Wajarkah Guan Eng 'pegang' tapak masjid?
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
DI Pulau Pinang sekarang khabarnya tidak seindah dahulu buat orang Islam. Dahulu itu bermakna sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008. Bayangkanlah situasi umat Islam di Pulau Mutiara sekarang yang terpaksa berdepan kemelut semua tapak masjid tidak lagi diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
Padahal semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dianggotai UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan banyak lagi parti komponennya di Sabah dan Sarawak, tidak begitu perihalnya.
Sekarang di Pulau Pinang, semua tapak masjid ditukar nama ke tapak rumah ibadat dan diletakkan di bawah Chief Minister Incorporated atau CMI (Ketua Menteri Diperbadankan). Pengerusi CMI ialah Lim Guan Eng.
Apa maknanya itu? Ia bermaksud apa sahaja rumah ibadat boleh dibina sedangkan jika sepatutnya tapak masjid dibina di kawasan pembangunan berkenaan, itu akhirnya akan terpulang kepada CMI untuk memuktamadkannya.
Di Pulau Pinang sekarang, Guan Eng mempunyai kuasa ke atas tanah. Dia pegang Exco tanah (menguruskan pentadbiran tanah). Berbanding dahulu di bawah BN, urusan ini diagih-agihkan kepada pihak tertentu, iaitu ada lembaga pengarahnya. Contohnya, PDC pemilik Bayan Mutiara manakala tapak masjid di bawah MAIPP.
Tetapi sekarang, dalam erti kata lain, CMI yang berkuasa dan memonopolinya.
Dalam hal ini, banyak pihak termasuk UMNO Pulau Pinang sendiri telah jenuh membangkitkan rasa amat kecewa dengan sifat mendiamkan diri Guan Eng terhadap semua persoalan dan kekeliruan yang telah dikemukakan kepadanya tempoh hari.
Tambah paling mengecewakan adalah tindakan Guan Eng menjual tapak masjid dan tapak sekolah di pembangunan asal Bayan Mutiara yang telah diluluskan.
Dikatakan, pelan kebenaran merancang asal fasa 1 Bayan Mutiara diluluskan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 30 Oktober 2006 berujukan JPB/PM/4490(LB) PIN.1.
Pelan kebenaran merancang tersebut selain mempunyai pelbagai jenis perumahan, ia turut merangkumi kompleks gerai pusat penjaja, balai polis, pusat komuniti, tapak sekolah dan tapak masjid.
Diajukan persoalan ini, Ketua Pemuda Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin menegaskan: "Tindakan Guan Eng menjual tapak masjid adalah satu tindakan bongkak dan sangat biadap dan boleh menimbulkan kemarahan umat Melayu Islam di Pulau Pinang dan Malaysia keseluruhannya.
"Guan Eng tidak boleh sama sekali mengganggu-gugat harta milik orang Islam. Sepatutnya tapak tersebut telah dipecah sempadan dan diserahkan kepada MAIPP dan seterusnya diwakafkan oleh MAIPP," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam aspek ini, tapak sekolah juga perlu diserahkan kepada Kementerian Pelajaran untuk dibina sekolah. Walaupun pemaju, Tropicana Ivory Sdn. Bhd. bersetuju untuk pembinaan sekolah tetapi dikhuatiri pelaksanaannya kelak akan diputar belit dan dibina sekolah antarabangsa seperti mana pembinaan sekolah Prince of Wales International School di Botanica City, Balik Pulau yang telah menidakkan hak anak-anak miskin tempatan.
Rakyat Pulau Pinang khususnya orang Melayu ketika ini inginkan sangat kepastian daripada Guan Eng adakah pemaju telah disyaratkan untuk membina gerai penjaja di tapak Bayan Mutiara.
Sewajarnyalah, tegas mereka, pemaju perlu membina gerai penjaja di tapak yang sesuai dan strategik di Bayan Mutiara. Dan bukannya terpelosok di hujung tapak seperti mana kebiasaannya dilakukan oleh pemaju kerana Bayan Mutiara adalah hak rakyat negeri itu.
Di sebalik kemelut yang melanda umat Islam di Pulau Pinang hari ini, isu utama sekarang ialah Guan Eng perlu mengembalikan tapak masjid kepada MAIPP, tapak sekolah kepada Kementerian Pelajaran dan tapak penjaja kepada MPPP.
Guan Eng jangan pula bersiap untuk mendiamkankan diri atau cuba memutarbelitkan perkara-perkara di atas.
Pas juga yang kini macam 'tunggul' di Pulau Pinang perlu menasihati Guan Eng terhadap perbezaan di antara masjid dan surau. Ini kerana Guan Eng telah memaklumkan bahawa pemaju di Bayan Mutiara akan menyediakan surau dan bukannya masjid.
Guan Eng jangan cuba bermain dengan harta rakyat terutamanya harta orang Melayu Islam. Dengan semua tapak masjid tidak lagi diwakafkan dan ditukar nama pula ke rumah ibadat, adakah ia bermakna Guan Eng cuba untuk mengurangkan kuasa orang Islam di Pulau Pinang.
Ingat! perkara ini semua akan membangkitkan semangat perjuangan rakyat yang akhirnya bakal menjadi titik tolak kejatuhan kerajaan DAP Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment