Masyarakat Orang Asli gembira terima rumah PPRT
7 Februari 2012
Difahamkan, walaupun hanya dua daripada 16 permohonan yang dibuat melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) diluluskan, namun kegembiraan tetap dirasai kerana nasib masyarakat Orang Asli di sini dilihat masih terbela.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Langkap, Abu Aman, berkata, penerima bantuan berkenaan seakan tidak percaya dapat tinggal di rumah baru yang cantik dan mereka sememangnya sangat gembira.
“Seperti yang diketahui, rumah Orang Asli masih ada yang beratapkan daun rumbia dan berdindingkan buluh kerana tiada wang untuk membina rumah sendiri. Maka, permohonan itu sebagai alternatif untuk membantu mereka,” katanya ditemui di rumah salah seorang penerima bantuan PPRT, Anuar Amat.
Sementara itu, Abu berkata, sepanjang tempoh dua tahun memegang jawatan sebagai Ketua Kampung, sebanyak 13 rumah telah dibina di kampung berkenaan.
Menurutnya, kesejahteraan masyarakat Orang Asli sentiasa diberi perhatian terutama berkaitan gangguan bekalan air.
“Memandangkan rumah Orang Asli jauh di dalam hutan, gangguan bekalan air sering terjadi. Ini menimbulkan rasa kurang selesa kerana walaupun ada sumber air dari sungai tetapi ia belum tentu bersih.
“Justeru, pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah menyediakan 52 tangki air bagi kemudahan penduduk tetapi terdapat beberapa rumah masih belum mendapat kemudahan itu.
“Bagaimanapun, kita akan diberi perhatian sepenuh terhadap masalah ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment