BN: Mahasiswa jangan terpedaya dakyah pembangkang
6 Februari 2012
PUTRAJAYA - Mahasiswa diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang sengaja memburuk-burukkan segala dasar dan pelaksanaan kerajaan sejak negara mencapai Merdeka.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebagai golongan pandai dan harapan negara, mahasiswa seharusnya bijak berfikir dan membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan sesuatu perkara secara keterlaluan.
"Bila kita dirasuk atau diracuni pemikiran sehingga kadang-kala kita tidak ada timbangtara langsung. Jadi kita mesti gunakan akal kita untuk membuat timbangtara sebab mahasiswa nak idealisme-idealisme yang tertentu tetapi kita juga mesti gunakan akal kita untuk membuat apa yang kita patut hendak buat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program aman kampus kembara mahasiswa bersama masyarakat di sini hari ini.
Beliau berkata tindak tanduk mahasiswa yang keterlaluan juga tidak sama sekali menjejaskan nama baik universiti dan ketenteramaan awam negara ini.
Katanya sebagai kerajaan yang prihatin dan utamakan kebajikan rakyat, kerajaan sedia mendengar ketidakpuasan, rungutan, cadangan dan idea mahasiswa serta melakukan penambahbaikan sekiranya perlu.
Dalam pada itu, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata pembangkang telah mewujudkan satu unit tindakan daerah di seluruh negara bagi meracuni fikiran dan memecah belahkan rakyat.
"Mereka ini diasuh oleh orang tertentu untuk memecah belahkan masyarakat.
Mereka masuk dalam kawasan tertentu iaitu kawasan sasaran yang mereka menang nanti dan mereka akan racun pemikiran rakyat," katanya.
Mengenai kembara mahasiswa, beliau berkata kembara yang bermula hari ini akan berakhir di Puncak Alam, Selangor selepas 14 hari menjelajah meliputi 14 perhentian di Semenanjung dengan mengumpulkan pandangan dan keinginan masyarakat di negara ini untuk disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Seramai 190 orang mahasiswa dengan menaiki 20 kereta, menyertai kembara itu yang dianjurkan alumni pemimpin mahasiswa Aspirasi Malaysia. - Bernama
No comments:
Post a Comment