Wednesday, February 1, 2012

feedlot

Shamsubahrin dibicara 4 April

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 4 April ini perbicaraan kes seorang ahli perniagaan yang didakwa menipu pengarah syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail membabitkan pemberian cek bernilai RM1.75 juta.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan perbicaraan ke atas tertuduh, Datuk Shamsubahrin Ismail, 45, dijalankan pada 4 hingga 6 April, 14 hingga 18 Mei dan 21 hingga 25 Mei ini.

Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa menyatakan, pihak pendakwaan akan memanggil 15 saksi.

Tertuduh yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat Shamsubahrin Ismail Resources Sdn. Bhd. didakwa menipu Mohamad Salleh dengan menjanjikan kepada mangsa satu perkhidmatan rundingan dan nasihat yang pada pengetahuan tertuduh tidak benar.

Perbuatan itu bertujuan memperdaya Mohamad Salleh sehingga mendorong mangsa bersetuju membayar wang perkhidmatan tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini pada pukul 6 petang, 20 November lalu.

Bagi tuduhan kedua, Shamsubahrin didakwa memperdaya Mohamad Salleh sehingga mendorong mangsa menyerahkan cek berjumlah RM1.75 juta kepada tertuduh di kawasan Solaris Mont. Kiara di sini antara 25 November dan 6 Disember lalu.

Pada 27 Januari lalu, tertuduh yang sepatutnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang dan Shah Alam telah didakwa di Wad 8A, Hospital Tengku Ampuan Rahimah berikutan tertuduh sedang menjalani rawatan di situ.

Pada prosiding itu, dia didakwa menipu pemandu teksi, Limat Jonit, 57, dengan mempelawa lelaki itu melabur dalam perniagaannya yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa memasukkan RM90,000 ke dalam akaun tertuduh di Maybank Pelabuhan Klang pada 24 Mac 2010.

Dia juga didakwa memperdayakan Aina Naridar Abdullah, 45, untuk membekalkan dua pembantu rumah sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM13,000 ke dalam akaunnya di Malayan Banking Bhd. di Seksyen 14, Shah Alam dekat sini pada 28 Julai tahun lalu.

Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili oleh peguam bela, Zarina Ismail.

No comments:

Post a Comment