Tuesday, January 31, 2012

tubuh negara cina

Tubuh kerajaan Cina, Soi Lek diberi tempoh 24 jam tarik balik kenyataan
MOHD ISKANDAR OTHMAN
31 Januari 2012
guan-eng
GEORGETOWN - Dakwaan kononnya pembangkang mahu menubuhkan ‘Kerajaan Cina’ di Perak jika memenangi pilihan raya akan datang adalah fitnah selain cuba memainkan sentimen perkauman.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, DAP mahupun Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah bercadang untuk menubuhkan Kerajaan Cina seperti yang didakwa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam sebuah akhbar arus perdana semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pembohongan yang dibuat Soi Lek itu amat berbahaya kerana boleh menimbulkan kebencian dan mengelirukan rakyat.

“Kami langsung tidak pernah bercadang mahu menubuhkan Kerajaan Cina mahupun kerajaan apa-apa bangsa sekalipun seperti yang didakwa Soi Lek. Apa yang kami mahu tubuh adalah kerajaan berjiwa rakyat.

“Saya menggesa agar dia menarik balik kenyataan itu atau buktikan bila pemimpin PR mengatakan mahu menubuhkan Kerajaan Cina. Jika dia gagal berbuat demikian saya akan mengarahkan pemimpin saya di Perak untuk membuat laporan polis terhadapnya,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, tidak timbul isu menubuhkan Kerajaan Cina di Perak sekiranya PR berjaya menakluki semula negeri itu kerana sebelum ini pimpinan PR negeri itu sebulat suara memilih Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata, tindakan Soi Lek itu bukan sahaja menunjukkannya hilang modal politik malah amat memalukan apabila sanggup menipu rakyat dengan memfitnah parti lawan hanya untuk menarik perhatian pengundi dalam pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, Guan Eng memberi tempoh 24 jam kepada Soi Lek untuk menarik balik kenyataan itu atau bakal dikenakan tindakan undang-undang.

melayu tak akan mampu tinggal di pp

'7,000 keluarga menumpang'
Wartawan Sinar Harian
31 Januari 2012
zainal
GEORGETOWN - Kira-kira 7,000 keluarga melibatkan 35,000 penduduk Pulau Pinang dikenal pasti masih lagi menumpang di tanah milikan orang lain kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana harga rumah yang semakin tinggi.

Golongan ini menumpang di tanah wakaf, tanah rizab kerajaan dan tanah swasta dikatakan hanya menunggu masa untuk diusir keluar dari perkampungan tradisi selepas tapak yang didiami dituntut semula oleh pemiliknya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, Kerajaan Negeri sepatutnya memberi fokus kepada masalah itu kerana mempunyai kuasa untuk melakukan pengambilan semula tanah.

“Walaupun hampir empat tahun Pulau Pinang diperintah oleh DAP namun Kerajaan Negeri dilihat gagal membina rumah kos rendah dan mampu milik untuk rakyat.

“Disebabkan tidak mampu memiliki rumah, ramai penduduk terutama Melayu terpaksa berhijrah ke Kedah dan Perak apabila tanah yang didiami diambil semula pemiliknya,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan kelengkapan sekolah kepada 1,400 pelajar di kawasan Parlimen Bukit Bendera di sini kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Menurutnya, sebagai kerajaan yang dipilih rakyat, Ketua Menteri, Lim Guan Eng seharusnya menjaga kebajikan semua rakyatnya termasuk menyediakan perumahan mampu milik.

“Janganlah hanya menjaga golongan minoriti yang mampu memiliki rumah harga tinggi,” katanya.

Zainal yang juga Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, Kerajaan Pusat sedang dalam perbincangan untuk membeli beberapa bidang tanah untuk membina rumah kos rendah dan mampu milik untuk rakyat.

Usaha itu, katanya, akan membolehkan Kerajaan Pusat membina antara 2,000 hingga 3,000 unit rumah mampu milik beberapa kawasan termasuk di bahagian pulau pada peringkat permulaan.

“Kita hanya mampu bina sebahagian dengan peruntukan yang diberikan Kerajaan Pusat. Selebihnya Kerajaan Negeri harus mengambil tanggungjawab dengan memberi perhatian serius terhadap masalah perumahan.

“Umno sangat prihatin dengan keadaan mereka yang terpaksa menumpang di tanah orang. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana kebanyakannya tidak mampu membeli tanah sendiri,” katanya.

i city

i-City setuju sewakan tiga lot kedai, peniaga Melayu harap sewa diselaras

SHAH ALAM 30 Jan. - Permintaan kira-kira 30 peniaga Melayu yang menjual lampu mainan LED untuk mendapat tapak perniagaan di i-City di sini tercapai apabila pihak pengurusan destinasi pelancongan itu bersetuju memberikan tiga lot kedai kepada mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif i-City, Datuk Eu Hong Chew berkata, selepas berbincang, pihaknya bersetuju menyediakan tiga lot kedai dengan bayaran sewa mengikut harga semasa kepada para peniaga berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya memberikan pilihan kepada para peniaga berkenaan untuk ditempatkan di tiga daripada lima lot kedai yang ditawarkan di kawasan teman tema dan berhampiran zoo mini.

"Jika para peniaga memilih lot kedai berhampiran taman tema, mereka boleh berniaga pada bila-bila masa, manakala jika mereka pilih lot kedai berhampiran zoo mini, operasi perniagaan hanya boleh dimulakan pada Mac ini.

"Dengan keputusan ini kami berharap tiada lagi perniagaan secara haram wujud di i-City," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketua Biro Keselamatan Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang (PKPM), Mohd. Ali Khan Amir Khan pula berkata, para peniaga hanya akan memberikan keputusan selepas melakukan perbincangan pada malam ini.

"Mereka perlu berbincang kerana tiga kedai yang dipilih akan dikongsi bersama kira-kira 30 peniaga. Pelbagai aspek lain perlu diambil kira termasuk sama ada perniagaan mereka boleh bertahan atau bersetuju menerima tapak kedai yang ditawarkan," katanya.

Wakil peniaga, Firdaus Ismail pula berharap, jika mereka bersetuju menerima lot kedai yang ditawarkan, pihak i-City akan memberikan kadar sewa yang diselaraskan dengan semua peniaga lain di situ.

"Jangan nanti kami terpaksa bayar sekali ganda berbanding peniaga lain. Kami bukan peniaga besar, jadi harap pihak i-City dapat memberikan pertimbangan sewajarnya.

"Kami juga meminta pihak i-City membuka laluan masuk untuk orang ramai menuju ke taman tema berhampiran lot kedai yang ditawarkan agar kedai kami ada pengunjung," katanya.

Jumaat lalu, kira-kira 30 peniaga Melayu yang menjual lampu mainan LED berkumpul di kawasan i-City bagi membantah keputusan pihak pengurusan destinasi pelancongan itu yang tidak membenarkan mereka berniaga di situ.

Mereka juga meminta pihak pengurusan i-City memberikan tapak perniagaan dan mereka sanggup membayar sewa agar boleh berniaga secara sah kerana pihak i-City selama ini menganggap mereka sebagai peniaga haram.

di kelantan banyak penjenayah

Penjual kuih parah ditembak perompak

KOTA BHARU 30 Jan. - Seorang penjual kuih berusia 50 tahun cedera parah akibat ditembak sekumpulan empat perompak yang menceroboh masuk rumah mangsa di Kampung Slow Machang dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi, mangsa, Che Hasmah Che Awang, 54, cedera di bahagian perut kanan sehingga tembus ke belakang.

Ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama-sama suaminya, Mohd. Lawi Dollah, 54, anak lelaki tunggal mereka, Mohd. Khairul Azani, 26, menantu, Shamimi Rohaimee, 22, dan cucu lelaki berusia tiga tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, mangsa yang kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Ketika kejadian kesemuanya sedang tidur di bilik masing-masing sebelum muncul empat lelaki pakai topeng.

"Suspek kemudian telah mengheret anak mangsa (keluar bilik) sementara mangsa dan yang lain dipaksa menunggu dalam bilik," katanya.

Jalaluddin memberitahu, tiga suspek kemudian menggeledah bilik anak mangsa dan melarikan empat buah telefon bimbit, tiga utas rantai, tiga bentuk cincin, sepasang subang dan wang tunai RM5,000.

Menurutnya, perompak terbabit turut melarikan sebuah kereta jenis Honda Jazz milik anak mangsa.

