Tuesday, February 7, 2012

the lion of the desert

Cara Gaddafi memanfaatkan filem tanam semangat perjuangan

Oleh Ku Seman Ku Hussain

FILEM The Lion of the Desert (1981) arahan Moustapha Akkad akan disiar di TV AlHijrah pada Ahad ini. The Lion of the Desert bukan filem Hollywood walaupun pelakon utamanya Anthony Quinn pelakon gred A, Hollywood.

Ia sebuah filem Libya dibiayai oleh bekas Presiden Muammar Gaddafi dan diarahkan oleh pengarah Islam asal Syria.

The Lion of the Desert memberi makna besar kepada umat Islam. Sejarah pejuang Islam, Umar Mokhtar menentang penjajah Itali pada era Benito Mussolini di Libya tahun 1929 adalah mengangkat penentangan Islam terhadap penjajah Itali. Islam bukanlah pelampau seperti dakwaan Barat hingga tercetusnya Islamofobia.

Filem dihasilkan dengan berbagai-bagai matlamat. Amerika menghasilkan filem untuk memasarkan “budaya Amerika” dan perniagaan, China pula untuk menuntut demokrasi daripada komunis dan kita pula sebahagian besarnya hanya untuk mengaut keuntungan.

Tetapi Gaddafi membuat filem untuk mengangkat perjuangan Islam. Dia bukan hendak mengikut acuan Amerika semata-mata untuk mendapat pulangan dan keuntungan.

The Lion of the Desert dizahirkan dengan belanja AS$35 juta. Tetapi pulangannya hanya AS$1.5 juta. Daripada sudut perniagaan, penerbitan filem ini merugikan. Tetapi kerana filem ini bukan bertujuan perniagaan, ia sangat menguntungkan.

Buktinya ia telah mengangkat perjuangan Islam mempertahankan tanah airnya. Inilah cara Gaddafi menggunakan filem, daripada bahan perniagaan kepada membangun semangat perjuangan Islam.

Gaddafi berjaya mendapat pelakon terhebat dunia seperti Anthony Quinn untuk melakonkan watak Umar Mokhtar. Dia tahu pengaruh Quinn di pentas dunia cukup hebat dan apabila memegang watak pejuang Islam, filem ini diperhati dan diteliti. Tetapi Gaddafi tidak memberi tugas mengarah kepada Hollywood. Ini kerana hala tuju sesebuah filem ditentukan oleh pengarahnya.

Maka The Lion of the Desert juga menjadi suara perjuangan Moustapha Akkad yang sebelum itu mengarahkan Mohamad, Messenger of God (1977) yang mendapat tentangan Liga Arab terutama Arab Saudi. Tetapi Gaddafi menyokong dan memberi bantuan kewangan hingga dapat disiapkan. Mohamad, Messenger of God (Message) telah disiarkan Ahad lalu di TV AlHijrah.

Barat terutama Amerika mempunyai prasangka buruk terhadap The Lion of the Desert kerana mengangkat pejuang Islam. Pulangan AS$1.5 juta itu kerana pengedar besar di Amerika memulaukan pengedaran filem ini selain diharamkan di Itali.

Tujuannya untuk menyekat pengaruh The Lion of the Desert yang bertentangan dengan matlamat filem Amerika. Kerana itu tahniah kepada TV AlHijrah yang dapat melihat nilai filem ini di luar prasangka buruk Barat terhadap Islam.

No comments:

Post a Comment