Kisah si putar alam bijak putar belit
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
SEORANG juru propaganda Nazi Jerman di era Perang Dunia Kedua, Joseph Goebbels pernah mengungkapkan: "Inform, inform and when they are interested, misinform".
Goebbels merupakan pakar propaganda diktator Adolph Hitler yang utama dan pembenci serta musuh orang Yahudi yang tidak ada tolok bandingnya.
Malah, ramai sejarawan berpendapat, jika Goebbels terus berperanan selepas Perang Dunia Kedua, Yahudi mungkin pupus di Eropah kerana semangat kebencian anti-semitisme yang begitu menyeluruh di Eropah, khasnya di Jerman.
Goebbels dimunculkan kerana kesungguhan dan kepakarannya sebagai ejen penerangan Nazi Jerman yang terhebat. Kebolehannya mengikut rekod arkib Jerman, menyebabkan Hitler lebih berani dan lebih ganas, terutama terhadap orang Yahudi di Jerman.
Kejayaannya, walaupun dalam konteks pencapaian yang negatif, lantaran kebolehan putar alam dan putar belitnya, harus diterima kerana beliau berjaya mempakari semua aspek hearts and minds (hati dan pemikiran) rakyat Jerman sekali pun jiwa Yahudi tidak berjaya dikuasai pemerintahan Nazi.
Kisah Goebbels patut menjadi teladan di kemudian hari.
Realitinya, tindakan menyebar berita palsu, memutarbelitkan fakta dan faktor untuk tujuan tidak sah, jahat dan politik kotor atau dengan matlamat kepentingan diri dan kumpulan sendiri boleh digolongkan sebagai 'salah maklum' atau dalam bahasa Inggerisnya misinformation.
Penerangan palsu atau jenis informasi yang tidak tepat ini memberi makna atau impak yang sama dengan informasi atau penerangan yang benar-benar menerangkan, mendidik atau menambah nilai hidup manusia. 'Salah maklum' ini ketara dalam realiti politik tanah air ketika ini.
Di Sarawak pada Pilihan Raya Negeri April tahun lalu, apa yang ketara semasa kempen menjelang pengundian adalah bagaimana kebaikan dan keelokan Barisan Nasional (BN) selama ini telah diconteng oleh mereka sebagai buruk dan tidak layak disokong.
Cara mereka memainkan isu Ketua Menteri Sarawak, gaya dan kaedah mereka adalah dengan menggunakan isu tanah adat tempatan, usaha-usaha penyiaran haram, edaran media cetak mereka yang mengandungi 'putaran' atau 'spin' yang hebat dari segi putar belit.
Memanglah lumrah amalan manusia bahawa barang siapa yang pandai memutarbelitkan fakta sedemikian rupa, membolehkan orang yang mendengarnya percaya atau tertarik dengan hujahnya.
Walaupun soal benar dan salah memang mempengaruhi pemikiran seseorang, yang lebih melentur pemikiran manusia ialah konflik dan perbandingan yang ditimbulkan. Justeru, dalam konteks ini, kerajaan sedia ada dan jentera pilihan rayanya jangan sentiasa menjawab isu. Ada masanya kerajaan perlu proaktif dan melontarkan cabaran terhadap pihak lawan.
Misalnya, subsidi yang ditanggung kerajaan untuk barang-barang makanan, minyak, bahan api dan lain-lain melebihi RM23 bilion setahun. Dalam masa sama, kerajaan terpaksa mewujudkan pembangunan, agihan kebajikan dan hal ehwal kesejahteraan rakyat.
Tetapi malangnya, ejen-ejen pembangkang dengan mudah memperlekeh kerajaan dengan mengatakan: "Esok kalau kami berkuasa, kami turunkan harga minyak. Esok, kami pulangkan tak kurang dari 20 peratus hasil keuntungan petroleum kepada Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu".
Apa yang boleh dilihat di sini iaitu mereka tak menafikan jumlah subsidi yang besar itu. Cuma, mereka putarkan kepada sensasi bentuk janji 'kalau menang'. Harus dilontarkan pendapat bahawa jika itu sahaja yang boleh dibuat pembangkang, bererti mereka akan membankrapkan atau memufliskan khazanah negara dalam tempoh terdekat.
Apabila mendengar 'hujah-hujah' ini, penduduk flat di Kuala Lumpur, barangkali juga guru yang masing-masing mempunyai kereta serta pihak-pihak lain akan rasa tercuit. "Ya tak ya juga," mungkin kata hati mereka.
Lantaran tidak begitu kerap pemimpin kerajaan yang berhujah secara proaktif, maka mudah sahaja lemparan pembangkang itu ditelan bulat-bulat.
Sementelahan pula, isu harga barang sedang naik, terus sahaja mereka pusing dengan mengatakan BN 'adalah simbol parti Barang Naik'.
Mereka pandai berkata, dulu dengan RM50, isteri kita boleh bawa pulang sebakul penuh barangan dari pasar. Kini, bakul yang sama hanya suku bahagian terisi. Lagi satu 'putar alam' berlaku.
Hakikatnya, memang diakui dalam usaha mentransformasikan pentadbiran kerajaan, ekonomi dan cara hidup rakyat Malaysia, terdapat banyak akronim atau huruf potong yang berkaitan dengan dasar dan implimentasinya.
Harus diakui, bukan suatu kerja mudah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menerangkan, khasnya kepada orang kampung, erti dan implikasi akronim-akronim ini.
Namun, jika jentera pilihan raya BN bersatu hati dan mencuba sedaya upaya, nescaya dasar-dasar utama kerajaan ini dapat dimaklumi dan difahami di akar umbi.
Pembangkang akan secara mudah menidakkan budi pembangunan BN serta binaan negara bangsa yang telah dan sedang dilaksanakan. Mereka akan terus menyatakan bahawa membuat pembangunan adalah kewajipan kerajaan sedia ada.
Padahal, jika dinilai sedalam-dalamnya, negara-negara seperti Malawi, Ghana, Myanmar dan Filipina semuanya berkerajaaan sama musim dan sama zaman dengan Malaysia. Tetapi, pembangunan untuk rakyat jauh ketinggalan.
Melalui pembangunanlah, populariti kerajaan BN menjulang selama ini meskipun di akhir-akhir ini faktor pembangunan dikatakan tidak begitu bertenaga menarik sokongan rakyat.
Begitupun kajian yang dibuat oleh pihak-pihak yang boleh dipercayai merumuskan soal pembangunan tempatan masih dan tetap relevan seperti mana isu-isu lain terus relevan dalam kehidupan pengundi.
Justeru, dalam meniti ambang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini, semua pihak khususnya rakyat perlu berwaspada terhadap si putar alam dan putar belit.
Kisah Goebbels bukan untuk ditiru cara dan gayanya. Sebabnya, cukup bahaya. Apabila Hitler mati membunuh diri selepas meninggalkan wasiat politik mutakhirnya pada 1945, Goebbels membunuh diri di samping membunuh keenam-enam orang anak serta isterinya.
Sebelum mati, dia melaungkan: "Kami akan dicatat sejarah sebagai negarawan terhebat buat selama-lamanya atau sebaliknya sebagai penjenayah yang terhebat."
No comments:
Post a Comment