"Anak mangsa sempat melihat seorang lagi suspek berada dalam sebuah kereta Proton Iswara berwarna hitam ketika kejadian berlaku. Siasatan awal Unit Forensik telah menemui sepucuk pistol jenis Revolver 3.8 yang digunakan oleh suspek di rumah tersebut," katanya.

Jalaluddin memberitahu, pihaknya telah melancarkan Operasi Tutup bagi mengesan kesemua suspek.

Menceritakan kejadian itu, Mohd. Lawi berkata, dia dan isterinya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu dan orang memberi salam.

Katanya, dia yang bangun dan membuka pintu terkejut melihat empat lelaki tidak dikenali dan menutup muka mereka dengan kain pelekat.

"Suspek kemudian meluru masuk dan saya ditahan di ruang tamu. Suspek yang lain terus ke bilik saya dan anak.

"Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi tembakan dan dengar jeritan isteri saya," katanya yang tidak boleh berbuat apa-apa kerana suspek bersenjata api.

gugur gelaran

Aziz Bari digugur gelaran profesor

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Aziz Bari tidak boleh lagi menggunakan status profesor kerana ia gugur secara automatik setelah beliau menamatkan perkhidmatan dengan institusi pengajian tinggi itu.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UIAM, Abdul Rahim Ahmad berkata, sebarang aktiviti Abdul Aziz selepas ini juga tiada kaitan dengan universiti itu.

Namun katanya, Abdul Aziz masih boleh menggunakan status profesor jika ada universiti lain melantiknya ke jawatan itu.

''Pensyarah yang tamat perkhidmatan dari mana-mana institusi pengajian tinggi awam, tidak boleh menggunakan status profesor kerana ia gugur secara automatik.

''Dengan penjelasan ini, saya harap, semua pihak dapat mengetahui gambaran sebenar tentang Abdul Aziz dan berharap sebarang aktiviti beliau selepas ini tiada kaitan dengan UIAM," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan akhbar bagi mengulas pertanyaan pembaca Utusan Malaysia, SAKINAH melalui ruangan Forum akhbar itu pada Jumaat lalu yang ingin tahu bidang pengkhususan dan siapakah yang memberikan pengiktirafan kepada Abdul Aziz sebagai pakar undang-undang dan perlembagaan.

Monday, January 30, 2012

bukti salahlaku pemimpin pakatan

‘Saya pun ada bukti salah laku pemimpin Pakatan’
RISWANDI RAZAK
29 Januari 2012
Hasan Ali
SHAH ALAM - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menggesa Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai bukti penyelewengan dan salah laku melibatkan beliau.
Menurutnya, beliau sendiri tidak mengetahui bentuk penyelewengan yang didakwa Azmin sebagai rahsia yang kini berada dalam tangan Pakatan Rakyat (PR).
Sebaliknya, Hasan mendedahkan beliau juga mempunyai bukti-bukti kukuh berhubung salah laku pemimpin PR, menerusi pemberi maklumat dalam gabungan tersebut.
"Bukan niat saya untuk mengaibkan sesiapa, tetapi andainya saya ditolak ke dinding, barangkali maklumat-maklumat tersebut boleh dijadikan senjata ampuh mempertahankan diri.
"Ini kerana sesetengah daripada maklumat tersebut boleh mengundang keaiban kepada individu dan parti," kata beliau dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Azmin mempunyai rahsia berkaitannya dan akan dedahkan kepada rakyat sekiranya Hasan terus menyerang kepimpinan PR.
Hasan berkata, sebagai ahli politik, beliau tidak mampu mempetahankan diri daripada serangan dan fitnah kerana ia perkara biasa dalam dunia politik.
Menurutnya, beliau masih mempunyai rekod baik sepanjang 15 tahun berada dalam dunia politik termasuk dalam perkara fitnah-memfitnah.
"Mungkin ada yang mengatakan bahawa saya angkuh. Tetapi, inilah realitinya. Setakat yang saya ingat, belum ada laporan polis atau siasatan SPRM ke atas saya.
"Tetapi tidak tahulah waktu mendatang kerana saya bersama teman-teman dilihat terlibat dalam program dalaman dan bagi setengah golongan menganggapnya sebagai menentang arus," katanya yang memulakan siri jelajah penerangan selepas dipecat oleh Pas pada 8 Januari lalu.
Ekoran keputusan Pas itu, beliau digugurkan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Beliau mempunyai masa 30 hari untuk membuat rayuan.

tarian seksi

Tarian seksi cetus kontroversi
Wartawan Sinar Harian
30 Januari 2012
Tarian seksi cetus kontroversi
GEORGETOWN – Menari sehingga separuh bogel, itulah kegiatan yang dipercayai dilakukan sebuah pusat hiburan di sebuah Jalan Upper Penang.

Kegiatan tidak bermoral itu didedahkan oleh penulis blog MyNewsHub dalam laman blognya.

Dipercayai pusat hiburan yang terletak di bersebelahan sebuah hotel popular di Georgetown menganjurkan sebuah pertandingan Tarian Seksi atau Sexy Dance Competition.

Tidak ketinggalan, penulis blog itu juga memuat masuk beberapa video yang memaparkan gadis-gadis menari dalam keadaan separuh bogel di lobi tarian kelab itu.

Kelab berkenaan dipercayai beroperasi di Upper Penang Road menganjurkan pertandingan itu menerusi beberapa peringkat sebelum gadis-gadis itu dipilih untuk ke peringkat akhir.

Dalam blog berkenaan, penulis memberitahu tiga peserta yang berada di peringkat akhir telah terpilih sebagai pemenang.

“Seorang gadis yang hanya dikenali sebagai Rainbow berjaya merangkul tempat pertama, Angeline di tempat kedua, manakala Abby pula di tempat ketiga.

“Dalam persembahannya, Rainbow yang mulanya berseluar jeans pendek dan berjaket gelap mula membuka jaketnya dengan meninggalkan baju dalam sebelum beraksi di atas pentas, ala-ala ‘Thai girl show’ di Thailand.

“Angeline pula yang mulanya berbaju tanpa lengan dan berseluar sangat pendek tidak kurang ‘hebat’nya apabila mendapat tepukan gemuruh dari penonton di pusat hiburan itu dengan aksi menanggalkan baju serta hanya memakai coli ketika menari,” katanya.

Rata-rata pembaca blog berkenaan mengutuk tindakan acara berkenaan yang diadakan di sebuah negara Islam.

Ada di antara yang meminta supaya pihak berkuatkuasa segera mengambil tindakan segera walaupun ia hanya disertai oleh orang bukan Islam.

“Saya percaya pasti ada orang Islam juga yang masuk ke kelab berkenaan kerana ia hanya terbuka kepada sesiapa, dan sekiranya kita memandang isu ini secara ringan dan mudah pasti ALLAH akan menurunkan bala sama seperti tsunami,” komen seorang pembaca.

Tidak kurang ada yang mengkritik acara sedemikian rupa hanya berlaku di Pulau Pinang sebaliknya bukan di Kuala Lumpur mahupun Johor Bahru.

“Rasa-rasanya tiada acara berbogel sebegini di Kuala Lumpur walaupun pub dan kelab malam berlambak di sana.

“Ini kerana ada pihak yang cuba pejam mata sedangkan ia sudah terdedah di laman web, dan seluruh masyarakat dunia boleh membuka video berkenaan, ini memalukan negara Islam,” kata seorang pembaca.

khazanah

Hartanah Medini mencurigakan?

RAKYAT JOHOR PRIHATIN,
Johor Bahru

LANGKAH diambil Khazanah Nasional (Khazanah) dalam urusan korporat sudah tentu mendapat perhatian umum kerana bukan saja ia milik Kementerian Kewangan, tetapi setiap perjanjian jual beli yang dibuat oleh Khazanah melibatkan wang berbilion ringgit.

Persoalannya, siapakah di dalam kerajaan yang memantau kegiatan Khazanah? Pemantauan di sini bukan sekadar mendapatkan taklimat atau penjelasan daripada Khazanah. Tetapi, siapakah di dalam kerajaan yang membuat analisis atau kajian terperinci mengenai tindakan-tindakan Khazanah sebelum kelulusan diberikan terhadap langkah-langkah korporat mereka?

Antara kegiatan Khazanah yang besar di dalam portfolio mereka adalah pembangunan wilayah Iskandar Malaysia. Khazanah memiliki dua syarikat pemaju utama di kawasan Nusajaya - UEM Land dan Iskandar Investment Berhad (IIB). Kedua-dua syarikat ini memiliki tanah yang besar di sana, berjumlah lebih kurang 24,000 ekar melalui pegangan mereka di dalam anak-anak syarikat yang diwujudkan untuk membangunkan projek di sana.

