Kesederhanaan tonggak kejayaan
SEJAK 2010, imam masjid New York di Amerika Syarikat (AS), FEISAL ABDUL RAUF terpaksa mengelilingi dunia untuk mendapatkan sokongan terhadap Inisiatif Cordoba yang digerakkannya. Diasaskan dengan matlamat mempromosikan toleransi antara agama dan meningkatkan kefahaman terhadap Islam di AS, Inisiatif Cordoba mula mengundang perhatian termasuk kritikan apabila merancang menubuhkan Pusat Cordoba berhampiran tapak runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC) atau Ground Zero. Dalam sela waktunya yang sangat padat, wartawan Mingguan Malaysia, MARHAINI KAMARUDDIN dan MOHD. KHUZAIRI ISMAIL serta jurufoto FAUZI BAHARUDIN berkesempatan menemui beliau yang kebetulan berada di Malaysia kerana menghadiri Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Ditanya pandangannya mengenai konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dalam Islam, Imam Feisal memberikan analogi kehidupan beragama... “Umpama bermain alat muzik kecapi (harp). Skrunya tidak boleh terlalu longgar kerana akan menjejaskan bunyi, tidak boleh juga terlalu ketat kerana mungkin terputus tali. Sebaik-baiknya, biar sederhana dan seimbang, barulah dapat menghasilkan bunyi yang merdu dan menyenangkan.”
Sekali-sekala sepanjang temu bual dalam bahasa Inggeris selama sejam di pejabat Inisiatif Cordoba Malaysia di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, anak bekas rektor pertama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Allahyarham Tan Sri Prof. Dr. Muhammad Abdul Rauf ini melontarkan ungkapan bahasa Melayu mudah – menyerlahkan personalitinya yang mudah mesra dan disenangi.
MINGGUAN: Imam turut menyertai Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di sini baru-baru ini. Apa pandangan Imam mengenai konsep kesederhanaan atau wasatiyah itu?Ditanya pandangannya mengenai konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dalam Islam, Imam Feisal memberikan analogi kehidupan beragama... “Umpama bermain alat muzik kecapi (harp). Skrunya tidak boleh terlalu longgar kerana akan menjejaskan bunyi, tidak boleh juga terlalu ketat kerana mungkin terputus tali. Sebaik-baiknya, biar sederhana dan seimbang, barulah dapat menghasilkan bunyi yang merdu dan menyenangkan.”
Sekali-sekala sepanjang temu bual dalam bahasa Inggeris selama sejam di pejabat Inisiatif Cordoba Malaysia di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, anak bekas rektor pertama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Allahyarham Tan Sri Prof. Dr. Muhammad Abdul Rauf ini melontarkan ungkapan bahasa Melayu mudah – menyerlahkan personalitinya yang mudah mesra dan disenangi.
IMAM FEISAL: Pada saya, ia sangat penting kerana konsep kesederhanaan adalah sesuatu yang utama bagi mana-mana agama sekali pun. Idea kepada keseimbangan dan kesederhanaan itu wujud dalam semua kepercayaan. Ia juga mesej sama yang disampaikan oleh agama seperti Islam, Kristian, Buddha dan sebagainya. Malah dalam semua tradisi masyarakat di seluruh dunia sekali pun budaya kesederhanaan itu sememangnya wujud. Saya berpandangan dunia ketika ini sangat memerlukan konsep kesederhanaan dan keseimbangan itu sebagai cara untuk menzahirkan sesuatu.
Sejauhmanakah Inisiatif Cordoba yang turut mempromosikan konsep kesederhanaan Islam berjaya memperbaiki hubungan antara agama di Amerika Syarikat (AS)?
IMAM FEISAL: Saya sudah menetap di AS selama 46 tahun. Sepanjang tempoh itu, saya berasakan sebahagian daripada tanggungjawab saya adalah untuk menzahirkan Islam dan menonjolkannya kepada masyarakat di sana menerusi ‘bahasa’ dan gaya hidup mereka. Ia sama seperti bagaimana agama Islam itu diperkenalkan di rantau ini beratus-ratus tahun dahulu yang sebelumnya dipengaruhi oleh agama Hindu.
