Sudah tak macam dulu
Coretan Marhaen
TAHUN Naga nampaknya membawa tuah kepada warga Sekolah Menengah Jenis Kebangsan (SMJK) Chong Hwa di Kuala Lumpur, apabila menerima angpau besar RM2.5 juta daripada Ah Jib Gor iaitu Perdana Menteri.
Ia adalah peruntukan untuk membina bangunan baru sekolah tersebut yang diambil daripada dana RM1 bilion yang diumumkan Perdana Menteri untuk penambahbaikan sekolah dalam Bajet 2012. Penulis tumpang gembira.
Memandangkan kerajaan sudah mula mengagihkan peruntukan dana tersebut, penulis hendak mencadangkan supaya pengagihan dana itu mengambil kira juga sekolah berasrama penuh (SBP).
Tengok-tengoklah keadaan sekolah ini yang dibina kerajaan untuk menempatkan anak-anak cemerlang akademik khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan agar dapat belajar dalam persekitaran selesa.
Ini kerana banyak cerita yang penulis dengar dan memang ada bukti malah lihat sendiri, keadaan SBP atau asrama penuh ini sudah tak macam dulu. Tolak ketepilah soal yuran dan macam-macam kos yang perlu dibayar. Kita tumpukan soal prasarana saja.
Walaupun dulu, bangunan sekolah itu boleh dianggap hebat tetapi sekarang ada yang nampak macam bangunan warisan. Maklumlah kebanyakannya dibina pada awal 80-an. Bayangkan sahaja macam mana rupanya kalau sudah berusia lebih 20 tahun. Bayangkan juga keadaan tandas atau tilam bantal yang mengumpul timbunan bakteria menjadi tempat budak-budak asrama ini beradu.
Baru-baru ini penulis berpeluang meninjau keadaan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (Semesti) yang diumumkan sekolah terbaik Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 di Perak dan menduduki tempat kedua di seluruh negara.
Walaupun bersih, kemudahan dan kelengkapan sekolah yang digunakan hampir 30 tahun itu sudah nampak usang benar. Siling bocor, paip berkarat dan lantai marmar tandas kusam – bukanlah pemandangan yang sepatutnya menanti anak-anak cemerlang bakal pewaris negara yang diletakkan untuk menuntut ilmu di situ.
Penulis tak salahkan pihak sekolah apatah lagi kerajaan. Bukan lagi rahsia, negara kita memang terkehadapan dalam soal dasar tetapi terkebelakang bab-bab penyelenggaraan dan penguatkuasaan.
Dasar kerajaan mewujudkan SBP untuk menyediakan tempat belajar yang selesa dengan guru-guru terbaik membimbing anak-anak cemerlang ini memang patut dipuji. Ramai warga SBP yang sudah menjadi orang, menjawat pelbagai jawatan tinggi dalam kerajaan dan swasta.
Namun selepas lebih tiga dekad, sudah sampai masanya kerajan ‘revisit’ atau tengok semula keadaan SBP terlibat. Adakah bangunannya masih kukuh dan baik seperti 30 tahun lalu? Adakah guru-guru yang telah berbakti mendidik anak bangsa sekian lama mendapat imbuhan sewajarnya? Apakah budak asrama penuh ini benar-benar berterimakasih dapat peluang belajar di situ? Atau mereka tidak habis-habis mengeluh kerana terpaksa belajar dalam keadaan daif? Atau mereka ‘rela dalam paksa’ kerana menunaikan hajat ibu bapa yang mahu mereka bergelar budak asrama penuh?
Rasanya kerajaan memang sudah memikirkan ini semua, sebab itulah Bajet 2012 memperuntukkan dana sebesar RM1 bilion untuk penambahbaikan sekolah – RM500 juta untuk sekolah kebangsaan manakala masing-masing RM100 juta kepada sekolah Cina, Tamil, mubaligh, sekolah agama dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Harap-harap pihak yang bertanggungjawab menyenaraikan penerima peruntukan dana itu memastikan ia disalurkan kepada sekolah yang betul-betul layak.
Janganlah ada pertimbangan-pertimbangan lain yang menyebabkan dana tersebut diagihkan ke sekolah yang tidak patut menerimanya. Jika ini berlaku, ia hanya akan mencacatkan niat baik kerajaan mewujudkan dana tersebut!
No comments:
Post a Comment