Monday, February 13, 2012

keluhan guru

Bukan semua pelatih guru dapat elaun

PELAJAR GURU
Kajang, Selangor.

SAYA ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), Sabah, kerana menulis berkaitan dengan BB1M seperti yang disiarkan dalam akhbar ini baru-baru ini.

Kepada rakan Kesang Boy, saya juga mengucapkan terima kasih dengan reaksi anda tetapi fakta yang diberikan perlu diulas dengan lebih terperinci.

Untuk makluman, terdapat dua kategori pelajar di IPG. Pertama, pelajar sepenuh masa (PPSIMP, PISMP dan DPLI) dan kedua, pelajar Kursus Dalam cuti (KDC), Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) serta pelajar Pengajian Jarak Jauh (PJJ).

Sememangnya benar bahawa pelajar sepenuh masa PPISMP dan PISMP telah menerima elaun buku. Oleh itu, saya yakin pelajar IPG yang menulis bukanlah daripada program sepenuh masa.

Kami, pelajar separuh masa (KDC, LPBS, PGSR, KDPM & PPG) yang belajar di IPG tidak menerima elaun buku seperti yang diterima oleh pelajar sepenuh masa. Justeru itu, kami juga perlu membeli buku rujukan untuk pengajian kami.

Selama ini saya hanya menggunakan perkhidmatan fotostat kerana saya perlu berjimat dalam pengajian memandangkan saya dan rakan lain tidak menerima elaun lain, kecuali hanya ditaja yuran pengajian sahaja.

Saya inginkan penjelasan daripada pihak berkenaan, mengapa kami tidak layak untuk menerima bantuan BB1M ini? Mengapa pula rakan kami program daripada Sarjana Muda Perguruan (SMP) dan Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang ditaja oleh KPM tetapi belajar di IPTA serta IPTS dibantu dengan baucar BB1M ini?

Lebih menghairankan saya ialah pelajar yang ditaja oleh JPA melalui Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) peringkat sarjana dan doktor falsafah di IPTA turut dibantu dengan baucar BB1M.

Mereka juga telah menerima elaun buku dengan jumlah RM1,000 hingga RM1,800 setahun. Justeru itu, apa kurangnya mereka dan lebihnya kami sehingga tidak diberi bantuan itu?

Saya mohon Rektor IPGM dapat melihat perkara ini dan mengambil tindakan proaktif dengan sewajarnya dalam usaha menyelesaikan isu ini.

No comments:

Post a Comment