Berhati-hati agenda NGO demokrasi
Azmi Hassan
MUNGKIN ramai masyarakat antarabangsa terpinga-pinga dengan keputusan Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) Mesir untuk mengenakan tuduhan kesalahan jenayah ke atas 43 pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana ia bertentangan dengan aspirasi revolusi rakyat yang mahukan Mesir ditadbir secara demokrasi.
Menjadi kemusykilan adalah ke semua NGO tersebut sedikit sebanyak terlibat dalam usaha memperkenalkan demokrasi kepada rakyat Mesir dan secara dasarnya SCAF sepatutnya menerima baik kehadiran mereka.
Menjadi lebih menarik lagi adalah 19 daripada yang dituduh terdiri daripada rakyat Amerika Syarikat (AS) yang bertugas dengan empat NGO Amerika iaitu Institut Demokrat Kebangsaan (NDI), Institut Republikan Antarabangsa (IRI), Pusat Pemberita Antarabangsa (ICJ) dan Freedom House (FH).
Tidak menghairankan jika tuduhan tersebut berlaku sama ada di Rusia, China atau Venezuela kerana beberapa NGO terutama sekali seperti NDI dan IRI dipandang serong tentang niat sebenar mereka menabur bakti demokrasi di negara asing.
Sememangnya kedua-dua NGO ini telah beroperasi di Mesir sejak dari era Hosni Mubarak lagi tetapi inilah kali pertama pekerja NGO tersebut dituduh melakukan kesalahan jenayah yang antara lain beroperasi tanpa permit dan membantu rakyat Mesir untuk kepentingan asing.
Tuduhan kedua dianggap begitu sensitif kerana inti patinya ada kena-mengena dengan kegiatan subversif yang boleh menggugat kedaulatan sesebuah negara. Perlu ditekankan bahawa syak wasangka sebegini sebenarnya yang menjadi masalah utama dengan kehadiran NDI atau IRI di negara luar AS.
Perlu diingatkan kembali pada tahun lepas beberapa parti politik dan NGO Malaysia telah disyaki ada menerima dana kewangan dari NDI dan IRI untuk menjalankan aktiviti harian mereka.
Tindakan SCAF Mesir dianggap begitu terdesak kerana Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton telah memberi amaran bahawa bantuan ketenteraan AS$1.3 bilion dan ekonomi berjumlah AS$250 juta yang telah diperuntukan oleh Washington akan ditarik balik jika tuduhan tersebut tidak dibatalkan.
Jika kedua-dua bantuan tersebut ditarik balik, maka tentera Mesir bakal menerima kesan yang paling ketara kerana selama lebih dari tiga dekad organisasi tentera tersebut amat bergantung kepada dana Amerika.
Untuk menyelami mengapa SCAF mengambil tindakan begitu drastik yang boleh memudaratkan diri sendiri adalah dengan meneliti agenda NDI dan IRI itu sendiri. Kedua-dua NGO tersebut mempunyai kaitan yang agak rapat dengan parti politik Demokrat dan Republikan AS dan sudah pastinya setiap agenda akan menjaga kepentingan Amerika.
Tetapi apa yang lebih penting adalah kedua-dua NGO tersebut yang ditubuhkan pada 1980an oleh pentadbiran Presiden Ronald Reagan adalah untuk mengambil alih peranan aktiviti politik negara asing yang dipelopori oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Pada 1960an dan 70an agensi tersebut bergiat aktif untuk mewarnai suasana politik negara asing dengan memberi sogokan wang kepada ahli politik yang boleh dibeli. Setelah kegiatan CIA itu terbongkar, Reagan mengambil keputusan menubuhkan NDI dan IRI untuk melakukan tugas yang agak selari dengan CIA tetapi secara terbuka dan mengikut lunas undang-undang tempatan.
Kegiatan aktiviti demokrasi NDI dan IRI di Mesir bukan calang-calang kerana mereka mempunyai dana yang begitu lumayan untuk diagihkan kepada NGO lain di Mesir. Pada Mac lepas, Washington memperuntukan geran sebanyak AS$65 juta untuk NGO Mesir dan sebahagian besarnya adalah untuk NDI dan IRI.
SCAF merasa begitu curiga terhadap kegiatan NDI dan IRI kerana begitu percaya ia boleh menggugat kestabilan Mesir. Sebabnya demonstrasi yang berterusan masih berlaku terutama sekali di Dataran Tahrir disyaki angkara dan dorongan kedua-dua NGO ini.
Terdapat tuduhan bahawa operasi NDI dan IRI adalah begitu licik sehinggakan mampu mencetuskan huru-hara atau menjatuhkan sesebuah kerajaan negara asing. Tumbangnya pemerintahan Yugoslavia Slobodan Milosevic pada tahun 2000 disyaki didalangi oleh NDI dan IRI.
Begitu juga dengan meletusnya Revolusi Mawar rakyat di Georgia pada 2003 dan Revolusi Orange rakyat Ukraine pada tahun berikutnya, ramai yang menuduh NDI dan IRI menjadi dalang di sebalik tabir. Sebab itu pada 2006, Presiden Rusia pada ketika itu Vladimir Putin memperkenalkan undang-undang mengekang NGO asing yang berkait dengan aktiviti demokrasi.
Ada yang menuduh tindakan SCAF adalah kerana pertembungan kuasa dengan kumpulan Ikhwan Muslimin yang mengusai sebahagian besar Parlimen Mesir. Mungkin SCAF ingin mempamerkan bahawa mereka tidak mengikut telunjuk Washington dan berani mengambil tindakan menongkah arus.
Tetapi mungkin ada juga kebenaran kebimbangan SCAF terhadap aktiviti NDI dan IRI kerana di Mesir terdapat 69 NGO antarabangsa dan 23 daripadanya adalah berpengkalan di AS dan tindakan undang-undang hanya dikenakan pada empat NGO Amerika iaitu NDI, IRI, ICJ dan FH yang dikatakan beroperasi secara haram.
Apa yang dilakukan oleh SCAF adalah mengikut lunas undang-undang Mesir dan sebab itu pekerja NGO tersebut bakal dibawa ke pengadilan mahkamah. Adalah begitu ironis sekali jika NDI dan IRI begitu gah dengan aktiviti demokrasi mereka tetapi menjalankan aktiviti mereka secara tidak sah di Mesir. Adalah begitu mengaibkan sekali jika NGO Amerika itu cuba memberi tunjuk ajar demokrasi kepada rakyat Mesir sedangkan pertubuhan tersebut langsung tidak menghormati kehendak undang-undang Mesir.
PENULIS ialah GeoStrategis Institut
GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu
Majlis Profesor Negara
No comments:
Post a Comment