Thursday, March 8, 2012

sampah pon dikronikan

Kontrak kutip sampah diberi kepada kroni?

KUALA LUMPUR 4 Mac - Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa tidak telus dalam soal pelantikan kontraktor mengutip sampah selepas mengambil alih peranan itu daripada Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) sejak pertengahan Oktober tahun lalu.

Pengerusi Gerakan Pengguna Negeri Selangor, Datuk Dr. Jacob George berkata, banyak kontraktor yang layak tidak mendapatkan kontrak itu, sebaliknya ia diberikan kepada kroni-kroninya yang menawarkan harga yang lebih tinggi tetapi tidak berpengalaman.

"Syarat tender terbuka itu adalah kontraktor perlu mempunyai kakitangan, kenderaan, depot, harga yang berpatutan dan profesional dalam menguruskan sampah, tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya.

"Hasil siasatan berdasarkan kira-kira 25 aduan mendapati banyak kontraktor yang dilantik itu tidak mempunyai kenderaan dan depot sendiri, malah menawarkan harga yang lebih tinggi tetapi tidak profesional berbanding kontraktor yang layak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau melahirkan rasa kecewa terhadap kepimpinan kerajaan negeri itu kerana sebelum ini mereka memberi jaminan bahawa pembangkang akan mentadbir negeri dengan telus, akauntabiliti dan bebas daripada gejala rasuah.

Tambah Jacob, semasa pengambilalihan daripada Alam Flora, kerajaan negeri memberi alasan bahawa penamatan kontrak itu adalah untuk mencari kontraktor baru yang dapat meningkatkan mutu perkhidmatan dengan harga yang lebih rendah.

"Itu semua hanya sandiwara politik pembangkang dan matlamat sebenarnya adalah memberikan kontrak itu kepada 'geng-geng' mereka yang nyata tidak berpengalaman.

"Di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) pula adanya 'tangan ghaib' dalam membantu kroni-kroni pembangkang itu untuk mendapatkan kontrak tersebut," ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya juga menggesa kerajaan negeri pakatan pembangkang segera menghentikan pelantikan kontraktor baru dan melakukan siasatan terperinci serta meminta kerajaan Pusat mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu berkenaan.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan reaksi daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew gagal.

No comments:

Post a Comment