Sunday, January 15, 2012

rakyat gusar

Majoriti rakyat makin gusar

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor

MEMASUKI bulan pertama 2012 negara terus diuji dengan pelbagai isu panas yang terus menjadi perbualan hangat di kalangan rakyat baik di kampung mahupun di bandar.

Antara perkara yang menarik perhatian khalayak di sepanjang dua minggu pertama Januari ialah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebas dan melepaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat yang dicemari dengan insiden letupan tiga bom buatan sendiri, pemecatan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dari Pas dan keputusan pihak Jawatankuasa Tatatertib UPSI menggantung pelajarnya, Adam Adli Abdul Halim selama tiga semester pengajian atas kesalahan menurunkan bendera yang mempunyai gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kesemua isu ini mengundang pelbagai reaksi dan maklum balas rakyat. Ada yang setuju dan sokong, ada yang tidak setuju lantas tidak berpuas hati, geram dan marah.

Ada pula yang langsung tidak ambil tahu kerana menganggap ia tiada kaitan dengan kehidupannya. Malah ada juga yang risau memikirkan tahap keselamatan dan keamanan dalam negara kita yang dilihat sedikit terancam dan tergugat.

Walau apa pun setiap keputusan yang dibuat oleh pihak yang terlibat dalam isu-isu tersebut pastinya mempunyai sebab dan alasan yang tersendiri.

Namun hakikatnya satu perkara yang perlu kita insaf dan sedar ialah ia menjanjikan satu cabaran yang cukup getir yang perlu kita tempuhi sepanjang tahun ini terutamanya apabila semua pihak menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan pada tahun ini.

Rentetan peristiwa yang berlaku seawal dua minggu pertama tahun baru seolah-olah memberi gambaran awal bahawa tahun ini bakal menjadi satu lagi tahun yang menguji tahap perpaduan, keselamatan, kebebasan dan keamanan yang telah kita nikmati selama ini.

Tidak keterlaluan untuk kita merumuskan bahawa majoriti rakyat yang begitu mencintai keharmonian kaum dan keamanan negara menzahirkan kegusaran dan kerisauan masing-masing setelah melihat apa yang sedang berlaku mutakhir ini.

Antara persoalan yang bermain di benak fikiran rakyat ialah apakah insiden-insiden yang telah dan sedang berlaku ini bakal meragut, melenyapkan dan menghancurkan apa yang telah dibina, dipertahan dan diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu?

Apakah kita mahu anak-anak muda terutamanya golongan mahasiswa yang disandang harapan yang cukup tinggi untuk memacu kegemilangan masa depan negara ini terus hanyut dengan pelbagai demonstrasi yang akhirnya boleh menghancurkan masa depan mereka sendiri?

Kenapa ada segelintir rakyat kita sanggup berusaha begitu keras dengan penuh kreatif untuk menyediakan, membawa dan meletupkan bom walaupun menyedari ia bakal menjejaskan keselamatan orang lain dan seterusnya mengganggu gugat keamanan negara serta menjejaskan imej negara di mata dunia?

Kenapa pula masih ada segelintir orang Islam yang sanggup dan begitu bersemangat memaki hamun, bergaduh dan bertengkar sesama sendiri hanya kerana kuasa politik dan perbezaan ideologi?

Apakah kita lupa bahawa rakyat sedang memerhatikan dan menilai segala tindakan dan tingkah laku kita? Dan apakah rakyat negara ini yang majoritinya masih menyayangi negara ini yang masih mahu menikmati keamanan dan perpaduan yang sedia ada akan sanggup membiarkan golongan ini menghancurkan segala-segalanya?

Dalam hal ini penulis sangat setuju dengan ungkapan yang menjadi slogan keramat mutakhir ini iaitu 'rakyat hakim negara'.

Slogan ini amat bertepatan dalam soal ini. Memang rakyat bakal menjadi hakim kepada golongan-golongan seperti ini yang sedang berusaha keras untuk menghancurkan negara kita dengan apa cara sekalipun.

Justeru diharap rakyat dapat menilai antara batu dan permata kerana hanya jauhari yang mengenal manikam seterusnya menjadi hakim serta membuat keputusan yang bijak bila tiba masanya.

Jangan sesekali kita menggadaikan perpaduan, keharmonian, keselamatan dan keamanan yang telah diamanahkan kepada kita oleh nenek moyang kita.

No comments:

Post a Comment