UEM Land adalah sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur dan wujud sebelum Iskandar Malaysia dilancarkan pada 2006. IIB pula diwujudkan untuk menjadi pemaju besar kawasan Iskandar Malaysia bagi membangunkan projek-projek pemangkin yang dapat membawa nilai pengganda tinggi untuk ekonomi negara.

Antara kawasan utama yang dibangunkan oleh IIB adalah Medini yang terletak bersebelahan dengan Kota Iskandar. Tanah seluas 2,200 ekar ini pada asalnya adalah tanah UEM yang disuntik masuk oleh Khazanah ke dalam IIB. Ia dirancang untuk menjadi tapak pembangunan bercampur bersepadu bagi menarik pelabur-pelabur yang terlibat di dalam 6 sektor perkhidmatan yang diberi insentif oleh kerajaan Malaysia iaitu sektor pendidikan, kreatif, kewangan, logistik, kesihatan dan pelancongan.

Pada Mei 2008, IIB menandatangani perjanjian penjualan hak pembangunan hartanah Medini dengan dua konsortium Arab - Mubadala dari Abu Dhabi dan Kuwait Finance House dari Kuwait. Perjanjian itu ditaksirkan bernilai AS$ 1.2 bilion, atau RM4.2 bilion (berdasarkan kadar tukaran asing pada masa itu). Jumlah transaksi yang besar ini menjadi berita hangat di seluruh negara, sekali gus memberi harapan besar untuk merealisasikan wawasan Iskandar Malaysia.

Hampir empat tahun berlalu, Medini menyaksikan beberapa pengumuman tentang komitmen pelaburan di dalam projek perumahan, taman tema Legoland, pusat membeli-belah dan hospital swasta. Baru-baru ini Khazanah mengumumkan projek kerjasama mereka dengan Temasek dan Sunway untuk membangunkan Zon E dan F di Medini. Sekali lagi, nampak seolah- olah Khazanah berjaya menarik pelaburan ke dalam Medini.

Namun, terdapat desas-desus di Johor mengenai Medini yang sepatutnya diselidiki oleh kerajaan. Soalan yang dikemukakan oleh mereka bukanlah soalan seperti berapa ramai kontraktor Melayu mendapat tender projek di Medini atau berapa ramai setinggan Melayu yang dihalau dari kawasan perkampungan mereka, tetapi lebih merujuk kepada bagaimana Medini telah menjadi satu skema projek hartanah yang mencurigakan.

Antara yang menjadi persoalan adalah atas dasar apakah IIB mewujudkan syarikat Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd (MIMSB) melalui kerjasama dengan sebuah syarikat British Virgin Island bernama UWI Capital (One) Ltd, yang diwakili oleh seorang warga asing dalam nisbah 75:25?

Sekiranya warga asing itu telah membantu IIB mendapatkan kedua-dua konsortium Arab melabur di Medini, bukankah lebih patut beliau dibayar komisen 2-3% daripada nilai pelaburan yang dibawa masuk, dan tertakluk kepada jumlah sebenar yang dibayar oleh pelabur-pelabur ini. Mengapa perlu memberi individu ini saham 25% di dalam Medini?

Yang lebih menghairankan, individu ini juga mewakili dua syarikat British Virgin Island lain - Alpha Four dan Alpha Five Ltd yang memegang 10% di dalam kedua-dua konsortium Arab yang melabur di Medini. Bukankah ini bermaksud individu ini mengaut keuntungan daripada penjual (Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd.) dan pembeli (Mubadala dan Kuwait Finance House)?

Umum mengetahui individu berkenaan dilantik menjadi ahli lembaga pengarah di dalam ketiga-tiga syarikat ini, sehingga menimbulkan persoalan, siapakah sebenarnya individu ini? Apakah beliau memegang kepentingan orang-orang lain yang tidak dapat diketahui disebabkan kesemua syarikat pesisir (offshore) yang diwakilinya berpangkalan di British Virgin Island?

Persoalan kedua ialah apakah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh konsortium-konsortium Arab dalam menarik pelaburan Asia Barat ke Medini? Jika dikaji semula keratan akhbar mengenai projek-projek Medini, hampir semuanya melibatkan Khazanah dan anak-anak syarikatnya sendiri.

Sebagai contoh, projek pusat membeli-belah di Zon A Medini akan diusahakan oleh UEM Land (anak syarikat Khazanah), projek hospital Gleaneagles adalah milik Khazanah, projek pembangunan bercampur di Zon E dan F pun akan diusahakan oleh syarikat kerjasama Khazanah dengan Temasek dan Sunway.

Taman tema Legoland pun tidak boleh dilihat sebagai pelaburan asing ke Medini kerana sebahagian besar kos pembinaan RM720 juta dibiayai oleh pinjaman mudah kerajaan dan dana mudahcara. Ini bermaksud pembayar cukailah yang membiayai projek tersebut.

Sekiranya tiada usaha sebenar yang dilakukan oleh kedua-dua konsortium Arab untuk membawa masuk pelabur-pelabur Asia Barat ke Medini, dan ditambah pula dengan kenyataan bahawa Khazanah yang akhirnya melabur di Medini melalui anak-anak syarikatnya sendiri, mengapa perlu mewujudkan beberapa syarikat orang tengah?

Mengapa Khazanah tidak terus menjual tanah kepada Khazanah-Sunway JV? Mengapa transaksi tanah ini perlu melalui pelbagai syarikat tengah seperti IIB, Medini Iskandar Malaysia dan konsortium Arab? Bukankah ini membolehkan warga asing yang disebut tadi mengaut keuntungan daripada syarikat-syarikat orang tengah ini?

Persoalan ketiga yang perlu diselidiki ialah sekiranya Khazanah sendiri yang melabur di dalam projek Legoland, hospital swasta dan pusat membeli-belah di Zon A Medini, apakah ini bermaksud Khazanah atau IIB membeli semula tanah yang pada asalnya dijual kepada konsortium Arab? Desas-desus di Johor mengatakan bahawa IIB terpaksa membeli semula sebahagian dari tanah-tanah yang dijual kepada konsortium Mubadala akibat dari perjanjian berat sebelah yang ditandatangani oleh Khazanah bagi pihak IIB.

Apa yang perlu disiasat ialah apakah harga tanah yang dibeli semula oleh IIB lebih tinggi dari harga yang dijual kepada konsortium Mubadala? Jika ini benar, bukankah ia boleh membawa maksud konsortium Mubadala mendapat untung atas angin daripada perjanjian jual-beli dengan IIB.

Satu lagi yang perlu diketahui ialah apakah konsortium-konsortium Arab ini mematuhi jadual pembayaran kepada MIMSB? Desas-desus di Johor ada mengatakan bahawa MIMSB dibebankan dengan masalah aliran tunai akibat kelewatan pembayaran oleh kedua-dua konsortium Arab ini, yang mungkin berkait dengan kegagalan mereka menarik pelabur asing ke Medini.

Kegagalan membawa masuk pelabur lain ke Medini jugalah yang menyebabkan mereka terpaksa menjual semula atau memulangkan sebahagian tanah Medini kepada IIB dan MIMSB. Dalam hal sebegini, Khazanah perlu telus dengan memberitahu berapa banyakkah tanah Medini yang telah dijual balik atau dipulangkan semula kepada IIB dan anak-anak syarikatnya.

Apakah harga jualan kepada konsortium Arab ini masih kekal pada harga AS$ 1.2 bilion?

Sejauh manakah pengurangan dari jumlah asal ini sekiranya terdapat sebahagian tanah yang telah dijual balik atau dipulangkan semula kepada IIB atau MIMSB?

Yang menghairankan, walaupun MIMSB menghadapi masalah aliran tunai akibat kelewatan pembayaran dan pemulangan semula sebahagian tanah Medini oleh Mubadala, syarikat tersebut masih boleh membayar dividen sebanyak RM475 juta pada 2008? Perlu diingatkan, 25% daripada dividen ini ialah milik syarikat British Virgin Island yang diwakili oleh individu berkenaan. Mengapa MIMSB tidak sabar-sabar mahu mengagihkan dividen pada tahun tersebut sedangkan bayaran daripada konsortium-konsortium Arab belum diterima sepenuhnya.

