Friday, January 6, 2012

gigit tangan menyuap

Usah gigit tangan yang menyuap

A.H. MOHAMED
Kuala Lumpur.

SEBAGAI bekas profesor universiti, saya amat kesal dan sedih melihat cara pelajar-pelajar universiti berhimpun di jalan raya bagi meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap pihak kerajaan.

Saya melihat dengan terperinci video demonstrasi pelajar di luar pagar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini. Alangkah baiknya jika pelajar-pelajar boleh berhujah dan bercakap di dalam bilik kuliah sepertimana yang mereka tunjukkan di jalanan.

Sepanjang pengalaman saya sebagai pensyarah, saya dapati kebolehan para pelajar membuat pembentangan dan kebolehan berkomunikasi amat lemah dan menyedihkan, tetapi apabila membuat tunjuk perasaan berlainan sama sekali.

Apa yang menyedihkan, mereka mencerminkan tingkah laku yang kasar, agresif, kurang disiplin, kurang ajar dan tidak langsung berterima kasih dengan apa yang kerajaan telah sediakan selama ini. Bahasa mereka agak lucah dan perangai semacam samseng.

Kumpulan yang menganjurkan tunjuk perasaan di luar pagar UPSI datangnya dari beberapa buah negeri. Anehnya, mereka mempunyai wang untuk membiayai tambang kereta api, bas dan kereta. Tetapi bila disuruh membeli buku teks pelbagai helah akan diberi.

Pelajar-pelajar terbabit seolah-olah menggigit tangan yang menyuap mereka. Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia mungkin tidak tersenarai dalam golongan universiti terhebat di dunia. Tetapi selepas melawat beberapa univeristi di luar negara, saya berani menyatakan bahawa universiti-universiti tempatan kita setanding, malah ada yang lebih baik daripada univerisiti di rantau ini dari segi infrastruktur, kemudahan dan mutu tenaga pengajar.

Bagi anak-anak muda yang diterima masuk ke universiti awam, berapakah yuran yang dikenakan? Sedikit sekali.

Setiap pelajar pula berhak mendapat pinjaman PTPTN. Baru-baru ini kerajaan memberi setiap pelajar universiti baucer RM200 untuk membeli buku.

Dari segi menaja pelajar ke luar negara pula, tiada negara yang semurah hati kerajaan Malaysia menawarkan biasiswa dan pinjaman bagi kursus-kursus kritikal. Itu pun ada pelajar yang enggan membayar balik pinjaman yang diterima.

Oleh itu, seelok-eloknya para pelajar melihat diri sendiri dan hargailah apa yang kerajaan telah sediakan selama ini.

Bagi para pelajar yang tidak puas hati dengan universiti awam, nasihat saya ialah jika universiti awam dirasakan tidak sesuai, pilihlah daripada berpuluh-puluh Insitusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan pulangkan setiap sen pinjaman PTPTN yang telah disalahgunakan.

Pada tahun 1960-an dan 1970-an, jumlah institusi pengajian tinggi amat terhad dan memasuki universiti bukannya satu hak tetapi atas daya usaha gigih setiap pelajar. Kini dengan adanya 20 IPTA dan berpuluh kolej universiti dan politeknik, setiap lepasan sekolah berpeluang untuk menerima diploma atau ijazah.

Mereka mengatakan polis kita ganas dan kasar. Dari kaca mata penentang, polis sentiasa dilihat sebagai ganas di negara mana sekalipun. Tiada polis di dunia ini yang akan bertoleransi apabila berdepan dengan perusuh. Tiada polis yang akan berdiri melihat sambil tersenyum menghulur minuman dan makanan kepada perusuh atau orang yang berdemonstrasi.

Setiap pasukan polis di dunia ini mempunyai 'standard operating procedure' (SOP). Begitu juga polis kita. Sekiranya anda bertindak semacam samseng pasukan polis harus bertindak sewajarnya.

Pihak kerajaan telah berjanji akan mengkaji semula Akta Univesiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan pindaan akan dibuat. Pelajar harus bersabar.

No comments:

Post a Comment