Peranan yang saya bawa di AS adalah untuk memperkenalkan nilai-nilai Islam dalam bahasa atau kaedah yang boleh difahami serta diterima oleh rakyat AS. Sehinggakan mereka boleh menerima agama Islam itu sebagai sebahagian daripada cara hidup mereka dan mereka tertarik pula kepada agama Islam. Pada masa sama, saya juga bertanggungjawab untuk membina hubungan yang baik dengan penduduk lain yang bukan beragama Islam terutamanya komuniti Kristian, Yahudi termasuk Hindu yang ketika ini juga semakin berkembang di AS.
Sebahagian daripada peranan ini juga perlu saya lakukan kerana berlakunya tragedi serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York pada 11 September 2001 (9/11). Di sebabkan tragedi itu ada keperluan di AS ketika ini untuk rakyatnya berhubungan dengan Islam menerusi pendekatan yang lebih baik dan produktif. Itu antara peranan dan tanggungjawab yang telah kami lakukan beberapa tahun kebelakangan ini dan akan diteruskan pada masa depan.
Inisiatif Cordoba juga menjadi sesuatu yang besar dan menarik perhatian banyak pihak terutamanya selepas pertengahan 2010 apabila syor penubuhan masjid di tapak insiden 9/11 atau dikenali Ground Zero semakin mendapat perhatian. Sejak itu kita berjaya menarik perhatian banyak pihak di seluruh AS terutamanya di New York. Kita juga telah menjadi suara yang penting kepada komuniti Islam di sana.
Apakah Inisiatif Cordoba ini masih dilihat sebagai satu ancaman kepada komuniti bukan Islam di AS?
IMAM FEISAL: Kita mendapat banyak sokongan dan sudah semestinya juga banyak penentangan daripada pelbagai pihak dalam menggerakkan Inisiatif Cordoba ini. Tapi apabila ramai yang menentang, ramai pula yang tampil memberi sokongan termasuk daripada pertubuhan berasaskan agama lain seperti komuniti Yahudi. Malah ada juga ahli politik serta pertubuhan-pertubuhan berasaskan komuniti yang secara terbuka memberikan sokongan kepada apa yang diperjuangkan oleh Inisiatif Cordoba ini.
Sejauhmanakah perkembangan usaha menubuhkan Pusat Cordoba di Ground Zero?
IMAM FEISAL: Kami memerlukan antara AS$25 juta (RM87.5 juta) hingga AS$30 juta (RM105 juta) untuk membangunkan Pusat Cordoba itu. Buat masa ini, kita sudah memulakan usaha mendapat tajaan dan dana termasuk pinjaman dengan bank-bank berasaskan Islam. Dari sudut bantuan daripada kerajaan, AS tidak mempunyai polisi untuk menghulurkan geran atau dana secara terus bagi menubuhkan rumah-rumah ibadat seperti masjid atau gereja. Tetapi kerajaan boleh memberi sokongan seperti itu dalam bentuk program-program yang dianjurkan oleh pertubuhan berasaskan agama. Di sesetengah negara Eropah yang lain bantuan kewangan untuk membina rumah ibadat mungkin boleh disalurkan secara terus oleh kerajaan tetapi tidak di AS.
Antara isu utama daripada penubuhan Pusat Cordoba ini adalah lokasinya yang terlalu hampir dengan tapak Ground Zero. Mengapa lokasi itu menjadi pilihan?
IMAM FEISAL: Saya sudah menggerakkan sebuah masjid kecil di sana sejak 28 tahun yang lalu. Jarak masjid awal itu lebih kurang 10 blok atau kira-kira 15 minit perjalanan dari tapak Ground Zero. Kami sememangnya mencari tapak baru yang lebih sesuai untuk dibeli bagi menggantikan masjid kecil itu dan kebetulan lokasi yang menjadi pilihan itu (51 Park Place) kosong. Lagi pun adalah sukar untuk mencari tapak atau bangunan yang sesuai lebih-lebih lagi di New York.
