Manfaatkan kehebatan 3 anak Ali
IBNU AC
Jerantut, Pahang
DATUK Ibrahim Ali, kita tahu adalah seorang Presiden Perkasa yang sangat hebat, merupakan tokoh yang tidak pernah berganjak dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu.
Datuk Dr. Hasan Ali, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Kerajaan Negeri Selangor, juga kita tahu adalah seorang tokoh yang tak kurang hebat. Sanggup menghadapi apa jua tindakan daripada pucuk pimpinan parti demi menegakkan akidah umat Islam, demi mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan demi mengekalkan kedaulatan raja-raja Melayu agar terus berada di persada.
Akhir sekali Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung Pas. Beliau tidak kurang hebatnya, walaupun kelihatan 'mutakhir' ini seolah-olah beliau bermusuhan dengan Hasan Ali. Kita semua tahu isunya adalah mengenai hal-hal dalam parti mereka sendiri iaitu isu mengenai negara berkebajikan.
Terpanggil saya untuk bertanya, kenapa kehebatan ketiga-tiga anak Ali di Malaysia ini tidak mereka gunakan bagi mengukuhkan perpaduan Melayu? Daripada asyik berselisih faham yang menampakkan kekucar-kaciran Melayu dan Islam di negara sendiri, lebih baik kehebatan mereka ini digunakan untuk duduk semeja.
Apa salahnya Meja Bulat 1 Malaysia yang baru ditaja oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mereka tumpang guna untuk berbincang perkara-perkara yang mendatangkan faedah kepada perpaduan Melayu dan Islam.
Saya yakin mereka ini sering menonton kekecohan dan keganasan yang berlaku di negara-negara Islam di bumi Arab melalui televisyen dan Internet. Saya amat yakin mereka ini dapat menilai bagaimana cara pemerintah negara-negara tersebut mengekang kebangkitan peserta demonstrasi hingga mengakibatkan kematian yang bukan sedikit jumlahnya.
Alhamdulillah di negara kita, kerajaan masih waras. Segala perhimpunan atau demonstrasi yang berlaku dapat dikekang dengan sopan. Tidak berlaku tindakan balas daripada pihak pemerintah secara membabi buta atau mengikut perasaan.
Semua tindakan yang diambil pihak pemerintah adalah mengikut lunas-lunas yang dibenarkan. Tapi sampai bilakah keadaan begitu dapat dipertahan dan dikekalkan?
Justeru, inilah masanya untuk ketiga-tiga anak Ali ini menggunakan pengaruh mereka mengajak semua orang Melayu tanpa mengira daripada parti mana, membantu pucuk pimpinan 'menautkan' tali kesepakatan agar perpaduan semua orang Melayu dapat direalisasikan demi mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan Islam, tanpa mengusik hak-hak yang dikecapi oleh kaum lain, seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Saya yakin ketiga-tiga anak Ali ini khususnya Mustafa Ali dan Hasan Ali yang merupakan orang kuat Pas ini menyahut cabaran ini.
Apatah lagi, Presiden parti mereka sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sewaktu memegang jawatan Timbalan Presiden Pas dan Menteri Besar Terengganu pernah berkata kepada pemberita pada 16 Ogos 2000, bahawa hak keistimewaan Melayu mesti dipertahankan.
Perkara ini Hadi ajukan sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Majlis Perundangan Ekonomi Negara (Mapen) II, Datuk David Chua yang meminta agar hak keistimewaan orang Melayu dihapuskan.
Saya juga yakin mereka bertiga ini tahu saranan Felo Utama Institiut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady pada Kongres Permuafakatan Melayu di Pusat Kongres Antabangsa Persada di Johor Bahru pada 2 hingga 4 Mei 2008, yang mana beliau mahukan UMNO dan Pas perlu mencari formula untuk bersatu bagi menjayakan program-progran 'menyelamatkan' orang Melayu dalam isu-isu tertentu tanpa mengorbankan fahaman politik masing-masing.
Menurut Dr. Muhammad semua pihak perlu mengambil berat terhadap usaha mempertahankan kedaulatan Melayu, hak istimewa dan Islam, selain isu-isu berkaitan yang mencabar Perlembagaan Persekutuan.
Bagi saya meskipun kedua-dua isu tersebut sudah lama dilontarkan namun tidak salah jika ketiga-tiga anak Ali ini mengambil inti maksud sebenar kedua-dua luahan daripada kedua-dua orang tokoh yang tak kurang penting itu sebagai 'wahana' dalam perjumpaan meja bulat mereka.
Selaku warganegara Malaysia yang amat inginkan perpaduan seluruh orang Melayu dan Islam menjadi kenyataan, saya merayu kepada ketiga-tiga anak Ali ini agar berdamailah demi tujuan tersebut.
No comments:
Post a Comment