Kuasa Melayu terletak pada undi
RABU lalu, 15 Februari adalah hari ulang tahun ke-70 penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu, termasuk Singapura.
Pada 15 Februari 1942, tentera Jepun mengalahkan angkatan bersenjata British dan menjadikan penduduk Tanah Melayu sebagai anak jajahannya.
Orang Melayu tidak ada kuasa apa-apa. Mereka hanya dapat memerhatikan peralihan kekuasaan daripada British ke Jepun. Apabila Jepun kemudiannya menyerah kalah, British pula kembali berkuasa.
Walaupun negeri ini tanah air mereka, orang Melayu tidak mempunyai kuasa di tangan mereka. Sebelum penaklukan Jepun itu, orang Melayu yang menjadi rakyat kepada raja masing-masing hanya melihat betapa semua kekuasaan politik dan ekonomi dipegang oleh British.
Raja-raja Melayu yang walaupun berdaulat tetapi hanya berkuasa dalam soal hal ehwal agama Islam dan adat istiadat. Sementara rakyat negeri-negeri Melayu tidak mempunyai kuasa apa-apa.
Apabila Jepun menakluk Tanah Melayu, rakyat negeri ini dizalimi sewenang-wenangnya. Orang Melayu dijadikan hamba untuk memenuhi nafsu megalomania Tokyo.
Jepun dengan mudah menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu serta raja-rajanya kepada Siam. Orang Melayu marah tetapi tidak berdaya apa-apa.
Begitu juga apabila British kembali dan menubuhkan Malayan Union. Rakyat Melayu tidak mempunyai kuasa. Hanya apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dan pilihan raya pertama diperkenalkan pada tahun 1955, barulah buat pertama kalinya dalam sejarah orang Melayu mendapat kuasa untuk menentukan masa depan politik mereka.
Melalui pilihan raya untuk memilih Majlis Perundangan Persekutuan itu, rakyat negeri ini memberi mandat kepada Perikatan untuk meneruskan usaha bagi mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.
Untuk mendapatkan kuasa itu, setiap rakyat Tanah Melayu yang layak perlu mendaftar dan mengundi. Jika mereka tidak mendaftar untuk mengundi, maka tidaklah mereka memiliki kuasa.
Sememangnya sekeping undi itu sajalah yang merupakan kuasa bagi seseorang rakyat dewasa.
Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Perlembagaannya menguatkuasakan penubuhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melaksanakan tugas mendaftar pengundi. Rakyat Tanah Melayu yang layak mempunyai hak mengundi. Hak inilah satu-satunya kuasa mereka. Mereka tidak memiliki kuasa lain daripada hak ini.
Kuasa ini berupa dua jenis undi. Satu undi untuk memilih wakil mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, dan satu lagi ialah untuk ahli Parlimen di peringkat persekutuan.
Tetapi jika mereka tidak mendaftar dengan SPR sebagai pengundi, maka tidak adalah kuasa ini.
Apa yang disebut sebagai kuasa rakyat terletak pada mendaftar dan mengundi. Begitu juga dengan kuasa rakyat Melayu, jika mereka tidak berdaftar dan mengundi, walau berbuih mulut mereka berbahas di kedai kopi mengenai politik, kuasa tidak ada pada tangan mereka.
Ini kerana kuasa hanyalah bagi mereka yang mendaftar.
Kini penduduk Semenanjung Malaysia telah melalui 13 kali pilihan raya. Satu pilihan raya pada tahun 1955 iaitu sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Justeru dikira pilihan raya bermula pada tahun 1959 dan yang terakhir ialah pada tahun 2008 dengan disifatkannya sebagai Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12.
PRU ke 13 dijangka diadakan pada tahun ini atau depan. Namun dari segi Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1963, maka PRU pertama sebenar Malaysia berlaku pada tahun 1964.
Jadi saban pilihan raya, kerajaan dipilih oleh majoriti rakyat. Maka rakyatlah yang menentukan parti mana yang akan menjadi kerajaan.
