Disangka surau rupanya tandas
Tarikh : January 2, 2012
Namun, itulah realitinya yang terjadi di Jalan Padang Polo apabila bumbung tandas awam milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) direka seakan kubah masjid dan kelihatan seperti surau kecil.
Ketua Penerangan Pas Tanjung, Rashidi Salim berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai bentuk bumbung tandas berkenaan.
Menurutnya, walaupun tandas awam itu dibina sejak 2000 dahulu namun kerajaan sekarang patut mengambil tindakan dengan mengubahnya kepada yang lebih baik.
“Isu tandas yang menyerupai rumah ibadat sememangnya sensitif, kami bukan perkauman tetapi apabila anda sendiri sebagai umat Islam melihat tandas yang mempunyai bentuk seakan masjid atau surau, apa perasaan anda?.
“Begitu juga kalau ada tandas yang dibina seperti tokong atau kuil, pasti ada penganutnya yang sensitif, jadi kami mohon supaya MPPP membuang bentuk kubah yang berada di atas tandas ini,” katanya.
Padang Polo sememangnya terkenal berikutan lokasinya menjadi tempat orang ramai berkunjung untuk mengadakan aktiviti pada hujung minggu dan sebagai kawasan latihan bola pada setiap waktu petang.
Sementara itu, Ketua Lajnah Pas Tanjung, Fadzil Yahaya berkata, sepatutnya MPPP mengambil tindakan tegas dengan segara mengubahkan kubah berkenaan.
Katanya, ia bukan sahaja menimbulkan persepsi yang kurang enak dalam kalangan umat Islam tetapi menimbulkan rasa curiga kepada penganut bukan Islam.
“Kalau mereka (orang bukan Islam) tengok dan lihat tandas kita macam masjid apa yang dikata mereka, setahu saya kubah berkenaan dibina untuk membawa pencahayaan yang lebih masuk ke dalam tandas tanpa menggunakan tenaga elektrik.
“Keadaan tandas di sini juga elok dan masih bersih tetapi rugi sekiranya reka bentuknya tidak sedap mata memandang, dari laporan yang kami terima, orang ramai tahu ia tandas kerana ada papan tanda di situ, kalau tiada, pasti orang fikir ia surau,” katanya.
Dalam masa yang sama, Rashidi meminta MPPP membina sebuah lagi surau di tapak Padang Polo bagi menampung keperluan umat Islam yang ramai menggunakan padang terbabit.
Katanya, sebelum ini surau yang berdekatan terletak di hospital dan menyukarkan orang ramai untuk ke sana.
“Apa salahnya jika ada peruntukkan dan Kerajaan Negeri membina sebuah surau di sini untuk kemudahan mereka yang ada aktiviti di Padang Polo,” katanya.
No comments:
Post a Comment