Bukankah fokus sepatutnya diberikan untuk membelanjakan wang ke arah pembinaan infrastruktur Medini, bukannya pengagihan dividen? Apakah IIB membeli balik tanah pada harga lebih mahal daripada Temasek dan Sunway? Mengenai penjualan semula tanah Medini kepada IIB, Khazanah juga perlu telus mengenai berapakah harga tanah yang dibeli balik oleh IIB daripada konsortium Mubadala. Harga ini perlu dibandingkan dengan harga yang dibayar oleh syarikat kerjasama Khazanah dengan Temasek dan Sunway untuk Zon E dan F Medini.

Mengikut apa yang dilaporkan di Bursa Saham Kuala Lumpur, harga yang dibayar untuk Zon E dan F ialah lebih kurang RM25 sekaki persegi kawasan lantai kasar (Gross Floor Area). Berapakah harga yang dibayar oleh IIB?

Sekiranya IIB membeli semula tanah dari konsortium Mubadala pada harga yang lebih tinggi (dalam nilai RM sebenar, bukan USD) daripada apa yang dibayar oleh Sunway dan Temasek, ini bermaksud IIB disepit oleh perjanjian berat sebelah yang ditandatangani oleh Khazanah.

Bagaimana pula dengan pemulangan semula sebahagian tanah Medini kepada MIMSB? Siapakah yang dilantik oleh MIMSB atau anak syarikatnya sebagai ejen untuk mencari pelabur-pelabur asing ke Medini? Desas-desus orang Johor menceritakan bahawa sebuah syarikat tempatan yang dilantik menjadi ejen hartanah untuk pihak MIMSB. Dikatakan bahawa syarikat itu mendapat hak eksklusif untuk menjadi ejen hartanah pada kadar komisyen 30%.

Banyak perkara lain yang boleh dibangkitkan di sini mengenai peliknya skema hartanah Medini yang diuruskan oleh Khazanah pada awal penubuhan IIB. Persoalan yang penting ialah apakah pemegang saham IIB yang lain - Kumpulan Wang Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KPRJ) - diberi taklimat jelas mengenai risiko-risiko ini? Kita semua mengetahui KWSP ialah sebuah institusi pelaburan yang konservatif, tidak mungkin skema hartanah sebegini boleh diluluskan oleh Panel Pelaburan KWSP, melainkan sekiranya kertas kerja Lembaga Pengarah IIB tidak menghuraikan risiko-risiko sebegini.

Skema hartanah Medini yang dihuraikan di sini nyata sekali mencurigakan dan perlu disiasat. Transaksi-transaksi hartanah yang berlaku di Medini distrukturkan secara canggih dan rumit, berselindung di sebalik perjanjian-perjanjian jual-beli yang sukar difahami dan mengundang pelbagai soalan, seolah-olah terdapat konspirasi besar yang mahu mengaburi mata rakyat.

Sudah sampai masanya pihak kerajaan memantau lebih kuat syarikat-syarikat GLC. Memantau bukan bermaksud sekadar mendengar taklimat daripada syarikat-syarikat ini, tetapi menyiasat, mengkaji, membuat analisis dan membangkitkan soalan-soalan yang boleh memastikan tidak ada perjanjian berat sebelah yang menggadai kepentingan negara.

bukti dr hasan ali masih laku dari blog sungai rapat online



Walaupun Pas Bukit Gantang telah memberi amaran kepada ahlinya supaya jangan pergi dengar ceramah Dr Hasan Ali tetapi mereka tetap berdegil demi Islam mereka tetap pergi mendengar ceramah Dr Hasan Ali di Dataran Bukit Gantang.


Ramai dikalangan ahli Pas ingin mendengar sendiri luahan hati nurani daripada Dr. Hasan Ali.


Pas kata Dr Hasan Ali akan keseorangan jikalau dia dipecat daripada Pas...betul ke..jom kita lihat dibawah ini
















 Terbukti untuk memperjuangkan Islam Dr Hasan Ali tidak keseorangan, ramai umat Islam sentiasa akan bersamanya kerana perjuangan menegakkan Islam yang dibawanya adalah satu perjuangan yang suci

Sunday, January 29, 2012

kos peguam

Kos pembelaan Anwar dipercayai RM10 juta


Baru-baru ini, ada beberapa peguam cuba membuat estimate akan kos pembelaan dari kos sodomi Anwar.

Perlu diingati, bahawa kos pembelaan Anwar bukannya murah. Pasukan pembelaan Anwar bukan kecil tapi dianggotai oleh ramai peguam-peguam dan peguam research yang ternama.

Satu lagi kos adalah kos mahkamah yang melibatkan permohonan dan rayuan hingga sampai e mahkamah rayuan dan persekutuan. Ini semua kos ...

Perbiacraaan kes sodomi Anwar makan masaa selama hampir 4 tahun dan melibatkan mahkamah sivil dan syariah. Dan mahkamah syariah melibatkan satu pasukan peguam lain.

Ini juga melibatkan out-of-pocket expenses yang melibatkan travelling, komunikasi dan talipon luar negara dan lain-lain.

Dipercayai jumlah kos perbicaraan adalah hampir RM10 juta. Kos untuk membawa Associate Prof David Wells, Dr Brain McDonald dan dr Thomas Hoogland sekali memakan belanja RM2 juta.

Takkan peguam-peguam ini semua buat kerja lillahi taala? Apa dipanggi pro-bono?

Kalau tidak, siapa bayarkan kos guaman Anwar?

selepas hasan

Selepas Hasan Ali kini giliran Azizan

Dalam siri ceramah anjuran Himpun di dewan Majlis Perbandaran Klang, Meru minggu lalu, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali ditanya oleh seorang hadirin mengenai doktrin Pas adalah agama.

Hadirin itu musykil kerana mereka yang keluar daripada Pas dianggap seolah-olah terkeluar daripada Islam. Jawapan Hasan yang baru saja dipecat daripada Parti Islam SeMalaysia itu mudah, iaitu Pas bukan agama tetapi parti politik.

Menurut Hasan, doktrin itu mungkin sengaja diwujudkan supaya parti tersebut akan sentiasa berada dalam jajaran hati manusia. Keluar daripada Pas tidak akan membuatkan seseorang itu terkeluar daripada agamanya.

'Jadi, janganlah risau,' nasihat Hasan yang menggunakan platform Himpun itu untuk menyedarkan umat Islam mengenai gejala murtad yang mahu diperanginya habis-habisan.

Sebenarnya siri jelajah Hasan Ali yang menjanjikan bakal mendedahkan jati diri sebenar Pas yang menurutnya, 72.28 peratus kepimpinannya kini bukan golongan ulama dan dianggap parasit, belum bermula.

Majlis Himpun di Meru itu yang dihadiri oleh lebih 1,000 orang sehingga melimpah ke luar dewan adalah siri rutin Himpun. Tetapi ramai termasuk ahli Pas dalam dewan itu berminat dengan isu yang berlegar dalam Pas.

Sebahagian daripada mereka walaupun telah ditarbiahkan dan berbaiah untuk taat setia, mahu membuka diri dengan sudut pandang lain. Mereka bukan dalam kalangan yang taksub. Mereka masih bersikap terbuka yang tidak sanggup menggadai agama dan bangsa demi kekuasaan Putrajaya.

Tetapi kepimpinan pakatan pembangkang khususnya Pas semestinya yakin benar Hasan 'tidak ada pengaruh'. Buktinya, bertalu-talu kenyataan daripada Mursyidul Am sehingga pimpinan Pas Pusat dan negeri cuba untuk merendam suara Hasan.

Di atas permukaan, terlihat tidak ada seorang pun dalam kalangan pemimpin mereka yang bimbang pemecatan itu bakal menghakis sokongan kepada Pas. Mereka juga tidak hirau dengan bakal munculnya kuasa ketiga dan rancangan Hasan untuk melakukan siri jelajah.

Mungkin sebab itu juga, Pusat Penyelidikan Pas pun buru-buru membuat kaji selidik yang hasilnya tentu sekali akan senada. Kajian itu merumuskan pemecatan keahlian Hasan hanya memberi kesan minimum kepada masyarakat Melayu.

"Melihat kepada penilaian terhadap respons pembaca dan penonton media baru, kesan positif hasil daripada pemecatan Dr. Hasan Ali adalah lebih dominan," kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Ahmad Zuhdi Marzuki.