Apa yang disebut sebagai rakyat di sini ialah mereka yang pergi mengundi. Para pengundilah yang menentukan kerajaan.
Berdaftar
Tetapi untuk membolehkan mana-mana rakyat mengundi, mereka mestilah berdaftar dengan SPR. Maksudnya di sini, warganegara yang berdaftar sebagai pengundilah sebenarnya menentukan parti politik yang mana menubuhkan kerajaan. Jika mereka tidak mengundi, setakat mendaftar, kuasa politik mereka tidaklah terlaksana.
Apatah lagi kalau tidak berdaftar. Justeru, jika seseorang bercakap mengenai kuasa politik Melayu, apa yang digambarkan tidaklah boleh dikira dari segi bilangan penduduk Melayu berbanding dengan orang bukan Melayu.
Apa yang sebenarnya perlu digambarkan ialah bilangan orang Melayu yang berdaftar sebagai pengundi. Mereka inilah yang sebenarnya pemegang kuasa politik Melayu. Bagi orang Melayu yang tidak berdaftar, maka mereka tidak memiliki apa-apa kuasa.
Tanpa kesedaran kepentingan kuasa politik, sebenarnya orang Melayu yang tidak berdaftar sebagai pengundi ini hanya bergantung kepada pilihan mereka yang berdaftar.
Baru-baru ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyatakan bahawa lebih 3.73 juta rakyat negara ini yang layak mengundi belum mendaftar.
Maknanya, 3.73 juta rakyat negara ini tidak memiliki kuasa politik kerana mereka tidak berdaftar. Mereka melepaskan hak begitu saja.
Justeru jika mereka merupakan orang Melayu, aspirasi bangsa tidak terserlah sepenuhnya kerana ketiadaan mereka dalam daftar pemilih.
Dalam demokrasi, mereka juga mempunyai hak untuk tidak menyertai proses pilihan raya. Tetapi pada waktu sama ia juga menunjukkan kesedaran tanggungjawab politik yang rendah dan lemah di kalangan mereka.
Hakikatnya ialah kesedaran berpolitik ini tidak semestinya ada secara semula jadi. Ia perlu dipupuk dan digalakkan. Kalaulah dahulu rakyat negara ini tidak mempunyai kesedaran politik untuk merdeka, mungkin mereka hanya menerima apa saja penjajah tentukan.
Umpamanya kalau dulu penjajah British mahu terus menguasai negara ini dengan memperkenalkan Malayan Union, maka orang Melayu hanya terima saja kerana ketiadaan kesedaran kebangsaan. Walaupun dengan menerima keadaan itu, mereka kehilangan hak sebagai orang Melayu yang memiliki negeri ini.
Usaha meniupkan kesedaran dan semangat kebangsaan tidak datang dengan sendirinya. Ia perlu digemblengkan oleh pergerakan dan pertubuhan.
Kalau dahulu, perjuangan kemerdekaan digerakkan oleh bukan saja parti-parti politik tetapi juga persatuan-persatuan Melayu, malah akhbar seperti Utusan Melayu.
Maka kali ini, usaha menyedarkan rakyat negara ini mendaftar sebagai pemilih bagi membolehkan mereka mengundi, terutama dalam pilihan raya umum yang tidak berapa lama lagi perlu digerakkan oleh semua pihak.
Di kalangan orang Melayu, parti politik, NGO dan sesiapa saja yang mengambil berat terhadap nasib bangsa wajar mengajak sesama warganegara mendaftar sebagai pemilih. Ia merupakan tugas nasional.
Tugas mendaftar dan menggalak rakyat melakukannya bukan terletak pada SPR semata-matra. Ia adalah peranan rakyat yang insaf.
Antara ciri-ciri demokrasi adalah persepakatan minda rakyat, yang walaupun pelbagai tetapi secara keseluruhan memiliki kebijaksanaan bersama dalam menentukan pemerintahan negara.
Maka itulah pentingnya lebih banyak rakyat berdaftar sebagai pemilih dan selanjutnya mengundi dalam pilihan raya umum.
No comments:
Post a Comment