Wednesday, February 1, 2012

sakit jantung da...

Baharudin mati sakit jantung

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Inkues untuk menyiasat punca kematian pemandu teksi, Baharudin Ahmad ketika perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai tahun lalu diberitahu bahawa lelaki itu meninggal dunia disebabkan oleh penyakit jantung.

Perkara tersebut diberitahu oleh anak sulung Baharudin, Dr. Ummi Mirza, 26, di Mahkamah Koroner di sini hari ini, berdasarkan laporan bedah siasat yang dilakukan oleh seorang pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas ayahnya disahkan meninggal dunia.

Beliau turut dimaklumkan oleh pakar tersebut yang dikenali sebagai Dr. Khairul Anuar, selain penyakit jantung, hasil bedah siasat juga mendapati tidak wujud kesan lebam pada seluruh badan Baharudin.

Jelasnya lagi, laporan bedah terbabit turut menyatakan, kesan retak di bahagian tulang rusuk Baharudin disebabkan oleh bantuan pernafasan pemulihan kardiopulmonari (CPR) yang dilakukan terhadap Allahyarham ketika dijumpai di Pusat Beli-Belah Avenue K di sini.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad sama ada saksi kelima inkues tersebut bersetuju dengan hasil laporan bedah siasat berkenaan, Ummi Mirza menjawab, beliau tidak bersetuju dengan penemuan tersebut.

Terdahulu, Ummi Mirza yang merupakan lulusan ijazah perubatan dari sebuah universiti di Indonesia, memberitahu, beliau mengetahui berita ayahnya dimasukkan ke HKL menerusi panggilan telefon oleh adik keduanya, Muhammad Nasrul, 23.

‘‘Selepas mendengar berita tersebut, saya dengan pantas berlari menuju ke wad kecemasan HKL untuk mencari ayah.

‘‘Saya pun menghubungi telefon bimbit ayah yang kemudiannya dijawab oleh seorang wanita tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai Syairah, selain memberitahu di mana lokasi arwah berada,’’ ujar Ummi Mirza yang kini merupakan pegawai perubatan siswazah di HKL.

Beliau ketika itu bertugas di Jabatan Pembedahan Am secara tiba-tiba terlihat ayahnya dalam sebuah bilik yang sedang dikelilingi oleh sekumpulan doktor dan jururawat bertungkus-lumus merawat Baharudin.

‘‘Saya berdiri di hadapannya dan hanya mampu menangis selain berkata, ayah, Mirza minta maaf, halalkan makan minum. Terima kasih ayah.

‘‘Seorang doktor yang merawat arwah kemudian memaklumkan kepada saya bahawa ayah telah pun meninggal dunia sebelum tiba ke hospital,’’ kata wanita terbabit.

Turut dipanggil sebagai saksi pada prosiding inkues kedua hari ini ialah dua pegawai polis yang mengawasi di kawasan sekitar Kuala Lumpur City City Center (KLCC) iaitu Supritendan Zahari Mohd. Yosoff, 55, dan Inspektor Muhammad Rostam Muhammad Noh, 33.

Kedua-duanya dalam keterangan berasingan mengatakan bahawa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tidak pernah menggunakan semburan water canon dan gas pemedih mata ketika itu.

Ditanya oleh peguam Ahmad Jufliz Faiza yang mewakili keluarga Baharudin berhubung situasi KLCC pada hari kejadian, Zahari selaku Pegawai Pemerintah Unit 1 FRU, memaklumkan kawasan tersebut dalam keadaan tenang dan terkawal.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Zulkpli Abdullah diadakan untuk menyiasat punca kematian Baharudin, 60, yang ditemui meninggal dunia ketika perhimpunan haram Bersih pada Julai tahun lalu disambung pada 2 Februari ini.

No comments:

Post a Comment