Selain kenyataan akhbar dan sidang media untuk menangkis persepsi umum, analisis dan komentar mereka merujuk kepada satu rumusan - biarkan Hasan kerana dia sudah tiada pengaruh.

Hasan bagi pimpinan Pas adalah musuh 'yang selama ini dikelilingi oleh orang UMNO dan yang kecewa tidak mendapat jawatan Menteri Besar. Strategi seperti ini sudah biasa dilakukan pemimpin pakatan pembangkang iaitu melabel dan seterusnya mengaitkan orang yang tidak sehaluan dengan UMNO.

Azmin Ali, tokoh PKR yang pakar memperlekeh orang lain juga tidak ketinggalan tumpang semangkuk. Beliau tetap lancang walaupun desakannya sebelum ini yang mahu Hasan diambil tindakan ditempelak ramai pemimpin Pas.

Pemimpin kesayangan Anwar ini tetap saja dengan perangai suka mencampuri urusan rumah tangga orang lain. Hasan yang tegar menentang permainan politik Anwar menurut Azmin, adalah sebenarnya parasit yang boleh merosakkan perpaduan pakatan pembangkang.

Begitulah 'pengaruh' Hasan bagi musuh baru Pas dan pakatan pembangkang ini. Berbondong-bondong mereka cuba melakukan pembunuhan karakter Hasan tetapi pada masa sama berkata tiada apa yang dibimbangi dengan pengaruh Hasan.

Mungkin saja kepimpinan Pas begitu yakin dengan tarbiah dan ikrar taat setia parti itu sehingga exodus pemimpin dan ahli, tidak mungkin boleh berlaku sebagaimana dialami parti rakan mereka, PKR.

Belum selesai mengurus Hasan, kini timbul pula isu Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Menteri Besar Kedah ini memang dilihat sering bertentangan dengan aspirasi kepimpinan Pas dan pakatan pembangkang.

tempias

Sebagaimana Hasan, Nasharuddin Mat Isa, Harun Din dan ramai lagi yang dilabel pro BN, Azizan juga sudah terkena tempias itu. Malah Aziz Bari, pendukung Anwar itu secara terbuka mencadangkan supaya Azizan menyertai BN.

Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini yang kini aktif di atas pentas ceramah pakatan pembangkang menempelak Azizan kerana menyokong Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Aziz mahu Azizan dikenakan tindakan tegas kerana pendirian Menteri Besar Kedah itu bertentangan dengan kesepakatan pembangkang untuk menghapuskan AUKU yang juga termaktub dalam buku jingga mereka.

Azizan pun bingkas menjawab desakan Aziz dan menyifatkan Aziz sebagai buta undang-undang. Ketegasan Azizan bahawa buka jingga bukan al-Quran yang mesti dipatuhi sepanjang masa melegakan ramai pemimpin akar umbi yang sebelum ini berkeluh-kesah melihat pemimpin mereka diperkotak-katikkan.

Sejak dari awal, pendirian Azizan terhadap tindakan ke atas lima pelajar Kolej Universiti Insaniah yang didakwa di bawah AUKU kerana menyertai demonstrasi haram ini, tidak berubah. Beliau tidak melayan kerenah pelajar institusi milik kerajaan negeri ini, malah menyokong keputusan penggantungan pelajar berkenaan.

Inilah yang menyebabkan persatuan pelajar pro AUKU yang juga pro pembangkang dan pembela Aziz Bari semasa dikenakan tindakan oleh pengurusan UIAM dulu marah-marah. Mereka tidak menjangka sebegitu sekali sikap Azizan yang dianggap mengkhianati ikrar dalam buku jingga.

Tetapi Azizan sebagaimana juga Hasan selalu bersikap rasional dan matang. Mereka yang mahu AUKU dimansuhkan hanyalah kumpulan minoriti, tetapi pandai membuat gempar dan meraih sokongan.

Majoriti mereka yang berkepentingan termasuk Kerajaan Pusat mahu AUKU dipinda. Nisbahnya menurut Pengerusi Jawatankuasa Pindaan AUKU, Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood ialah 60 mahu pinda manakala 40 tidak mahu pinda.

Tetapi apakah suara majoriti itu akan didengar oleh kumpulan ini? Percayalah, kumpulan ini dengan menggunakan segala pengaruh dan peluang akan terus melaksanakan supaya kehendak mereka dipenuhi walaupun mungkin nantinya akan memakan korban baru iaitu Azizan.

Azizan pun bukanlah tokoh yang disenangi oleh kepimpinan Pas. Beliau dianggap tidak lagi kompeten dan sudah ada usaha untuk menggantikannya dengan bermacam alasan digunakan termasuk tahap kesihatan Azizan.

Selepas Hasan yang dikenakan tindakan sejurus PKR membuat desakan, apakah mungkin Azizan akan mengalami nasib sama?

Sejauhmana Pas boleh bertolak ansur menangani desakan kumpulan minoriti yang pro Anwar itu? Azizan pun sudah merelakan jika pakatan pembangkang mahu mengambil tindakan termasuk memecatnya. Tetapi beliau mengingatkan, ia bukan mudah!

cina indon

Trauma berterusan rakyat Cina Indonesia

TRAUMA yang dilalui oleh kaum Cina di Indonesia masih belum pulih sepenuhnya. Biar sudah lama mendiami Indonesia, masyarakat ini berpendapat mereka masih belum mendapatkan keadilan seperti mana warga negara Indonesia lainnya.

Hakikat kepada kesan pemerintahan Orde Baru oleh Presiden Suharto itu sebetulnya masih terus berlanjutan sehingga kini.

Presiden kedua negara itu ketika memimpin Indonesia dilihat telah melakukan diskriminasi kepada masyarakat Tionghua.

Kaum Cina terpaksa melalui liku yang bukan sedikit sehingga nama mereka juga harus diwajibkan memiliki identiti Indonesia. Tiada nama Cina yang dibenarkan diguna pakai.

Kaum ini juga harus memiliki Surat Bukti Kewarganegaraan Republik Indonesia atau SBKRI yang merupakan tanda pengenalan diri bahawa mereka warganegara Indonesia.

Keperluan memiliki SBKRI merupakan salah satu syarat yang harus dipenuhi seseorang untuk mengurus berbagai keperluan, seperti Kad Tanda Penduduk (KTP) bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan, membuat permohonan pasport antarabangsa atau pendaftaran pilihan raya.

Bahkan untuk mendirikan rumah tangga sehingga menutup nyawa juga, SKBRI merupakan dokumen yang paling penting.

Bagaimanapun, selang perubahan masa ketika Orde Reformasi tercetus, hal yang disifatkan sebagai perlakuan diskriminasi dihapuskan.

Sekalipun perubahan dilaksanakan, namun kebimbangan terhadap masalah perkauman (khususnya di kalangan kaum Cina) masih menjadi isu yang belum menemui titik penyelesaian.

Masalah perkauman di kalangan kaum Cina tegas seorang anggota Komuniti Gelodok, Hermawi F. Taslim masih ada disebabkan golongan ini masih lagi dibelenggu oleh pemikiran silam.

Trauma yang dilalui oleh nenek, moyang atau ibu dan ayah mereka terhadap diskriminasi perlakuan kepimpinan terdahulu menyebabkan kaum Cina di Indonesia masih belum keluar dari kepompong mereka.

Taslim yang juga Timbalan Pengerusi parti politik yang berasaskan perjuangan Islam, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) menegaskan, ekoran daripada trauma itu juga, masyarakat Cina Indonesia hari ini memilih untuk mengasingkan diri dalam kelompok mereka sendiri.

"Orang Cina yang kaya menetap di Gelodok, Jakarta Barat iaitu berbeza dengan kelompok yang hidup di Tangerang, Banten iaitu penempatan orang-orang miskin," tegas Taslim yang dipetik sebagai berkata dalam laporan muka depan akhbar Sunday Post (edisi mingguan The Jakarta Post) keluaran 22 Januari lalu.

Laporan berkenaan turut menarik perhatian kenyataan yang sama disuarakan tokoh sejarah Indonesia, J.J Rizal.

Menurut Rizal, amalan perkauman semasa pemerintahan Orde Baru telah memaksa masyarakat Tionghua menarik diri daripada menikmati kehidupan bersama anggota masyarakat lain dengan memilih cara hidup yang lebih eksklusif.

