Saturday, March 17, 2012

ambilaleh air

Sedia ambil alih industri air
Wartawan Sinar Harian
17 Mac 2012
Sedia ambil alih industri air
SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kelmarin mengadakan perjumpaan dengan dua operator air antarabangsa, Suez Environment, di Perancis dan Wessex Water daripada United Kingdom sebagai persediaan Kerajaan Negeri mengambil alih industri air daripada syarikat konsesi.
Beliau berkata, pertemuan itu adalah untuk mendapatkan pandangan pengurusan air yang cekap seperti yang ditetapkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
“Pertikaian rundingan untuk Kerajaan Negeri mengambil alih industri perkhid­matan air daripada syarikat konsesi tidak sepatutnya meng­halang Kerajaan Negeri daripada membuat persediaan.
“Kami amat gembira apabila golongan pakar sanggup berkongsi pengetahuan teknologi mereka dan kedua-dua syarikat ini sedia berkongsi kepakaran dalam pengurusan air bagi memastikan model Kerajaan Negeri bukan saja cekap dan berkesan, malah pada tarif yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan sekretariat akhbar, semalam.
Abdul Khalid berkata, sebarang kerjasama dua pihak perlu melalui proses yang telus bagi memastikan ia berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.
Pada sesi perbincangan de­ngan kumpulan Suez En­vironment, yang diketuai Na­ib Presiden Eksekutif Kanan bagi Penyelidikan Penyelaras Air dan Pembangunan, Bernard Guirkinger, di Marseile, Perancis, Abdul Khalid menyatakan kesukaran dihadapi Kerajaan Negeri untuk mengambil alih industri perkhidmatan air daripada syarikat konsesi.
“Model penswastaan hari ini tidak membawa kebaikan kepada industri air yang kini sarat pelbagai masalah, termasuk sistem pengurusan dan perancangan air yang tidak holistik, struktur peraturan dan pengoperasian tidak berkesan serta kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi.
“Ini berlaku apabila syarikat konsesi yang dipilih tidak mahir, tiada pengalaman dan wang untuk melaksanakan kerja ini. Kes di Selangor bukan soal apa yang anda boleh lakukan tetapi siapa yang anda kenal,” katanya.
Sementara itu, Abdul Khal­id ketika bertemu dengan Pengerusi Eksekutif Wessex, Colin Skellet dan Dave Elliot yang juga Pengarah Peran­cangan dan Pengurusan Aset, di London, membincangkan pengurusan air secara menyeluruh.
“Model pembahagian yang dipraktikkan di Selangor membuktikan, industri perkhidmatan air kita tidak boleh dipisahkan dengan memberi bahagian yang lebih untung kepada syarikat swasta sedangkan pihak kerajaan terpaksa menanggung beban kerugian,” katanya.
Dalam sesi pertemuan itu, Abdul Khalid dibawa melawat ke ibu pejabat Wessex di Bath dan syarikat sekutunya, GenEco, yang merawat sisa kumbahan menggunakan teknologi terkini dan loji biogas di Bristol, serta loji kitar semula bahan buangan menjadi tenaga diperbaharui.
Rabu lalu, Abdul Khalid membentangkan kertas kerja sempena Forum Air Sedunia menyatakan, penswastaan air di Malaysia gagal kerana dipergunakan golongan rentier.
Beliau mengutarakan isu sama pada sesi pertemuan dan dialog dengan pelajar Malaysia di London, malam semalam.

No comments:

Post a Comment