Monday, January 9, 2012

anwar bebas

Kes liwat: Anwar bebas, tidak bersalah

January 9, 2012
byline
anwar-dan-isteri
anwar-melambai-ke-arah-penyokong
KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium, empat tahun lalu.
Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati wujudnya elemen tiada integriti dalam sampel DNA.

Keputusan itu disambut dengan sorakan oleh lebih 6,000 penyokongnya yang membanjiri parkir Kompleks Mahkamah Jalan  Duta di sini.

Keputusan diumumkan sekitar 9.21 pagi.

Terdahulu dengan memakai baju biru dan seluar hitam, Anwar memasuki bilik perbicaraan mahkamah yang penuh sesak diiringi isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak kira-kira jam 8.50 pagi.

Anwar, 64, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara 3.10 hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Kesesakaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Ruang mahkamah dipenuhi anggota keluarga Anwar dan beberapa anggota Parlimen, dan para wartawan tempatan serta asing.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah ketika menyampaikan keputusannya menegaskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel DNA tidak terusik.

"Tidak ada bukti yang menyokong keterangan Saiful.

“Oleh kerana ini adalah jenayah seksual, mahkamah keberatan untuk menyabitkan hanya berdasarkan keterangan Saiful. Tertuduh oleh itu, dibebas dan dilepaskan,” katanya ketika membacakan penghakiman.

Saiful tidak ada di mahkamah hari ini.
Anwar tersenyum semasa keputusan itu dibacakan dalam mahkamah yang penuh sesak manakala anggota keluarganya kelihatan berpelukan sambil ada yang menitiskan air mata.

Dalam pada itu, peguam utama Anwar, Karpal Singh berkata, keputusan hari ini adalah berdasarkan merit dan pendakwa tidak harus mengemukakan rayuan.

"Ia satu kemenangan yang baik bagi Anwar," kata beliau yang juga Pengerusi DAP.

Ini adalah kes liwat kedua melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat ini selepas didapati bersalah dan dihukum penjara sembilan tahun pada Ogos 2000 kerana meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.

Bagaimanapun, empat tahun selepas itu, beliau dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusuf Zainal Abiden berkata, mereka belum memutuskan sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

“Kami belum buat keputusan. Kami akan berbincang,” katanya lagi.

Beliau berkata, mereka mempunyai 14 hari untuk mengemukakan rayuan.

No comments:

Post a Comment