sebenarnya aktivis media tempatan sudah lama mengemukakan cadangan memansuhkan akta itu dan Najib memperlihatkan keberanian untuk berbuat demikian.
Tetapi akta berkenaan bukanlah faktor media di negara ini diikat. Sebelum pengumuman Najib ini pun media tempatan diberi kebebasan. Sebenarnya indeks oleh PFI sangat subjektif dan bukan penanda aras mutlak bebas atau tidaknya media negara ini. Maknanya PFI tidak memberikan gambaran sebenar terhadap kebebasan media.
Kerana itu yang lebih penting kita sendiri dapat merasakan keadaan di mana media tidak "diikat" seperti yang digembargemburkan. Sekiranya tidak ada lonjakan dalam PFI sekalipun, kebebasan itu boleh dirasai dan disaksikan sekeliling kita. Banyak blog, portal berita atau akhbar yang propembangkang menjadi bukti kebebasan media telah lama wujud di negara ini. Kerana itu mengukur kebebasan media sebenarnya tidak memerlukan PFI. Kebebasan dikukur sejauhmana media berkembang dan berperanan membangunkan sosial, ekonomi dan budaya. Hal ini kita dapat saksikan sendiri apabila banyak media mengkritik waima memfitnah kerajaan sekalipun tidak dikenakan tindakan.
Biarpun Malaysia berada di tangga ke-122, kebebasan media negara ini jauh lebih tinggi daripada angka itu. Sekiranya tidak ada kebebasan media, bagaimana boleh wujud banyak portal berita, blog dan akhbar pembangkang di negara ini? Sebahagian besarnya bukan sahaja mengkritik kerajaan malah menyiarkan laporan palsu. Apakah semua ini masih lagi menafikan wujud kebebasan media?
Menuduh
Makna "tidak ada kebebasan media" adalah larangan menyiarkan laporan yang mengkritik dasar-dasar kerajaan dan pemimpinnya. Kalau pembangkang menuduh kerajaan "mengawal" media arus perdana, ini bukanlah tidak ada kebebasan. Sebabnya media milik atau propembangkang boleh menyiarkan tanpa tapisan dan tidak dikenakan tindakan. Mereka perlu ingat, definisi "media" bukan sahaja yang berada dalam arus perdana.
Dengan adanya Internet, kewujudan media baru dalam talian sangat banyak. Media baru ini juga melahirkan portal berita propembangkang seperti Malaysiakini, The Malaysian Insider, Malaysia Today dan beberapa lagi. Selain media baru, media cetak milik pembangkang seperti Harakah dan Suara Keadilan juga boleh dijual dengan bebasnya walaupun kepada bukan ahli.
Pembangkang mesti faham bahawa "media" bukan sahaja Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, The New Straits Times atau saluran RTM dan TV3. Sekiranya benar wujud kekangan atas media ini, kebebasan tetap ada kepada media baru yang disebutkan tadi. Malangnya media bukan arus perdana semuanya bercorak politik dan tidak ada yang berperanan sebagai pemangkin pemikiran dan pembangunan rakyat seperti media arus perdana.
Harakah tidak pernah menyiarkan laporan atau analisis tentang pembangunan rakyat, begitu juga Suara Keadilan, portal Malaysiakini dan Malaysian Insider. Mengikut definisi, Harakah dan Suara Keadilan bukanlah akhbar tetapi buletin yang membawa suara parti. Tetapi berapa orang yang faham definisi ini? Buktinya banyak membandingkan kononnya Harakah dan Suara Keadilan lebih telus apabila menghentam dasar kerajaan. Apakah makna ketelusan itu mesti menghentam dasar kerajaan? Tetapi apabila Utusan Malaysia mengkritik dasar-dasar pembangkang, itu dikatakan tiada kebebasan media.
Semua ini membuktikan kebebasan media di negara ini cuba diselindungkan. Kebebasan melapor, menyiar dan masyarakat pula ada kebebasan mengakses portal atau membeli akhbar di tempat umum adalah kebebasan media.
Sekiranya benar negara ini sangat rendah kebebasan medianya, tentu tidak ada beribu blog yang menulis mengenai politik. Pada era di mana semua orang boleh menjadi citizen journalist, blog adalah media. Semua orang mempunyai peluang menjadi wartawan, setidak-tidaknya kepada blog mereka sendiri. Melonjaknya jumlah blog membuktikan tidak ada sekatan oleh kerajaan. Malah banyak blog yang terang-terang menyiar laporan palsu sebagai bahan sensasi. Andainya dihalang, adakah ini menunjukkan tidak ada kebebasan media?
Ironiknya pihak mendakwa juara memperjuangkan kebebasan media adalah yang paling banyak menyaman media. Mereka memang berhak mengambil tindakan tetapi bukankah ini bertentangan dengan prinsip kebebasan media yang dilaung-laungkan?
Dalam melaksanakan kebebasan media, laporan seimbang adalah sangat penting. Tidak perlulah satu pihak mengganggu media dengan tindakan saman padahal boleh meminta diberi ruang untuk mempertahankan diri dalam media yang sama. Inilah "laporan seimbang" namanya. Maka yang membunuh kebebasan media bukanlah akta berkaitan media tetapi oleh tindakan individu yang pada masa sama memperjuangkan kebebasan media.
Biarlah tahap kebebasan media di negara ini, kita yang tentukan sendiri kerana kita yang menjadi pengguna media, paling tidak menjadi pembaca akhbar atau penonton televisyen. Pihak luar mungkin mendapat maklumat daripada sumber yang berkepentingan. Sebenarnya yang paling penting media bukan sahaja mesti bebas tetapi bertanggungjawab. Kalau bebas tetapi tidak bertanggungjawab hanya menjuarai PFI dan pada masa sama memusnahkan rakyat.

No comments:

Post a Comment