Penduduk Gombak menyesal pilih Azmin
KUALA LUMPUR 25 Mac - Penduduk Gombak dekat sini bukan sahaja melahirkan rasa kesal malah mengakui kesilapan mereka kerana memastikan kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum lalu.
Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, rata-rata penduduk di daerah itu hakikatnya kecewa dengan sikap Ahli Parlimennya, Azmin Ali yang disifatkan tidak langsung mengambil berat masalah dihadapi penduduk.
"Kami telah melawat lebih 1,000 keluarga di kawasan Parlimen ini menerusi program ziarah yang bertujuan memberi bantuan serta sumbangan untuk meringankan beban mereka.
"Rata-rata penduduk yang ditemui menyatakan rasa kesal terhadap Ahli Parlimen (Azmin) kerana mengabaikan tanggungjawab membela nasib rakyat. Malah, mereka memberitahu bahawa Azmin tidak pernah melawat atau mengambil tahu mengenai masalah yang dihadapi penduduk,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas program ziarah BN Parlimen Gombak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berkata, ada juga dalam kalangan penduduk tersebut mengakui tidak kenal langsung siapa Ahli Parlimen itu.
"Mereka berkali-kali meminta maaf kepada BN dan berjanji akan mengundi parti itu pada pilihan raya umum akan datang kerana tidak lagi mempercayai PKR serta parti pembangkang lain," katanya.
Program yang diadakan secara mingguan oleh BN Gombak itu bertujuan membela nasib keluarga miskin, kurang upaya serta uzur dengan pemberian sumbangan berbentuk wang saku dan keperluan harian.
Sebanyak 30 buah rumah di Kampung Kerdas, Gombak Setia terlibat dalam program ziarah yang diadakan hari ini.
Menurut Megat Zulkarnain, penduduk Gombak menerima baik program tersebut dan berharap ia diteruskan dari semasa ke semasa kerana membantu meringankan beban mereka.
No comments:
Post a Comment