Bagaimana dengan penentangan sesetengah pihak yang melihat pemilihan lokasi itu sebagai tidak sensitif terhadap peristiwa 9/11 yang dikaitkan dengan puak radikal atau ekstremis Islam?
IMAM FEISAL: Saya percaya rakyat AS meyakini bahawa dalam setiap agama terdapat penganutnya yang ekstrem atau melampau. Tidak kiralah dalam agama Islam, Yahudi, Kristian atau Buddha. Begitu pun mereka juga percaya majoriti penganut agama itu bukanlah terdiri daripada kumpulan ekstremis atau pelampau. Kerana itu harapan saya menerusi penubuhan Pusat Cordoba ini, ia bakal menjadi sebuah pusat bukan hanya kepada Muslim tetapi juga penganut-penganut agama lain. Selain digunakan untuk orang Islam bersembahyang, ia juga boleh menjadi pusat perbincangan atau diskusi kepada penganut agama lain. Sebab kalau ia dijadikan masjid, maka ia tidak akan digunakan secara maksimum misalnya hanya untuk solat Jumaat atau sunat Hari Raya yang tidak sampai dua jam pun. Selepas itu masjid itu kosong dan tidak digunakan. Itu seperti yang berlaku kepada kebanyakan masjid-masjid di negara lain.
Dengan harga tanah dan sewa yang mahal di New York, untuk membina sebuah masjid yang hanya digunakan dalam beberapa jam sudah semestinya tidak berbaloi. Sementelah jika kita membina sebuah masjid di tapak ini, penganut agama lain tidak akan datang sebab ia sudah semestinya rumah ibadat bagi orang Islam. Kerana itu saya mahukan Pusat Cordoba ini menjadi sebuah tempat bagi semua penganut agama di New York. Inilah sebenarnya matlamat penubuhannya iaitu tempat untuk semua agama dan supaya masyarakat dengan kefahaman sederhana itu dapat datang beramai-ramai dan belajar serta mengenali antara satu sama lain meskipun mereka berbeza agama.
Bagi saya, antara masalah yang timbul dalam komuniti hari ini adalah apabila kita tidak memahami atau cuba memahami agama lain. Ramai yang beranggapan disebabkan mereka Muslim maka mereka tidak perlu mengetahui mengenai agama lain sedangkan itu tidak benar. Sebetulnya lebih banyak kita belajar mengenai agama lain, maka lebih faham kita tentang agama kita sendiri. Sama juga seperti bahasa Melayu. Apabila kita belajar bahasa lain contohnya bahasa Inggeris, tidak semestinya kita semakin lupa kepada bahasa Melayu. Sebaliknya kita dapat melihat bahawa ada juga perkataan Melayu yang diambil daripada bahasa Inggeris. Dalam hal ini saya melihat kita memerlukan kepada konsep 1 Dunia seperti mana Malaysia mempunyai konsep 1 Malaysia.
Adakah elemen Islam dan Muslim itu boleh diterima oleh penduduk AS?
IMAM FEISAL: Kebanyakan rakyat AS percaya kepada kebebasan termasuk dalam soal beragama selagi hak-hak mereka tidak diganggu. Misalnya ramai rakyat AS yang terpesona apabila mereka mendengar laungan azan. Sebagai sebuah masyarakat minoriti, kita juga perlu faham bagaimana untuk berinteraksi dalam masyarakat majoriti. Maksudnya kita kena sensitif dengan masyarakat di sekeliling. Malah dalam Islam sekali pun ditekankan supaya kita bersikap merendah diri dan bersederhana. Tidak menunjuk-nunjuk atau terlalu menonjol seolah-olah kita lebih Islamik daripada orang lain.
Adakah sentimen Islamofobia masih ketara di AS?
IMAM FEISAL: Ada beberapa sebab mengapa sentimen Islamofobia itu wujud dan alasan terbesarnya adalah serangan ke atas WTC pada 11 September 2001. Tragedi itu telah menerbitkan persepsi yang besar bahawa pihak yang bertanggungjawab adalah dalam kalangan orang Islam. Bagi rakyat AS sendiri, apabila mereka percaya bahawa mereka diserang oleh orang Islam maka sudah tentu mereka tidak mahu ada sebarang kaitan dengan agama ini.
