Pampasan RM7.2 juta
January 24, 2012
Langkah Kerajaan Negeri itu sekali gus menyelesaikan masalah kemungkinan perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini lumpuh selepas 10 pengusaha bas terbabit mengambil keputusan menghentikan operasi pada tarikh tersebut.
Kemelut pengusaha bas itu disebabkan mereka tidak lagi mampu menanggung kos semakin meningkat.
Mohd Ali berkata, Kerajaan Negeri akan menyediakan pampasan sebanyak RM7.2 juta untuk semua pengusaha bas apabila operasi diambil alih anak syarikat Perbadanan Ketua Menteri, Syarikat PMCT Sdn Bhd.
“Melalui perbincangan dengan kedua-dua belah pihak, Kerajaan Negeri bersetuju mengambil alih operasi bas henti-henti pada Februari depan dan memberi pampasan pada 26 Januari ini.
“Temuduga pengambilan pekerja termasuk pemandu bas sedia ada juga telah dijalankan baru-baru ini bagi melancarkan operasi di bawah pengurusan PMCT berjalan lancar kelak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun BAru Cina anjuran MCA negeri di Sek Menengah Pay Fong 2 dekat Kubu, di sini, semalam.
Mohd Ali berkata, semua bas lama akan dilelong dan diganti baru secara berperingkat di bawah jenama Panorama yang dilengkapi penghawa dingin untuk keselesaan pengguna.
“Setakat ini Kerajaan Negeri mempunyai 10 bas Panorama dan mulai Februari depan bas akan ditambah secara berperingkat menggantikan 131 bas lama menjadikan kesemua bas milik Kerajaan Negeri sebanyak 141 buah.
“Sehubungan itu, kita minta orang ramai supaya tidak lagi merungut tentang keadaan bas henti-henti yang semakin uzur dan tidak selesa kerana bas-bas buruk itu akan dilelong selepas ini,” katanya.
Menurutnya, jadual perkhidmatan juga akan disusun lebih teratur termasuk menyediakan laluan di jalan-jalan yang tidak dilalui bas henti-henti sebelum ini.
“Rungutan banyak diterima daripada pengguna apabila bas tidak melalui kawasan rumah serta tempat kerja mereka. Selepas pengambil alihan ini dalam proses masa panjang, bas tersebut akan melalui jalan-jalan yang tidak dilalui sebelum ini,” katanya.
Sinar Harian pada 8 Januari lalu turut melaporkan kemelut perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini menyebabkan pengusaha meminta Kerajaan Negeri campur tangan.
No comments:
Post a Comment