Tuesday, January 31, 2012

i city

i-City setuju sewakan tiga lot kedai, peniaga Melayu harap sewa diselaras

SHAH ALAM 30 Jan. - Permintaan kira-kira 30 peniaga Melayu yang menjual lampu mainan LED untuk mendapat tapak perniagaan di i-City di sini tercapai apabila pihak pengurusan destinasi pelancongan itu bersetuju memberikan tiga lot kedai kepada mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif i-City, Datuk Eu Hong Chew berkata, selepas berbincang, pihaknya bersetuju menyediakan tiga lot kedai dengan bayaran sewa mengikut harga semasa kepada para peniaga berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya memberikan pilihan kepada para peniaga berkenaan untuk ditempatkan di tiga daripada lima lot kedai yang ditawarkan di kawasan teman tema dan berhampiran zoo mini.

"Jika para peniaga memilih lot kedai berhampiran taman tema, mereka boleh berniaga pada bila-bila masa, manakala jika mereka pilih lot kedai berhampiran zoo mini, operasi perniagaan hanya boleh dimulakan pada Mac ini.

"Dengan keputusan ini kami berharap tiada lagi perniagaan secara haram wujud di i-City," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketua Biro Keselamatan Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang (PKPM), Mohd. Ali Khan Amir Khan pula berkata, para peniaga hanya akan memberikan keputusan selepas melakukan perbincangan pada malam ini.

"Mereka perlu berbincang kerana tiga kedai yang dipilih akan dikongsi bersama kira-kira 30 peniaga. Pelbagai aspek lain perlu diambil kira termasuk sama ada perniagaan mereka boleh bertahan atau bersetuju menerima tapak kedai yang ditawarkan," katanya.

Wakil peniaga, Firdaus Ismail pula berharap, jika mereka bersetuju menerima lot kedai yang ditawarkan, pihak i-City akan memberikan kadar sewa yang diselaraskan dengan semua peniaga lain di situ.

"Jangan nanti kami terpaksa bayar sekali ganda berbanding peniaga lain. Kami bukan peniaga besar, jadi harap pihak i-City dapat memberikan pertimbangan sewajarnya.

"Kami juga meminta pihak i-City membuka laluan masuk untuk orang ramai menuju ke taman tema berhampiran lot kedai yang ditawarkan agar kedai kami ada pengunjung," katanya.

Jumaat lalu, kira-kira 30 peniaga Melayu yang menjual lampu mainan LED berkumpul di kawasan i-City bagi membantah keputusan pihak pengurusan destinasi pelancongan itu yang tidak membenarkan mereka berniaga di situ.

Mereka juga meminta pihak pengurusan i-City memberikan tapak perniagaan dan mereka sanggup membayar sewa agar boleh berniaga secara sah kerana pihak i-City selama ini menganggap mereka sebagai peniaga haram.

No comments:

Post a Comment