Saturday, February 11, 2012

pas gagal di kedah dan kelantan

Kegagalan Pas di Kelantan, Kedah jadi pengajaran buat rakyat


Md. Othman (dua kiri) menyampaikan notebook kepada ketua kampung di Pejabat UMNO Bahagian Tanjung Piai di Pontian, kelmarin.


PONTIAN 10 Feb. - Rakyat negeri ini diminta menilai sejauh mana kejayaan Pas membangunkan Kelantan dan Kedah sekiranya ingin memilih pemimpin parti itu memegang jawatan Menteri Besar.
Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Md. Othman berkata, kegagalan kerajaan pimpinan Pas di Kelantan dan Kedah menyelesaikan isu seperti air, prasarana, ekonomi dan tanah sewajarnya membuka mata rakyat negeri ini supaya tidak memilih pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
"Jika isu air pun kerajaan Pas Kelantan gagal untuk selesaikan hingga hari ini, bagaimana pula mereka berhasrat menawan negeri Johor yang telah jauh ke hadapan dalam pelbagai bidang.
"Adalah menjadi kerugian besar sekiranya rakyat memilih pakatan pembangkang untuk menerajui Johor kerana negeri ini sedang mengecapi kerancakan pembangunan pesat khususnya setelah kewujudan Iskandar Malaysia. Ia tentunya menjadi kayu pengukur kejayaan Barisan Nasional (BN) membangunkan negeri ini," katanya pada majlis penyerahan notebook kepada penghulu dan ketua kampung bagi kawasan Parlimen Tanjung Piai di sini semalam.
Beliau mengulas laporan beberapa portal berita dan blog yang mendakwa Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub sedang memikirkan kemungkinan akan bertanding di Johor dan menjadi Menteri Besar sekiranya pakatan pembangkang menang.
Bagaimanapun Salahuddin semalam menafikan laporan tersebut dan menegaskan beliau lebih selesa menjadi Ahli Parlimen berbanding Menteri Besar.
Md. Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup Othman berkata, tindakan Ahli Parlimen Kubang Krian itu bertanding di negeri sebenarnya hanya menunjukkan pemimpin Pas tersebut kini semakin tidak diterima oleh rakyat Kelantan.
"Dengan kegagalan membawa pembangunan di negeri Kelantan yang terus dilanda pelbagai isu, beliau ingin mencari jalan selamat dengan memilih Johor untuk meneruskan karier politiknya," katanya.

No comments:

Post a Comment