Wednesday, February 29, 2012

bantu rakyat kahwin

Bantu orang miskin kahwin
Wartawan Sinar Harian
28 Februari 2012
AZ-ZIWAJ
KUALA KRAI - Program Gerbang Az-Ziwaj sehingga kini membelanjakan lebih RM100,000 bagi membantu rakyat miskin di Parlimen ini, mendirikan rumah tangga sejak skim bantuan perkahwinan itu diperkenalkan awal tahun lalu.

Dewan Undangan Negeri (Dun) Mengkebang mencatat jumlah penerima paling tinggi apabila seramai 70 orang dipilih menerima insentif tersebut membabitkan peruntukan­ RM70,000 atau RM1,000 bagi setiap pasangan pengantin.

Bilangan penerima teramai kedua pula ialah Dun Guchil dengan jumlah 26 orang, diikuti Dun Dabong dengan 22 penerima manakala Dun Manek Urai seramai sembilan orang tetapi hanya untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Tiga wakil rakyat dan seorang wakil Kerajaan Negeri di Dun berkenaan berpendapat, perbelanjaan itu adalah bukti jelas keprihatinan Kerajaan Negeri yang sentiasa berusaha meringankan beban hidup rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, biarpun berdepan kekangan kewangan, Kerajaan Negeri berterusan memperkenalkan pelbagai skim bantuan bagi membantu rakyat terutama golongan miskin.

“Walaupun bajet tahunan tidak banyak seperti negeri lain, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Pas dari semasa ke semasa mencari jalan untuk membantu rakyat, sebab itu ada sahaja skim bantuan baru diperkenalkan,” katanya.

Insentif bagi membantu rakyat miskin berkahwin kali pertama ke arah mengurangkan gejala sosial seperti khalwat diumumkan Kerajaan Negeri pada pembentangan Bajet 2011 dengan peruntukan awal RM1.5 juta.

Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah pula berkata, seperti juga skim bantuan lain di bawah Kerajaan Negeri, insentif Gerbang Az-Ziwaj disalurkan kepada rakyat Kelantan tanpa mengira agama, bangsa atau fahaman politik asalkan layak.

Jika ada tapisan sekalipun katanya, ia hanya melibatkan kemampuan kewangan pemohon bagi memastikan golongan sasar yang benar-benar layak dipilih sebagai penerima bantuan.

“Tapisan juga tidak melibatkan wakil rakyat tetapi dilakukan penghulu atau imam mukim kerana mereka lebih tahu tentang kedudukan kewangan anak mukim mereka,” katanya.

Bagi Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim, skim bantuan itu wajar mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat luar bandar di sekitar Dabong yang kebanyakannya berpendapatan rendah.

“Jumlah 22 penerima cek setakat ini adalah bagi tempoh Jun hingga Oktober tahun lalu daripada keseluruhan 45 pemohon dan untuk November 2011 hingga Januari lalu, kita sedang proses 16 lagi permohonan,” katanya.

Pengarah Majlis Tindakan Dun Guchil, Zulkifli Yacob berkata, biarpun digelar masyarakat bandar, masih ramai golongan miskin dan kurang mampu di Dun itu yang mengharapkan adanya skim bantuan seperti Gerbang Az-Ziwaj.

“Selain bantu orang susah kahwin, skim bantuan ini juga diharap dapat mengurangkan gejala sosial seperti khalwat membabitkan golongan miskin, terutama dalam suasana kehidupan di kawasan bandar,” katanya.

No comments:

Post a Comment