Sunday, January 22, 2012

tegas dengan pelajar biadap

Exco Terengganu: Awas pelajar biadap
ZUBIR SULAIMAN
January 22, 2012
Ahmad Razif Abdul Rahman
KUALA TERENGGANU - Penuntut-penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Terengganu diberi amaran supaya tidak berkelakuan biadap sehingga sanggup mencabar kerajaan dan Perlembagaan, jika tidak akan berdepan dengan tindakan tegas.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, sekiranya masalah itu tidak dibendung, ia dikhuatiri merosakkan masa depan negara serta pelajar itu sendiri.
 
Justeru katanya, Kerajaan Negeri telah mengarahkan semua pihak IPT di Terengganu melakukan pemantauan pergerakan pelajar bagi memastikan mereka tidak melibatkan diri dalam gejala seumpama itu kerana ia tidak memberi sebarang manfaat kepada mereka.
 
“Kita minta pihak universiti, khasnya yang terdapat di negeri ini agar memandang serius perkara ini, kita mahu mereka sentiasa memantau pelajar mereka.
 
“Sebagai pelajar mereka seharusnya fokus dalam pelajaran mereka seterusnya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan bukannya terlibat dalam perkara sebegini,” katanya.
 
Ahmad Razif menyatakan perkara itu selepas merasmikan majlis Penyerahan Baucar Buku 1Malaysia kepada 479 pelajar Politeknik Kuala Terengganu di Wisma Darul Iman dekat sini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perlakuan pelajar IPT sejak belakangan ini yang dilihat menentang kerajaan dengan kes terbaru membabitkan seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang didakwa mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman sosial Facebook.
 
Sementara itu, Ahmad Razif berkata, beliau tidak menafikan pembabitan pelajar IPT dalam demonstrasi atau perhimpunan menentang kerajaan berkemungkinan didalangi pihak pembangkang yang bertujuan menjatuhkan kerajaan.
 
Katanya, tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka yang terlibat kerana kita tidak mahu ia menjadi satu budaya dalam kalangan pelajar menentang kerajaan.
 
“Sebaliknya mereka kena fikir, apa yang lebih penting adalah memberi tumpuan kepada pelajaran demi masa depan mereka bukan bertindak mengikut perasaan atas satu-satu perkara.
 
 “Kita memandang serius perkara ini dan memberi amaran kepada mana-mana pelajar IPT di negeri ini agar tidak terbabit dalam kegiatan seumpama itu dan sekiranya degil, mereka berdepan tindakan tegas,” katanya.

No comments:

Post a Comment