Wednesday, February 8, 2012

kubur sempit

Tanah perkuburan sempit
Wartawan Sinar Harian
7 Februari 2012
Khairi-Ahmad-ketika-ditemui-di-tanah-perkuburan-Islam-Pekan-Paloh-menunjukkan-kawasan-perkuburan-yan
PALOH - Masyarakat Islam di kawasan Pekan Paloh di sini menggesa Pejabat Agama Islam Daerah mahupun Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) segera mengeluarkan surat kuasa bagi menggunakan tanah wakaf yang baru menggantikan Tanah Perkuburan Islam sedia ada.

Ia berikutan tanah perkuburan sedia ada sudah ketiadaan ruang untuk tujuan pengebumian jenazah sekali gus menuntut mereka mendapatkan hak menggunakan tanah wakaf yang disediakan terletak di Ladang Sungai Sepuluh, Paloh.

Ahli Jawatankuasa Masjid Paloh, Khairi Ahmad berkata, tanah perkuburan tersebut mula digunakan sejak kira-kira 20 tahun lalu dan keseluruhan ruang tanah sudah tiada untuk digunakan lagi.

“Keadaannya terlalu penuh sehingga ada jenazah yang dikebumikan betul-betul di jalan masuk ke tanah perkuburan ini selain ada jenazah yang terpaksa menyelit diruang yang hanya muat untuk satu jenazah sahaja.

“Kita amat memerlukan kelulusan tanah wakaf yang baru yang terletak di Ladang Sungai Sepuluh yang terletak kira-kira tiga kilometer dari pekan Paloh ini bagi menggantikan tanah perkuburan sekarang," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid Paloh, Hassan Sarkon berkata, masyarakat Islam di sekitar pekan ini sememangnya mengalami masalah ketiadaan kawasan tanah perkuburan dan buntu memikirkan untuk menggunakan kawasan mana sekiranya berlaku kematian.

“Selain masalah kekurangan tempat, kami juga mengalami masalah di tanah wakaf di Ladang Sungai Sepuluh yang seluas 6.4 hektar itu yang sepatutnya diwakafkan sebagai tanah perkuburan itu telah dipenuhi dengan tanaman ubi kayu dan kelapa sawit.

“Kami sendiri tidak menyangka perkara tersebut boleh berlaku sedangkan dalam pengetahuan kami kawasan tersebut merupakan tanah wakaf bagi tanah perkuburan yang baru dan bukan tanah untuk dibuat pertanian,” katanya.

Dalam pada itu, Hassan memohon pihak Jaij Daerah Kluang mahupun Kerajaan Negeri membuat siasatan dan turun padang melihat permasalahan tersebut.

No comments:

Post a Comment