Tuesday, January 31, 2012

di kelantan banyak penjenayah

Penjual kuih parah ditembak perompak

KOTA BHARU 30 Jan. - Seorang penjual kuih berusia 50 tahun cedera parah akibat ditembak sekumpulan empat perompak yang menceroboh masuk rumah mangsa di Kampung Slow Machang dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi, mangsa, Che Hasmah Che Awang, 54, cedera di bahagian perut kanan sehingga tembus ke belakang.

Ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama-sama suaminya, Mohd. Lawi Dollah, 54, anak lelaki tunggal mereka, Mohd. Khairul Azani, 26, menantu, Shamimi Rohaimee, 22, dan cucu lelaki berusia tiga tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, mangsa yang kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Ketika kejadian kesemuanya sedang tidur di bilik masing-masing sebelum muncul empat lelaki pakai topeng.

"Suspek kemudian telah mengheret anak mangsa (keluar bilik) sementara mangsa dan yang lain dipaksa menunggu dalam bilik," katanya.

Jalaluddin memberitahu, tiga suspek kemudian menggeledah bilik anak mangsa dan melarikan empat buah telefon bimbit, tiga utas rantai, tiga bentuk cincin, sepasang subang dan wang tunai RM5,000.

Menurutnya, perompak terbabit turut melarikan sebuah kereta jenis Honda Jazz milik anak mangsa.

"Anak mangsa sempat melihat seorang lagi suspek berada dalam sebuah kereta Proton Iswara berwarna hitam ketika kejadian berlaku. Siasatan awal Unit Forensik telah menemui sepucuk pistol jenis Revolver 3.8 yang digunakan oleh suspek di rumah tersebut," katanya.

Jalaluddin memberitahu, pihaknya telah melancarkan Operasi Tutup bagi mengesan kesemua suspek.

Menceritakan kejadian itu, Mohd. Lawi berkata, dia dan isterinya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu dan orang memberi salam.

Katanya, dia yang bangun dan membuka pintu terkejut melihat empat lelaki tidak dikenali dan menutup muka mereka dengan kain pelekat.

"Suspek kemudian meluru masuk dan saya ditahan di ruang tamu. Suspek yang lain terus ke bilik saya dan anak.

"Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi tembakan dan dengar jeritan isteri saya," katanya yang tidak boleh berbuat apa-apa kerana suspek bersenjata api.

No comments:

Post a Comment