Sunday, February 26, 2012

selera makan pemimpin korea

Antara selera dan nafsu




NAFSU makan kalau terlalu diikutkan mampu mengundang bahaya dari sudut kesihatan. Namun ini tidak bermakna, kita tidak boleh merasai nikmat makanan sehingga mengawal selera keterlaluan. Apa yang penting, jangan keterlaluan sehingga menyebabkan pembaziran.
Pemimpin diktator seperti Joseph Stalin, Hitler dan beberapa lagi dilaporkan hidup mewah dan menikmati hidangan yang melampau pada saat rakyatnya dicatu makan dan hidup merempat.
Bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il yang meninggal dunia tahun lepas pula dikatakan mempunyai selera pelik yang menjengkelkan.
Perkara itu didedahkan oleh bekas tukang masaknya, Kenji Fujimoto, yang bertindak melarikan diri 10 tahun lepas.
Mentah Menurut Fujimoto, Jong-il penggemar makanan ikan mentah, sashimi. Apa yang peliknya, `mentah’ bagi Jong-il bererti ‘hidup-hidup’.
“Ikan yang disediakan perlu masih hidup dengan mulutnya masih bergerak-gerak pada saat pertama Jong-il menjamahnya.
“Ia benar-benar memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menyediakannya kerana ikan tersebut perlu dipotong berhati-hati tanpa merosakkan organ dalamannya bagi memastikan ia masih hidup ketika Jong-il mencicip shasimi ke mulutnya,” katanya.
Sikap cerewet Jong-il terhadap apa yang dimakan dan diminumnya, membuatkan Fujimoto terpaksa mengembara ke seluruh dunia untuk mendapatkan hanya yang segar untuk pemimpin Korea Utara itu.
Contohnya buah-buahan mesti dari China, Malaysia dan Thailand, makanan laut dari Jepun, kaviar dari Iran dan Uzbekistan manakala arak dari Amerika Syarikat (AS) dan Republik Czech.
Malah beras yang digunakan perlu diperiksa satu persatu hanya untuk mengasingkan beras yang patah atau hancur.
Memikirkan nasib penduduk negara itu yang berjumlah 22 juta orang dan pernah mengalami kekurangan makanan sehinggakan tiga juta daripadanya mati akibat kebuluran pada awal 1990-an – sukar untuk membayangkan bagaimana Jong-il boleh sewenang-wenangnya bermewah-mewah dengan makanan.
Tumpuan Pancawarna minggu ini menyorot selera pemimpin dunia untuk tatapan pembaca.
Sama-samalah kita nilai sendiri bagaimana kelakuan yang seharusnya bagi seorang pemimpin itu supaya mereka lebih dihormati dan disenangi.

No comments:

Post a Comment