Dalam satu aspek lain, Rizal berkata, biarpun kaum Cina Indonesia diberi peluang menguasai ekonomi negara ini, namun kelebihan itu mencetus rasa kurang senang daripada kelompok majoriti penduduk negara ini.

rusuhan

Perasaan kurang senang ini dirujuk Rizal pada insiden rusuhan kaum yang tercetus pada 1998 yang menyaksikan pertumpahan darah berlaku apabila kaum Cina dibunuh dan dirogol di Jakarta dan beberapa wilayah lain di negara ini.

Insiden itu meninggalkan kesan psikologi yang amat besar kepada kaum ini sehingga menyebabkan mereka enggan untuk kembali berdamping dengan masyarakat umum, tegas Rizal.

Mujur kata Rizal, keterbukaan pemerintah Indonesia hari ini memperkenalkan pelbagai polisi yang menawarkan manfaat buat kaum Cina Indonesia.

Bagi aktivis hak asasi manusia yang berketurunan Cina, Esther Indahyani, sistem pemerintahan kerajaan Indonesia hari ini telah membuka ruang buat kaum Cina menjalin hubungan integrasi yang baik dengan seluruh rakyat serta membenarkan penyertaan mereka di dalam perkhidmatan awam.

"Sudah tidak ada banyak halangan lagi kecuali ketakutan sendiri yang mungkin dirasakan oleh mereka (kaum Cina) apabila menyertai perkhidmatan awam," sambung Esther pula.

Berikutan isu diskriminasi sudah terhakis, Esther pada masa sama menggalakkan mereka yang sekaum dengannya mengambil inisiatif untuk melahirkan sebuah komuniti yang lebih baik.

"Jangan hanya bergantung dan menunggu pemerintah bekerja untuk mereka bagi melahirkan sebuah persekitaran yang baik," tegasnya.

Pada masa ini, rakyat Indonesia berketurunan Cina menjangkau angka 3.7 peratus daripada jumlah populasi 237 juta penduduk berdasarkan bancian negara yang dibuat 2010.

Dalam kestabilan yang sedang dinikmati di Indonesia hari ini, kemungkinan untuk tragedi Mei 1998 untuk kembali berlaku amat tipis.

Keyakinan ini disuarakan oleh bekas duta Indonesia ke China, Mejar Jeneral (B) Sudradjat yang memberitahu, jaminan keselamatan terhadap kaum Cina yang diberikan oleh pemerintah akan membantu ke arah memakmurkan rakyatnya.

"Tragedi Mei 1998 sesuatu yang tidak akan berlaku lagi tetapi kaum Cina harus keluar dari kepompong mereka," ujar beliau.

Hal ini tegas Sudradjat amat penting untuk membantu menyedarkan kaum berkenaan apa yang dimaksudkan dengan masyarakat terbuka.

"Jangan sesekali mendiskriminasikan diri anda jika anda sendiri tidak mahu didiskriminasikan oleh orang lain," tegas Sudradjat.

