Saturday, January 7, 2012

pelajar mahu bebas

Pilih belajar atau berhimpun?


Pelajar universiti tempatan kini makin berani terlibat dalam demonstrasi haram.


SEBELUM ini, ramai rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gusar dengan usaha pihak tertentu menganjurkan perhimpunan haram jalanan pada 9 Januari 2012 yang dinamakan Kempen Bebaskan Anwar 901.
Beratus-ratus laporan polis dibuat bagi menentang kempen tersebut yang dilihat tidak mahu menerima keputusan mahkamah jika Datuk Seri Anwar Ibrahim disabit kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang telah bertahun-tahun tertangguh.
Usaha mengheret rakyat dalam menentang keputusan mahkamah yang belum lagi ditetapkan itu memberi tekanan besar kepada pihak berkuasa dan penghuni sekitar Kuala Lumpur yang sudah serik dengan gangguan terhadap urusan harian demi kepentingan individu atau kumpulan tertentu sahaja.
Lebih membimbangkan, jika kempen tersebut menarik penyertaan belia terutamanya pelajar universiti sehingga menyebabkan mereka meninggalkan pelajaran dan peperiksaan demi sebuah program yang tidak mampu mengubah apa-apa keputusan mahkamah.
Ketika situasi semakin hangat menghampiri tarikh tersebut, laporan terkini menunjukkan pihak polis akhirnya bersetuju memberi kebenaran penganjur meneruskan Kempen Bebaskan Anwar 901 di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
Pihak penganjur dikenakan syarat memastikan perhimpunan itu diadakan dengan aman dan teratur mengikut Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan di Parlimen, baru-baru ini.
Kebenaran pihak berkuasa itu bermakna ia bukan lagi sebuah perhimpunan haram dan mungkin membuka kepada penyertaan lebih ramai pihak terutamanya belia di universiti seluruh negara.
Bagi Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin, tarikh kempen yang diadakan pada minggu peperiksaan dan aktiviti utama universiti mungkin akan menghalang penyertaan pelajar UTHM.
"Kami sedang menjalankan peperiksaan ketika ini dan mungkin tiada pelajar yang turut serta dalam kempen di Kuala Lumpur itu.
"Selain itu, kami turut menetapkan Isnin ini sebagai hari untuk mengagihkan baucar buku yang disediakan kerajaan dan saya harap kesemua 10,000 pelajar UTHM hadir mengambilnya," katanya.
Tegasnya, para pelajar universiti tersebut tidak sewajarnya ke sana memandangkan perlu menduduki peperiksaan serta menyertai beberapa program penting dan membiarkan mahkamah sahaja membuat keputusan dalam kes tersebut.
Jelasnya, pihak universiti tetap akan memantau situasi pada hari tersebut mengikut peraturan sedia ada termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi melihat jika ada tindakan yang ditakrif sebagai 'haram' atau melanggar peraturan.
"Saya tidak boleh komen berkenaan polis memberi permit dan menjadikan kempen itu tidak haram lagi.
"Tapi, sewaktu belajar ini, pelajar sebaiknya tumpu kepada pelajaran daripada berdemonstrasi sehingga boleh menyebabkan mereka gagal dalam pelajaran dan peperiksaan," tegasnya.
Katanya lagi, tiada guna menyertai apa jua aktiviti jika pelajar gagal dalam pelajaran dan peperiksaan, termasuklah bagi pelajar politik yang menyertai aktiviti politik.
"Subjek-subjek di UTHM berat dan memerlukan latihan bertubi dan tumpuan penuh pelajar. Meninggalkan kuliah dan terlibat dengan demonstrasi tersebut juga tidak akan membawa perubahan.
"Untuk mengajak orang ramai itu lainlah, tapi saya tidak nampak objektif mengajak pelajar turut serta kerana aktiviti sedemikian tidak sesuai," ujarnya.
Beliau juga menganggap mereka yang menyeru penyertaan pelajar dalam demonstrasi sedemikian menunjukkan sifat tidak mementingkan pendidikan generasi akan datang.
Mohd. Noh turut mencadangkan kerajaan membina lebih banyak universiti di luar Kuala Lumpur agar mahasiswa dapat belajar dengan tenang dan kurang diganggu dengan program seumpama kempen tersebut.
"Tindakan kerajaan membina universiti di Johor dan Pahang adalah tepat kerana pelajar senang untuk belajar dan kurang diganggu pihak luar.
"Saya sedih melihat pelajar di Kuala Lumpur yang terpaksa menghadapi situasi sedemikian dan mungkin lebih mudah terpengaruh dengan aktiviti yang akan menyebabkan mereka meninggalkan bilik kuliah," katanya.
Beliau menegaskan, UTHM akan terus memantau perkembangan kempen tersebut tetapi akan menyekat semua kenderaan milik universiti daripada ke kawasan berhampiran perhimpunan itu diadakan.
"Kita tidak mahu kenderaan UTHM termasuk bas universiti terbatas pergerakan di kawasan perhimpunan itu diadakan (akibat sekatan jalan raya).
"Saya juga takut ada pula orang akan kaitkan nama universiti ini dan pelajarnya dengan program tersebut kelak," jelasnya.
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin juga berkongsi nada serupa dengan menegaskan pelajar sedang sibuk menghadapi minggu peperiksaan dan mungkin tidak menyertai kempen tersebut.
"Saya fikir pelajar UIAM tidak akan hadir ke perhimpunan tersebut kerana semuanya tengah panas menghadapi minggu peperiksaan berturut-turut setiap hari.
"Sedangkan kejadian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak sebelum ini juga tiada penglibatan pelajar UIAM walaupun ketika itu belum minggu peperiksaan, apatah lagi minggu peperiksaan yang padat ketika ini," jelasnya.
Beliau berpendapat pelajar di UIAM masih waras dan akan mendahulukan peperiksaan mereka daripada menyertai kempen tersebut.
Zaleha bagaimanapun tidak mahu memberi sebarang komen ketika ditanya kemungkinan tindakan jika ada pelajar universiti itu memilih untuk meninggalkan peperiksaan untuk menyertai perhimpunan tersebut kerana dikhuatiri disalah tafsir sebagai kenyataan politik.
Dengan penganjuran Kempen Bebaskan Anwar 901 serentak dengan minggu peperiksaan beberapa universiti utama seluruh negara, mungkin majoriti pelajar akan mengutamakan masa hadapan mereka daripada demonstrasi di luar bangunan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
Sungguhpun pihak berkuasa telah memberi kebenaran, itu bukannya lesen menghalalkan mana-mana individu meninggalkan tanggungjawab mereka sebagai pelajar mahupun sebagai kakitangan awam dan swasta, lebih-lebih lagi pada hari bekerja dan minggu peperiksaan.
Apa yang diharapkan, tiada seorang pun daripada mahasiswa dan bakal graduan negara dari mana-mana universiti tersilap langkah dan sanggup meninggalkan kewajipan berjihad dalam pendidikan demi seorang individu, melaungkan bantahan yang tidak dapat membawa sebarang perubahan keputusan mahkamah.
Keyakinan pengurusan tertinggi universiti juga menunjukkan mereka turut mempercayai para pelajar lebih matang berfikir dan rasional dalam memilih perjuangan jangka pendek dan jangka panjang. Sampai masa rakyat juga memberi kepercayaan serupa.

No comments:

Post a Comment