Tuesday, January 24, 2012

peranan ulamak politik

Peranan ulama dan ahli politik Islam

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
PROF. MADYA DR. SAODAH ABD RAHMAN, Jabatan Usulluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

UMAT Islam terutamanya bergelar ulamak dan cendekiawan Islam sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian kepada permasalahan peribadi dan perubahan struktur sosial masyarakat Islam yang terumbang ambing dalam era globalisasi.

Bertambahnya bilangan wanita Islam yang melacurkan diri di rumah pelacuran dan pelbagai gejala sosial yang dihadapi umat Islam dalam negara ini merupakan salah satu contoh yang menunjukkan struktur sosial umat Islam telah berubah. Perkara seperti ini sepatutnya dikaji dan diteliti secara tekun oleh para ulamak dan cendekiawan Islam.

Persoalan yang sering dibangkitkan oleh masyarakat adalah negara menghasilkan beribu graduan dalam ilmu Islam setiap tahun sama ada dari universiti tempatan dan Asia Barat. Jumlah yang begitu ramai sudah mampu menggerakkan kegiatan dakwah Islam bagi mengasuh dan mendidik umat Islam supaya corak kehidupan mereka berasaskan kepada syariah Islam. Realiti masa kini ialah umat Islam hilang pedoman dalam mengendalikan urusan masyarakat. Mereka menjadi kabur memahami peranan yang sepatutnya dipikul oleh mereka.

Keghairahan mendapat kuasa bukan sahaja terbenam dalam sanubari umat Islam yang tidak mendapat pendidikan Islam malah ia juga menjadi kegemaran kepada sebahagian mereka yang mendapat pendidikan Islam secara mendalam. Mereka kurang memahami ciri-ciri yang melayakkan seseorang individu yang berhak memimpin dan mengendalikan sebuah negara.

Perebutan kuasa jika berlaku di kalangan ulamak dan cendekiawan Islam tanpa merujuk kepada batas-batas berpolitik dalam Islam bukan sahaja boleh melemahkan sistem politik dalam negara malah ia juga gagal dalam menentukan struktur kehidupan masyarakat Islam.

Individu yang bergelar ulamak dan cendekiawan Islam tidak akan merasai kerugian dalam kehidupan mereka jika karier politik mereka terkubur kerana peranan utama mereka ialah mendidik dan melatih umat Islam menjadi orang yang beriman. Jika mereka gagal dalam mengendalikan urusan politik dan kemasyarakatan ketika mereka dipilih oleh rakyat menunjukkan bahawa keupayaan dan kebolehan mereka bukan dalam arena politik.

Jika mereka masih bernekad meneruskan kegiatan politik sehingga mengorbankan maruah agama dan bangsa maka penglibatan dalam kegiatan itu tidak dapat memberi sebarang kebaikan kepada masyarakat, agama dan negara malah boleh menghancurkan struktur sosial masyarakat Islam.

Liberalisasi dalam politik bukan bererti memajukan pembangunan material sehingga sanggup mengetepikan kepentingan agama dan bangsa. Realiti yang wujud masa kini amat membimbangkan. Prinsip perjuangan parti yang berteraskan kepada agama sudah berubah menjadi satu parti yang tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam. Jika perkara ini berlaku di kalangan ulamak dan cendekiawan Islam yang menerajui parti politik maka kedudukan dan kewibawaan agama Islam kian terhakis.

Umat Islam diasuh oleh Allah dan Rasulullah SAW dalam pelbagai kegiatan kehidupan bagi membentuk satu masyarakat yang beriman dan bertamadun. Setiap individu mempunyai peranan tertentu berdasarkan kepada latar belakang pendidikan dan keupayaan diri mereka. Bagi membentuk sebuah negara yang bertamadun dan diberkati oleh Allah 'umarak (para pemerintah) dan ulamak perlu bekerjasama dalam menentukan dasar dan corak pemerintahan dan pentadbiran.

Tugas ulamak memerhati corak pemerintahan dan menegur serta memberi nasihat jika terdapat kepincangan dalam kepimpinan dan pentadbiran. Ulamak sepatutnya menumpukan perhatian terhadap aspek kerohanian masyarakat Islam terutamanya apabila maksiat berleluasa dalam negara. Sikap terlalu ghairah berpolitik boleh menyebabkan ulamak kurang menumpukan perhatian kepada latihan kerohanian umat Islam.

Dalam arena politik ketajaman akal amat diperlukan bagi memantapkan sistem pemerintahan dalam jangka masa panjang. Realiti yang wujud masa kini ialah ahli parti politik hanya memikirkan bagaimana untuk menang tanpa memikirkan risiko atau implikasi terhadap agama dan bangsa dalam jangka masa panjang. Hasilnya parti politik umat Islam terumbang ambing.

Umat Islam mengharapkan parti politik yang diterajui oleh ulamak dapat memperkukuhkan kewibawaan agama tetapi hakikatnya apa yang diharapkan itu tidak menjadi kenyataan. Persoalannya, kenapa prinsip perjuangan parti dikorbankan demi kemenangan dalam jangka masa pendek sehingga boleh dianggap menang menjadi arang dan kalah menjadi abu.

Kemenangan bukan bererti kejayaan jika agama dan bangsa tergadai. Dalam era globalisasi sepatutnya ulamak lebih menumpukan perhatian kepada kemantapan keimanan umat bukan berebut kuasa sehingga hak dan kepentingan umat Islam terhakis.

Berdasarkan kepada fenomena masa kini maka umat Islam keseluruhannya perlu menumpukan perhatian kepada pendidikan kerohanian. Para ulamak dan cendekiawan Islam sepatutnya berusaha memperluaskan kegiatan dakwah dengan aktiviti berkesan dan boleh memberi kesedaran terhadap keindahan kehidupan berlandaskan syariah Islam. Jabatan zakat perlu proaktif dan mempergiatkan memantau kehidupan umat Islam yang miskin dan terdesak bagi membendong kegiatan pelacuran kerana kemiskinan boleh mendorong umat kekancah maksiat.

Kemiskinan dan ketandusan kerohanian serta keimanan adalah antara faktor utama yang boleh menyebabkan struktur sosial umat Islam terumbang-ambing. Oleh itu, peranan pemimpin dan ulamak tidak dapat dipisahkan bagi membentuk negara Islam yang bertamadun dan struktur sosial yang teratur.

Rakyat mengharapkan pemimpin mengisi perut yang lapar dan menyediakan keperluan asas bagi memudahkan perjalanan hidup mereka. Sedangkan ulamak dianggap oleh masyarakat sebagai para pendidik yang boleh membentuk jiwa dan kerohanian mereka menjadi orang beriman demi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Harapan rakyat sepatutnya dijadikan sebagai dorongan memperbaiki diri dan bermuhasabah supaya keterlanjuran dan kesilapan dalam hal ehwal kemasyarakatan dan negara tidak berulang lagi .

No comments:

Post a Comment