Sunday, January 15, 2012

jangan mimpi

Usah mimpi rampas kerusi
Wartawan Sinar Harian
January 15, 2012
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek
KUALA PILAH – “Pas boleh cakap apa sahaja yang mereka hendak cakap, tapi mereka tidak akan berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Senaling dan Johol,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek.

Beliau berkata demikian sebagai menyangkal kenyataan pemimpin Pas untuk merampas dua kerusi Dun berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Menurutnya, BN juga mampu beri kenyataan akan merampas Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan pada PRU kali ini, namun BN tidak tergugat dengan kenyataan Pas itu.

“Kemenangan parti ditentukan oleh rakyat sendiri dan saya yakin sokongan penduduk Kuala Pilah masih berpihak kepada BN dengan majoriti kemenangan lima kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod, Kuala Pilah belum pernah dirampas parti pembangkang.

“Ini kerana, kerajaan di bawah pimpinan BN sentiasa menjaga kebajikan rakyat dari segi pembangunan seperti mana yang dikecapi hari ini.

“Contohnya, infrastruktur jalan raya yang dinaik taraf di jalan Bukit Putus lama. Mereka sahaja yang buta hati dan tidak melihat pembangunan yang ada di Kuala Pilah,” katanya.

Dalam pada itu, Hasan yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah memberitahu, tiada istilah dipinggirkan walaupun Dun Johol tidak memiliki wakil rakyat selepas pemergian Allahyarham Datuk Roslan Md Yusof.

“Di Dun Johol, ada dua pemimpin yang menggalas tanggungjawab iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Menanti, Datuk Abd Samad Ibrahim dan Adun Senaling, Datuk Ismail Lasim. Mereka menjalankan tugas dengan baik dan tidak timbul isu rakyat di Dun Johol dipinggirkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, parti pembangkang boleh keluarkan sebarang kenyataan tetapi kebajikan dan pembangunan kepada rakyat masih belum dapat dilihat.

No comments:

Post a Comment