Thursday, January 19, 2012

rancangan tv yg bagus

Beza penceramah TV dengan penceramah masjid

Azman Anuar

KEBETULAN sewaktu pulang ke rumah malam kelmarin, program 30 Minit Ustaz Don di TV AlHijrah terpancar di televisyen. Program ini yang disebut-sebut isteri saya sebagai cukup menarik. Program bimbingan cara mengerjakan solat.

Beberapa kali saya ‘terserempak’ dengan program ini di Astro. Tapi saya tak endah. Kali ini saya cuba menonton program itu pada pukul 10 malam. Tak sangka, saya tak menukar ke saluran lain. Benar Ustaz Don berjaya menarik perhatian saya.

Saya mendapat ilmu menentukan arah kiblat dengan cara mudah. Ustaz Don bukan ajar saya seorang tetapi ribuan penonton program itu.

Dengan gaya pertuturan lemah lembut, bijak berkomunikasi dan penyampaian yang ringkas dan mudah difahami, ramai penonton akan memperolehi ilmu yang disampaikannya.

Format program begini yang kita mahu. Biar ia lebih santai dan interaktif. Tidak perlu meleret dan membebel.

Penyampai yang baik akan terus membincangkan topik yang ada hubung kait dengan isu yang dikemukakan.

Bersyukurlah kerana semakin banyak program kerohanian dan motivasi berlandaskan al-Quran dan Hadis di TV kita.

Seronok dan terasa tidak sia-sia menonton program keagamaan. Saluran Astro Oasis dengan Tanah Kubur, Jemputan Umrah, Imam Muda dan lain-lain.

TV9 pula melalui slot Raudhah mempunyai Halaqah, Semanis Kurma, Usrah, Saffiya, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah serta Adik & Al-Quran.

Setiap pagi bermula 7 pagi, elok luangkan masa menonton Tanyalah Ustaz. Setiap episod menampilkan seorang ustaz atau pendakwah bertauliah untuk menjawab masalah penonton sama ada menerusi e-mel ataupun panggilan telefon.

Alangkah bahagia jika masjid dan surau sekurang-kurang mengambil pendekatan seperti program di TV untuk menyampaikan ilmu dalam program tazkirah atau usrah kepada para jemaah.

Biasanya penceramah yang dijemput di masjid atau surau mempunyai pengalaman mendalam mengenai ilmu al-Quran, hadis, sejarah Islam, syariah atau tasawuf.

Bertahun-tahun golongan ustaz ini memberi ceramah tetapi pendekatannya masih gaya lama. Format ceramahnya, dia seorang sahaja yang berceloteh. Pada akhirannya, jarang-jarang soalan dikemukakan. Itupun jika ada ruang waktu untuk bertanya soalan.

Hal ini boleh dilihat pada sesi usrah selepas Subuh atau usrah Maghrib.

Penceramah kena tampil lebih segar dengan membawa topik perbincangan masalah semasa ummah di samping perkara berkaitan hukum-hakam.

Penceramah perlu memberi nilai tambah kepada topik ilmu dengan mengasak permikiran jemaah dengan huraian dan kupasan yang ‘memukau’.

Jika penceramah dalam program TV tidak mengusik isu-isu politik, begitu juga kita harapkan penceramah jemputan di masjid dan surau. Tanpa cuit isu politik pun, sesuatu topik ceramah itu boleh menjadi menarik untuk didengar oleh jemaah.

Cuba kita banding topik perbincangan dalam usrah di masjid dengan program TV. Lihat cara penyampaian penceramah. Dengan sopan dan tertib, isu yang dibangkitkan dapat disampaikan dengan baik.

Begitulah sepatutnya ceramah-ceramah di masjid atau surau. Tak perlu menjerit-jerit, memaki-maki pihak lain.

Mungkin selepas ini, penceramah jemputan di masjid atau surau tak perlu lagi berceloteh, cukup sekadar memberi penjelasan ringkas mengenai topik yang akan dibincangkan dan selebihnya meminta jemaah mengemukakan soalan.

Cara ini lebih baik agar kemusykilan berkaitan ibadah dan hukum-hakam dapat dihuraikan. Banyakkan perbincangan mengenai fardu kifayah, fadhu ain dan sebagainya.

Penceramah perlu juga menghormati jemaah. Ada jemaah yang berbeza pendapat dengan apa yang dihuraikan oleh penceramah terhadap sesuatu perkara. Janganlah taksub atau fanatik dengan pendapat diri sendiri sahaja dan menolak pendapat pihak lain.

Penceramah jangan memandang rendah, mencerca atau menuduh orang yang tidak sealiran dengannya sebagai kufur, sesat atau memutuskan mereka akan masuk neraka.

Sekarang semakin banyak masjid dan surau dilengkapi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, jadi manfaatkannya.

No comments:

Post a Comment