Tuesday, January 17, 2012

ulasan pemecatan dr hassan ali

Pemecatan Dr. Hasan ada hikmahnya


HASAN Ali turut kehilangan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor.


ANTARA agenda utama Datuk Dr. Hasan Ali berjuang dalam politik pada penelitian penulis adalah untuk menyatukan ummah. Ia adalah cita-cita mulia kerana usaha menyatukan ummah adalah berpahala. Yang ingin memecahbelahkan ummah ramai tetapi yang percaya kepada politik wehdah atau kesatuan tidak ramai.
Kalau Pas itu adalah Islam dan Islam itu adalah Pas dan Pas penuh dengan kelemahan dan kekurangan apakah itu menjadi bayangan terhadap Islam itu sendiri. Asas ini tidak boleh diterima oleh orang yang berilmu atau faktor syara'.
Soal Pas menggunakan Islam sebagai asas berpolitik, UMNO juga menjadikan perjuangan agama sebagai salah sati ciri penting agenda perjuangannya. UMNO tidak banyak menggunakan retorik dan pidato emosional mengenai Islam. Tetapi dengan terdirinya sistem perbankan, takaful, suku', industri halal dan yang lain-lain berasaskan syariah, beranikah Pas mengatakan UMNO dan kerajaan tidak melakukan sesuatu untuk Islam.
Pelajar-pelajar antarabangsa yang beragama Islam menjadikan Malaysia sebagai pusat menuntut ilmu. Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia saja terdapat lebih 100 negara pelajar-pelajar yang beragama Islam datang belajar. Di Universiti Sains Islam Malaysia, Insaniah di Kedah, KUIS di Selangor dan IPTA yang lain terdapat ramai pelajar-pelajar antarabangsa belajar. Apakah tanpa menyatakan Malaysia memperjuangkan sebuah negara Islam, Islam dipinggirkan dalam bidang ilmu pengetahuan.
Apa sebenarnya bengkak hati Nik Aziz, dendam kesumat yang terdapat dan kebencian yang dilontarkan kepada UMNO sehingga sangat payah muzakarah berlangsung dan persafahaman kea rah perpaduan dapat dicapai.
Umum mengetahui bahawa Hasan dan Ustaz Nasaruddin amat mendukung kerajaan perpaduan. Tetapi kerana halangan Nik Aziz dan kumpulan "Anwarinas" yang mendukung cita-cita Anwar Ibrahim untuk jadi Perdana Menteri maka hal tersebut payah terjadi.
Politik kafir-mengkafir sudah ketinggalan zaman. Politik ekstrem dan pelampau banyak merosakkan imej Islam. Politik sederhana (wasatiyah) yang pernuh toleransi dan pengertian sedang mengambil tempat. Selalu kita label orang lain sebagai asabiyah dan taghut (arrogant). Tanpa disedari tukang label lebih asabiyyah dan taghut.
Telah sekian lama Hasan dan Ustaz saruddin berada dalam orientasi Pas yang jengkel terhadap orang lain. Pas tidak lahir sebagai sebuah organisasi siasah sekaligus dakwah dan tarbiyyah. Tahalluf Siasi yang terjadi antara Pas dan DAP memperlihatkan kesongsangan yang amat ketara.
Pas sedang melunakkan pendekatannya ke arah Negara Berkebajikan. DAP masih terus mempertahankan ideologi sosilis demokratiknya. Di mana pula titik temu maksud Negara Islam yang masih terungkap dalam perlembagaan Pas dengan hala tuju yang ada. Nik Aziz mahukan Negara Islam ditegakkan dan hudud dilaksanakan paling tidak di Kelantan. Adakah titik temu dalam asas politik yang berlainan arah boleh mengizinkan ini terjadi.
Di bawah kepimpinan PKR di Selangor bersama dengan pakatan pembangkang, Hasan tidak nampak bagaimana Selangor boleh menjadi suatu model yang boleh memperlihatkan adanya rasa toleransi antara faham liberal dan pluralis PKR dengan faham Islam Pas dan pendekatan Sosialis Demokratik DAP. Paling tidak PKR di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid/ Anwar Ibrahim di Selangor dan PAS di bawah kepimpinan Hasan disuatu ketika dan kepimpinan DAP boleh merumus suatu formula dan suatu pendekatan atas asas nilai-nilai etika dan norma-norma baik disepakati supaya isu arak, maksiat, zina dan kegiatan-kegiatan sosial yang negatif serta kegaiatan agen-agen pemurtadan dapat ditangani secara bersama dan bijaksana. Tetapi ia tidak berlaku.
Sayangnya Hasan dilabel melakukan social policing dan apabila peristiwa DUMC , 3 Ogos 2011 berbangkit, Tan Sri Khalid dan Anwar tidak bersimpati dengan Hasan sedangkan hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam adalah di bawah portfolionya.
Islam pada hakikatnya adalah agama tamadun. Ciri-ciri alamiahnya menjadi rahmah kepada semua. Apabila akhlak yang baik didukung, makruf disuburkan dan kemungkaran cuba diatasi di Selangor ia tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran agama yang lain. Kalau isu agama tidak boleh ikutserta dalam pentadbiran apakah model pentadbiran Selangor boleh dijadikan landasan terhadap model Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat (minta dijauhkan Allah) menguasai Malaysia nanti.
Ini yang menjadi bengkak hati Hasan dan Nasaruddin dan ramai lagi kepimpinan Pas. Pemecatannya Hasan daripada Pas sebenarnya adalah jalan keluar terbaik baginya. Isu Islam, umat Melayu dan institusi Raja-Raja sering menjadi persoalan dalam Pakatan.
Dan inilah masa yang terbaik bagi Hasan memilih jalur tengah ke arah kegiatan politik wehdah atau politik perpaduan. Terdapat lebih ramai di kalangan masyarakat yang sukakan kebaikan dan perpaduan sesama Islam. Usaha ini harus diteroka dengan bijaksana lantaran hard-core atau pendukung tegar Pas tidaklah ramai. Selama ini sedikit sebanyak mereka berjaya mempengaruhi khalayak untuk bersamanya. Kini pada hemat penulis masyarakat khalayak khususnya mereka atas pagar mula sedar tentang pentingnya umat Melayu bersatu sebagai asas teras kepimpinan Malaysia.
Hasan harus mempunyai tekad yang tinggi, selagi Islam dijadikan faktor penting, umat Melayu dijadikan fokus dengan tidak menafikan kaum lain, institusi Raja harus diperkukuhkan sebagai lambang kekuatan Islam dan perpaduan negara, maka jalan perjuangan Hasan amat terbuka untuk mendapat tempat dan dukungan. Moga-moga Hasan dan yang lain-lainya terus tabah dan bijaksana mengatur agenda umat Melayu.

No comments:

Post a Comment