imam us

Kesederhanaan tonggak kejayaan




SEJAK 2010, imam masjid New York di Amerika Syarikat (AS), FEISAL ABDUL RAUF terpaksa mengelilingi dunia untuk mendapatkan sokongan terhadap Inisiatif Cordoba yang digerakkannya. Diasaskan dengan matlamat mempromosikan toleransi antara agama dan meningkatkan kefahaman terhadap Islam di AS, Inisiatif Cordoba mula mengundang perhatian termasuk kritikan apabila merancang menubuhkan Pusat Cordoba berhampiran tapak runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC) atau Ground Zero. Dalam sela waktunya yang sangat padat, wartawan Mingguan Malaysia, MARHAINI KAMARUDDIN dan MOHD. KHUZAIRI ISMAIL serta jurufoto FAUZI BAHARUDIN berkesempatan menemui beliau yang kebetulan berada di Malaysia kerana menghadiri Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Ditanya pandangannya mengenai konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dalam Islam, Imam Feisal memberikan analogi kehidupan beragama... “Umpama bermain alat muzik kecapi (harp). Skrunya tidak boleh terlalu longgar kerana akan menjejaskan bunyi, tidak boleh juga terlalu ketat kerana mungkin terputus tali. Sebaik-baiknya, biar sederhana dan seimbang, barulah dapat menghasilkan bunyi yang merdu dan menyenangkan.”
Sekali-sekala sepanjang temu bual dalam bahasa Inggeris selama sejam di pejabat Inisiatif Cordoba Malaysia di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, anak bekas rektor pertama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Allahyarham Tan Sri Prof. Dr. Muhammad Abdul Rauf ini melontarkan ungkapan bahasa Melayu mudah – menyerlahkan personalitinya yang mudah mesra dan disenangi.
MINGGUAN: Imam turut menyertai Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di sini baru-baru ini. Apa pandangan Imam mengenai konsep kesederhanaan atau wasatiyah itu?
IMAM FEISAL: Pada saya, ia sangat penting kerana konsep kesederhanaan adalah sesuatu yang utama bagi mana-mana agama sekali pun. Idea kepada keseimbangan dan kesederhanaan itu wujud dalam semua kepercayaan. Ia juga mesej sama yang disampaikan oleh agama seperti Islam, Kristian, Buddha dan sebagainya. Malah dalam semua tradisi masyarakat di seluruh dunia sekali pun budaya kesederhanaan itu sememangnya wujud. Saya berpandangan dunia ketika ini sangat memerlukan konsep kesederhanaan dan keseimbangan itu sebagai cara untuk menzahirkan sesuatu.
Sejauhmanakah Inisiatif Cordoba yang turut mempromosikan konsep kesederhanaan Islam berjaya memperbaiki hubungan antara agama di Amerika Syarikat (AS)?
IMAM FEISAL: Saya sudah menetap di AS selama 46 tahun. Sepanjang tempoh itu, saya berasakan sebahagian daripada tanggungjawab saya adalah untuk menzahirkan Islam dan menonjolkannya kepada masyarakat di sana menerusi ‘bahasa’ dan gaya hidup mereka. Ia sama seperti bagaimana agama Islam itu diperkenalkan di rantau ini beratus-ratus tahun dahulu yang sebelumnya dipengaruhi oleh agama Hindu.
Peranan yang saya bawa di AS adalah untuk memperkenalkan nilai-nilai Islam dalam bahasa atau kaedah yang boleh difahami serta diterima oleh rakyat AS. Sehinggakan mereka boleh menerima agama Islam itu sebagai sebahagian daripada cara hidup mereka dan mereka tertarik pula kepada agama Islam. Pada masa sama, saya juga bertanggungjawab untuk membina hubungan yang baik dengan penduduk lain yang bukan beragama Islam terutamanya komuniti Kristian, Yahudi termasuk Hindu yang ketika ini juga semakin berkembang di AS.
Sebahagian daripada peranan ini juga perlu saya lakukan kerana berlakunya tragedi serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York pada 11 September 2001 (9/11). Di sebabkan tragedi itu ada keperluan di AS ketika ini untuk rakyatnya berhubungan dengan Islam menerusi pendekatan yang lebih baik dan produktif. Itu antara peranan dan tanggungjawab yang telah kami lakukan beberapa tahun kebelakangan ini dan akan diteruskan pada masa depan.
Inisiatif Cordoba juga menjadi sesuatu yang besar dan menarik perhatian banyak pihak terutamanya selepas pertengahan 2010 apabila syor penubuhan masjid di tapak insiden 9/11 atau dikenali Ground Zero semakin mendapat perhatian. Sejak itu kita berjaya menarik perhatian banyak pihak di seluruh AS terutamanya di New York. Kita juga telah menjadi suara yang penting kepada komuniti Islam di sana.
Apakah Inisiatif Cordoba ini masih dilihat sebagai satu ancaman kepada komuniti bukan Islam di AS?
IMAM FEISAL: Kita mendapat banyak sokongan dan sudah semestinya juga banyak penentangan daripada pelbagai pihak dalam menggerakkan Inisiatif Cordoba ini. Tapi apabila ramai yang menentang, ramai pula yang tampil memberi sokongan termasuk daripada pertubuhan berasaskan agama lain seperti komuniti Yahudi. Malah ada juga ahli politik serta pertubuhan-pertubuhan berasaskan komuniti yang secara terbuka memberikan sokongan kepada apa yang diperjuangkan oleh Inisiatif Cordoba ini.
Sejauhmanakah perkembangan usaha menubuhkan Pusat Cordoba di Ground Zero?
IMAM FEISAL: Kami memerlukan antara AS$25 juta (RM87.5 juta) hingga AS$30 juta (RM105 juta) untuk membangunkan Pusat Cordoba itu. Buat masa ini, kita sudah memulakan usaha mendapat tajaan dan dana termasuk pinjaman dengan bank-bank berasaskan Islam. Dari sudut bantuan daripada kerajaan, AS tidak mempunyai polisi untuk menghulurkan geran atau dana secara terus bagi menubuhkan rumah-rumah ibadat seperti masjid atau gereja. Tetapi kerajaan boleh memberi sokongan seperti itu dalam bentuk program-program yang dianjurkan oleh pertubuhan berasaskan agama. Di sesetengah negara Eropah yang lain bantuan kewangan untuk membina rumah ibadat mungkin boleh disalurkan secara terus oleh kerajaan tetapi tidak di AS.
Antara isu utama daripada penubuhan Pusat Cordoba ini adalah lokasinya yang terlalu hampir dengan tapak Ground Zero. Mengapa lokasi itu menjadi pilihan?
IMAM FEISAL: Saya sudah menggerakkan sebuah masjid kecil di sana sejak 28 tahun yang lalu. Jarak masjid awal itu lebih kurang 10 blok atau kira-kira 15 minit perjalanan dari tapak Ground Zero. Kami sememangnya mencari tapak baru yang lebih sesuai untuk dibeli bagi menggantikan masjid kecil itu dan kebetulan lokasi yang menjadi pilihan itu (51 Park Place) kosong. Lagi pun adalah sukar untuk mencari tapak atau bangunan yang sesuai lebih-lebih lagi di New York.
Bagaimana dengan penentangan sesetengah pihak yang melihat pemilihan lokasi itu sebagai tidak sensitif terhadap peristiwa 9/11 yang dikaitkan dengan puak radikal atau ekstremis Islam?
IMAM FEISAL: Saya percaya rakyat AS meyakini bahawa dalam setiap agama terdapat penganutnya yang ekstrem atau melampau. Tidak kiralah dalam agama Islam, Yahudi, Kristian atau Buddha. Begitu pun mereka juga percaya majoriti penganut agama itu bukanlah terdiri daripada kumpulan ekstremis atau pelampau. Kerana itu harapan saya menerusi penubuhan Pusat Cordoba ini, ia bakal menjadi sebuah pusat bukan hanya kepada Muslim tetapi juga penganut-penganut agama lain. Selain digunakan untuk orang Islam bersembahyang, ia juga boleh menjadi pusat perbincangan atau diskusi kepada penganut agama lain. Sebab kalau ia dijadikan masjid, maka ia tidak akan digunakan secara maksimum misalnya hanya untuk solat Jumaat atau sunat Hari Raya yang tidak sampai dua jam pun. Selepas itu masjid itu kosong dan tidak digunakan. Itu seperti yang berlaku kepada kebanyakan masjid-masjid di negara lain.
Dengan harga tanah dan sewa yang mahal di New York, untuk membina sebuah masjid yang hanya digunakan dalam beberapa jam sudah semestinya tidak berbaloi. Sementelah jika kita membina sebuah masjid di tapak ini, penganut agama lain tidak akan datang sebab ia sudah semestinya rumah ibadat bagi orang Islam. Kerana itu saya mahukan Pusat Cordoba ini menjadi sebuah tempat bagi semua penganut agama di New York. Inilah sebenarnya matlamat penubuhannya iaitu tempat untuk semua agama dan supaya masyarakat dengan kefahaman sederhana itu dapat datang beramai-ramai dan belajar serta mengenali antara satu sama lain meskipun mereka berbeza agama.
Bagi saya, antara masalah yang timbul dalam komuniti hari ini adalah apabila kita tidak memahami atau cuba memahami agama lain. Ramai yang beranggapan disebabkan mereka Muslim maka mereka tidak perlu mengetahui mengenai agama lain sedangkan itu tidak benar. Sebetulnya lebih banyak kita belajar mengenai agama lain, maka lebih faham kita tentang agama kita sendiri. Sama juga seperti bahasa Melayu. Apabila kita belajar bahasa lain contohnya bahasa Inggeris, tidak semestinya kita semakin lupa kepada bahasa Melayu. Sebaliknya kita dapat melihat bahawa ada juga perkataan Melayu yang diambil daripada bahasa Inggeris. Dalam hal ini saya melihat kita memerlukan kepada konsep 1 Dunia seperti mana Malaysia mempunyai konsep 1 Malaysia.
Adakah elemen Islam dan Muslim itu boleh diterima oleh penduduk AS?
IMAM FEISAL: Kebanyakan rakyat AS percaya kepada kebebasan termasuk dalam soal beragama selagi hak-hak mereka tidak diganggu. Misalnya ramai rakyat AS yang terpesona apabila mereka mendengar laungan azan. Sebagai sebuah masyarakat minoriti, kita juga perlu faham bagaimana untuk berinteraksi dalam masyarakat majoriti. Maksudnya kita kena sensitif dengan masyarakat di sekeliling. Malah dalam Islam sekali pun ditekankan supaya kita bersikap merendah diri dan bersederhana. Tidak menunjuk-nunjuk atau terlalu menonjol seolah-olah kita lebih Islamik daripada orang lain.
Adakah sentimen Islamofobia masih ketara di AS?
IMAM FEISAL: Ada beberapa sebab mengapa sentimen Islamofobia itu wujud dan alasan terbesarnya adalah serangan ke atas WTC pada 11 September 2001. Tragedi itu telah menerbitkan persepsi yang besar bahawa pihak yang bertanggungjawab adalah dalam kalangan orang Islam. Bagi rakyat AS sendiri, apabila mereka percaya bahawa mereka diserang oleh orang Islam maka sudah tentu mereka tidak mahu ada sebarang kaitan dengan agama ini.
Faktor lain yang menerbitkan sentimen Islamofobia adalah pertambahan populasi umat Islam di negara-negara Eropah ketika ini. Jadi bagi masyarakat Barat, mereka melihat perkara ini sebagai satu ancaman. Apa yang berlaku ketika ini adalah kebanyakan keluarga di Barat mengamalkan polisi untuk tidak mempunyai lebih daripada dua anak. Jadi populasi masyarakat di Barat semakin berkurangan. Sedangkan pada masa sama, jumlah imigran Muslim dari negara seperti Pakistan, Turki, Bangladesh dan sebagainya di Eropah semakin bertambah. Imigran ini pula mempunyai anak yang ramai antara empat hingga lima orang. Justeru ada kebimbangan di Barat ketika ini bahawa menjelang 2030, umat Islam di Eropah boleh mencecah separuh atau majoriti daripada populasi masyarakat di Barat. Mereka melihat demografi penduduk di Barat itu sedang berubah ke arah itu dan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada sentimen Islamofobia.
Saya juga melihat sentimen itu wujud kerana umat Islam di Barat tidak cuba untuk berasimiliasi dengan masyarakat setempat. Ini menyebabkan timbul persepsi dalam kalangan masyarakat Barat bahawa kehadiran komuniti Muslim ini bertujuan mengubah negara mereka. Ini sama seperti kita menerima tetamu. Sudah semestinya kita sangat mengalu-alukan kehadiran tetamu itu tetapi kita akan berasa takut apabila melihat tetamu itu cuba mengubah apa yang ada dalam rumah kita. Itulah juga apa yang dirasai oleh masyarakat Barat ketika ini.
Seperkara lagi, media massa juga banyak memaparkan laporan yang menonjolkan sisi ekstremis Islam seperti yang berlaku di beberapa buah negara. Perkara itu menimbulkan ketakutan masyarakat Barat. Justeru idea kepada kesederhanaan itu sangat penting sebab Islam juga tidak membenarkan perlakuan ekstrem. Orang yang ekstrem ialah orang yang hilang kawalan dalam hidup mereka.
Isu perpecahan umat Islam sering dibangkitkan sama ada di Asia Barat atau Malaysia sendiri. Apa pandangan Imam mengenai isu ini?
IMAM FEISAL: Saya rasa seluruh umat Islam di dunia menaruh harapan untuk bersatu. Tetapi dalam politik, pasti ada orang yang akan menyokong parti yang berbeza. Begitupun perbezaan itu tidak seharusnya melangkaui persamaan yang ada iaitu kita masih sebahagian daripada umat Islam yang lain. Sebagai contoh di Malaysia, meskipun anda yang menyokong UMNO, Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi anda semua masih lagi rakyat Malaysia dan itulah yang lebih penting untuk menyatukan anda semua. Dalam Islam pun begitu juga, kita perlu sentiasa ada perasaan yang mengikat kita sebagai Muslim.
Harapan Imam terhadap Inisiatif Cordoba pada tahun ini dan masa depan?
IMAM FEISAL: Sudah semestinya selain mengumpul dana berjumlah AS$27 juta (RM87.5 juta), kita juga mengharapkan doa daripada umat Islam di seluruh dunia agar Pusat Cordoba ini menjadi kenyataan.
Insya-Allah, kita harap dapat memulakan kerja-kerja pembinaan tahun ini. Kita mahu melihat ia menjadi kenyataan sebab kita mahu mencipta sesuatu yang bukan sahaja untuk dimanfaatkan oleh orang Islam di AS tetapi seluruh masyarakat di sana tanpa mengira agama. Dalam erti kata lain, Pusat Cordoba ini akan berbakti atau berkhidmat kepada masyarakat.
Dalam Islam sendiri pun ada menyebut tidak lengkap agama kita jika kita tidak mampu berkhidmat kepada orang lain khususnya masyarakat sekeliling.