Faktor lain yang menerbitkan sentimen Islamofobia adalah pertambahan populasi umat Islam di negara-negara Eropah ketika ini. Jadi bagi masyarakat Barat, mereka melihat perkara ini sebagai satu ancaman. Apa yang berlaku ketika ini adalah kebanyakan keluarga di Barat mengamalkan polisi untuk tidak mempunyai lebih daripada dua anak. Jadi populasi masyarakat di Barat semakin berkurangan. Sedangkan pada masa sama, jumlah imigran Muslim dari negara seperti Pakistan, Turki, Bangladesh dan sebagainya di Eropah semakin bertambah. Imigran ini pula mempunyai anak yang ramai antara empat hingga lima orang. Justeru ada kebimbangan di Barat ketika ini bahawa menjelang 2030, umat Islam di Eropah boleh mencecah separuh atau majoriti daripada populasi masyarakat di Barat. Mereka melihat demografi penduduk di Barat itu sedang berubah ke arah itu dan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada sentimen Islamofobia.
Saya juga melihat sentimen itu wujud kerana umat Islam di Barat tidak cuba untuk berasimiliasi dengan masyarakat setempat. Ini menyebabkan timbul persepsi dalam kalangan masyarakat Barat bahawa kehadiran komuniti Muslim ini bertujuan mengubah negara mereka. Ini sama seperti kita menerima tetamu. Sudah semestinya kita sangat mengalu-alukan kehadiran tetamu itu tetapi kita akan berasa takut apabila melihat tetamu itu cuba mengubah apa yang ada dalam rumah kita. Itulah juga apa yang dirasai oleh masyarakat Barat ketika ini.
Seperkara lagi, media massa juga banyak memaparkan laporan yang menonjolkan sisi ekstremis Islam seperti yang berlaku di beberapa buah negara. Perkara itu menimbulkan ketakutan masyarakat Barat. Justeru idea kepada kesederhanaan itu sangat penting sebab Islam juga tidak membenarkan perlakuan ekstrem. Orang yang ekstrem ialah orang yang hilang kawalan dalam hidup mereka.
Isu perpecahan umat Islam sering dibangkitkan sama ada di Asia Barat atau Malaysia sendiri. Apa pandangan Imam mengenai isu ini?
IMAM FEISAL: Saya rasa seluruh umat Islam di dunia menaruh harapan untuk bersatu. Tetapi dalam politik, pasti ada orang yang akan menyokong parti yang berbeza. Begitupun perbezaan itu tidak seharusnya melangkaui persamaan yang ada iaitu kita masih sebahagian daripada umat Islam yang lain. Sebagai contoh di Malaysia, meskipun anda yang menyokong UMNO, Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi anda semua masih lagi rakyat Malaysia dan itulah yang lebih penting untuk menyatukan anda semua. Dalam Islam pun begitu juga, kita perlu sentiasa ada perasaan yang mengikat kita sebagai Muslim.
Harapan Imam terhadap Inisiatif Cordoba pada tahun ini dan masa depan?
IMAM FEISAL: Sudah semestinya selain mengumpul dana berjumlah AS$27 juta (RM87.5 juta), kita juga mengharapkan doa daripada umat Islam di seluruh dunia agar Pusat Cordoba ini menjadi kenyataan.
Insya-Allah, kita harap dapat memulakan kerja-kerja pembinaan tahun ini. Kita mahu melihat ia menjadi kenyataan sebab kita mahu mencipta sesuatu yang bukan sahaja untuk dimanfaatkan oleh orang Islam di AS tetapi seluruh masyarakat di sana tanpa mengira agama. Dalam erti kata lain, Pusat Cordoba ini akan berbakti atau berkhidmat kepada masyarakat.
Dalam Islam sendiri pun ada menyebut tidak lengkap agama kita jika kita tidak mampu berkhidmat kepada orang lain khususnya masyarakat sekeliling.
No comments:
Post a Comment