tanah orang asli

"Kembalikan tanah kami"
NORSHIKIN MOHD SALLEH
28 Januari 2012
"Kembalikan tanah kami"
JOHOR BAHRU – Lebih 100 penduduk Orang Asli Seletar Laut, berang apabila tanah perkuburan nenek moyang mereka didakwa dicerobohi bagi projek pembangunan.

Wakil penduduk, Eddy Salim berkata, kejadian itu dikesan berlaku sejak seminggu lalu, apabila hampir satu ekar tanah perkuburan berusia lebih 30 tahun diterokai dan turut menjejaskan 10 kubur lama di situ.

“Saya dimaklumkan oleh penduduk Orang Asli Kampung Bakar Batu mengenai kejadian itu. Saya terus ke lokasi dimaksudkan dan mendapati ada sebuah jentolak sedang menjalankan kerja-kerja di situ.

“Hampir satu ekar kawasan telah diteroka. Oleh kerana berasa terancam dengan keadaan itu, saya telah membuat laporan polis dan mahu semua kerja-kerja penolakan tanah dihentikan.

“Saya kecewa dengan keadaan yang berlaku. Tanah kami diceroboh tanpa mengadakan sebarang rundingan,” katanya selepas sesi dialog bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Muha­mad Sha’ani Abdullah dan Pegawai di Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor Bahru, Mohd Badri Ismail.

Eddy yang merupakan anak tok batin Kampung Sungai Temon berkata, kawasan perkuburan itu menjadi tempat persemadian penduduk Orang Asli dari lima kampung berdekatan iaitu Kampung Orang Asli Bakar Batu, Pasir Putih, Sungai Tiram, Simpang Arang dan Sungai Temon.

Katanya, selain kejadian terbabit, perkara lain yang dibangkitkan ialah mengenai status pemilikan tanah yang didiami mereka seluas 36 ekar yang didakwa telah didiami sejak tahun 1960-an.

“Apa yang kita mahu sekarang ialah tanah Orang Asli, dikembalikan hak kepada Orang Asli.

“Ini tanah nenek moyang kami, tanah perkuburan bagi balik hak kepada Orang Asli," katanya.
Sementara itu, Muhamad Sha’ani berkata, pihaknya bertindak selaku perantara bagi mewujudkan saluran penyelesaian bagi isu yang dibangkitkan.

Beliau meminta Kerajaan Negeri menjelaskan isu tersebut dengan mengadakan rundingan agar ia tidak dipanjangkan.

Walau bagaimanapun katanya, kerja penolakan tanah di kawasan tanah perkuburan itu telah dihentikan serta-merta.
“Sebarang kerja pembangunan dihentikan. Proses seterusnya ialah Orang Asli dan pihak sepatutnya harus memulakan rundingan dan penjelasan kerana masih banyak persoalan asas masyarakat Orang Asli ini yang perlu dijelaskan.
“Ia perlu dijelaskan supaya tidak terus menjadi satu isu tidak puas hati di kalangan mereka dan juga satu perkara yang boleh memburukkan nama baik kerajaan,” katanya.

dap

Rasis dan kroni

PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang melakukan provokasi lagi, kali ini dalam perutusan Tahun Baru Cina. Menurut beliau, masyarakat Cina masih boleh meraih kekayaan walaupun kepimpinan Barisan Nasional (BN) gagal. Beliau juga menyeru rakyat Malaysia agar tidak menghargai nikmat kemakmuran yang dikecapi di bawah kerajaan BN.

Tindakan Kit Siang membangkitkan soal kekayaan kaum adalah berbahaya. Semua orang tahu bahawa ekonomi negara dikuasai oleh kaum Cina antaranya disebabkan percaturan penjajah yang menempatkan kaum itu di bandar-bandar, budaya niaga yang diwarisi sejak zaman lampau selain perpaduan kukuh kaum berkenaan.

Persoalannya apakah wajar ia dijadikan modal politik? Memang banyak persoalan berlegar berikutan kenyataan tersebut. Antaranya, apakah soal kekayaan hanya hak kaum Cina dan mengapa berjanji tentang penguasaan kekayaan untuk satu kaum sahaja. Bagaimana pula dengan kaum lain?

Ternyata Kit Siang tidak dapat lagi menyembunyikan agenda sebenar DAP yang membuak-buak untuk terus menghasut kaum Cina menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Ia menyerlahkan hakikat sebenar bahawa DAP adalah parti paling rasis bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Awang tertanya-tanya mengapa Kit Siang, 71, masih enggan berundur daripada politik. Zaman beliau sudah berlalu. Suatu ketika dulu, beliau pernah dilabel diktator sehinggakan beberapa pemimpin DAP merajuk dan berundur angkaranya.

Lagipun Kit Siang sudah sukses dalam membina dinasti Lim ekoran perencanaan kronisme yang berjaya menempatkan anaknya, Lim Guan Eng berada di persada kuasa sebagai Setiausaha Agung. Seperti bapanya, beliau akan bergayut dengan jawatan itu untuk puluhan tahun. Anak beranak yang mencorakkan parti itu. Khabarnya dalam diam, sebahagian pemimpin Cina DAP kecewa kerana Kit Siang terlalu memihak dan melindungi Guan Eng. Awang tidak terkejut jika cucu Kit Siang juga akan diatur untuk mewarisi kepimpinan DAP selepas Guan Eng.

Tetapi yang beliau tidak akan berjaya ialah untuk memulihkan imej rasis DAP yang makin busuk. Penambahan ahli Melayu dalam parti yang dibuat sekadar untuk mengaburi mata rakyat, tidak akan mengubah apa-apa.

Realitinya, majoriti Melayu tetap menolak DAP biar apa topeng yang dipakai. Hanya segelintir Melayu sahaja yang boleh diperkuda.

Kit Siang dan Guan Eng tidak ikhlas menerima ahli Melayu dan pada masa yang sama tidak percayakan orang Melayu untuk diberi peranan penting dalam parti itu. Lihatlah nasib orang India dalam DAP, yang terpinggir dan menjadi kelas kedua.

DAP apatah lagi ketika era dinasti Lim, tidak akan berubah. Ia akan kekal menjadi parti paling rasis di dunia.

Bisik-Bisik Mingguan Awang Selamat

satu komen dalam papa gomo

Shabri Ismail · Top Commenter
soal pokok dalam isu penyelewengan Pusat Fidlot Nasional (NFC) ialah pinjaman mudah berjumlah RM250 juta kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).
NFCorp adalah syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia di mana Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang satu golden share bernilai RM1.
Manakala modal berbayar berjumlah RM1.11 juta disumbangkan oleh Agroscience Industries Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya suami dan anak-anaK I Shahrizat KETUA WANITA UMNO DAN JUGA MENTERI.
Keluarga Shahrizat, turut memiliki kepentingan 100 peratus dalam syarikat National Livestock and Meat Corp Sdn Bhd (NLMC), dan Asian Bioscience Corp Sdn Bhd (ABC).
“Melalui NLMC ini pula, puluhan juta dana NFC disalur ke Restoran Mewah milik keluarga Shahrizat iaitu Real Food company Sdn Bhd, dana NFC disalur untuk membeli kondominium mewah di Bangsar dan perbelanjaan lain seperti didedahkan sebelum ini.
“Penyaluran dana ini merupakan pecah amanah kerana ia tiada kaitan dengan tujuan dana NFC iaitu berkaitan projek penternakan Lembu,

lain sokong lain tempias